Friday, January 14, 2011

Kehendak dan keinginan manusia tidak pernah cukup. Fikir dan renung-renungkan....

Salam semua.

Manusia tidak pernah merasai cukup, walaupun telah diingatkan supaya bersederhana di dalam menjalani kehidupan harian mereka. Agaknya terjemahan ayat al.Qran dan al.Hadis yang dinukilkan di bawah ini menyentuh setiap manusia, khususnya mengenai perangai, tabiat dan sikap mereka.

Kehendak dan keinginan manusia tidak pernah cukup. Fikir dan renung-renungkan....adakah kandungan Hadis tersebut menyentuh tabiat diri kita atau kita terkecuali kerana kita sentiasa merasai cukup dan bersyukur atas apa yang ada atau perolehan kita yang berlebihan itu dimanfaatkan untuk masyarakat melalui pengeluaran zakat , sedekah dan seumpamanya.

Apapun semua peringatan itu mengajak kita berfikir dan merenunginya. Jom kita semak dan telitikan terjemahan ayat al.Quran dan al.Hadis di bawah ini.
_________________________________

Petikan terjemahan ayat al.Quran:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".
( Surah Ali.Imran - ayat 14 )
_______________

Petikan terjemahan Hadis:

Rasulullah.s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya dia mahu yang kedua dan sekiranya dia mempunyai dua lembah, nescaya dia mahu yang ketiga.Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat" .
(Riwayat Ahmad)
_____________________________________________

Catatan:
Hanya kematian sahaja yang dapat memberhentikan kehendak anak Adam terhadap harta kekayaan.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: