Monday, January 24, 2011

Bentangkanlah isu sebanyak mana yang mungkin, asalkan tidak menodai mana-mana agama.

Salam semua.

Saya mengikuti PRK.DUN Tenang sejak diisytiharkan kosong oleh SPR, hati saya tersentuh apabila dilaporkan oleh beberapa laman blog yang saya membacanya bahawa orang bukan Islam mempertikaikan wanita tidak berjabat tangan dengan lelaki mahramnya dan yang terkini jenazah diletakkan di dalam masjid dalam keadaan siap siaga untuk disolatkan hampir empat jam sebelum dapat berbuat demikian.

Kedua-dua laporan itu menyedih dan mendukacitakan orang Islam yang prihatin;

(1) Hukum bersentuhan lelaki dan wanita.
Islam telah menetapkan bahawa wanita Islam yang aqil baligh dilarang bersentuhan atau berjabat tangan di antara wanita dan lelaki yang bukan mahram ( yang boleh berkahwin dengannya ) yang juga aqil baligh, mungkin perkara ini tidak diketahui dan difahami oleh orang bukan Islam berpunca daripada sering melihat amalan wanita dan lelaki yang melanggar hukum tersebut. Lantas menyangka perbuatan itu dibolehkan oleh Islam, maka sesiapa yang tidak berbuat demikian dituduhnya sebagai sombong dan tidak mesra. Sebahagian kesilapan itu adalah berpunca daripada kelekaan orang Islam sendiri yang tidak menunjukkan teladan serta tidak berminat memberi faham mengenai hal tersebut.

Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku dalam kempen pilihan raya. Mereka yang terlibat dengan kempen untuk memenangkan parti masing-masing tidak salah bercakap atas isu agama, asalkan tidak menodai atau menyentuh sensitif agama lain. Bagi orang Islam tidak salah berkempen atas isu agama Islam, asalkan faktanya merujuk kepada al.Quran dan Hadis, Islam itu adalah suatu cara hidup, keimanan dan kepercayaan islam dalam diri mereka yang betul-betul Islam itu keadaannya mendarah daging, sudah tentu orang Islam tidak boleh lari dari hukum hakamnya dan tidak boleh mengelakkan diri dari bercakap pasal Islam.

Boleh juga sambung baca di sini

(2) Perkara yang dituntut untuk segera dilaksanakan.
Apabila berlaku kematian, Islam menetapkan agar jenazah diuruskan dengan segera. Sebaik-baik tempat pengkebumian ialah di tempat berakhirnya nafas si mati. Hal ini sesuai kita mengambil contoh dari kewafatan Rasulullah s.a.w di mana Rasulullah s.a.w walaupun dilahirkan dan kampung asal baginda di Mekah tetapi dikebumikan di Madinah tempat baginda menghembuskan nafas terakhir.

Sabda Rasulullah.s.a.w. bermaksud. "Wahai Ali, ada tiga perkara janganlah dilewat-lewatkan. Yang pertama : Solat apabila telah masuk waktunya, yang kedua : Jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga : anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya”.

Kegagalan menyegerakan solat jenazah dan menguruskan pengkebumiannya oleh masyarakat sesuatu kampung boleh ditafsirkan sebagai kurang prihatin dan tidak bersiap sedia dalam perkara fardu kifayah. Pemimpin kecil di kampung-kampung perlu mengambil perhatian yang lebih seriuos dalam masalah seperti ini, kalau penduduk hanya mengharapkan imam-imam yang dilantik khas sahaja, manakala orang lain yang berkebolehan tidak diberi peluang, apabila ketiadaan imam-imam tersebut , maka tuntutan yang sepatutnya disegerakan tidak dapat dibereskan segera kerana dihalang oleh sikap dan prosedur menunggu imam bertugas.

Ulasan ini bersandarkan dan merujuk kepada laporan yang terdapat di dalam laman-laman blog tempatan.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: