Thursday, January 6, 2011

Sangat penting bagi orang Melayu memahami dan mendalami Islam.

Salam semua.

Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum, agama Islam merupakan agama rasmi negara yang mana semua kaum telah memperakuinya sejak sebelum kemerdekaan diisytiharkan lagi kerana itulah asal kehidupan orang Malaysia di mana pemerintahannya berteraskan Islam sejak zaman sebelum penjajah Inggeris lagi, sebagai bukti sejarahnya termaktub di mana-mana, di antaranya di Kedah,Kelantan, Trengganu dan lain-lain. Kemudian dengan persetujuan orang Melayu negara ini menerima pemustautin beberapa kaum yang lain sebagai warga negara dengan berteraskan perlembagaan negara, selain Melayu terdapat banyak lagi kaum bumiputra tetapi orang Melayu mengatasi jumlah bumi putra yang lain. Artikel ini ingin memfokuskan kepada topik di atas, oleh itu artikel hanya akan dikembangkan mengikut landasannya sahaja.

Sangat penting memahami Islam.
Merujuk kepada topik di atas, prasa kata pertama ianya menyatakan sangat penting bagi orang Melayu memahami Islam kenyataan tersebut membawa maksud seluruh orang Melayu hendaklah memahami Islam secara menyeluruh sehingga mengenal Islam itu sebagai cara hidup bukan hanya berfungsi sebagai agama semata-mata seperti yang difahami oleh mereka yang beragama lain, di mana agama mengikut fahaman mereka tidak mencakup keseluruhan hidup manusia, sebaliknya sekadar perkara-perkara yang berkaitan ibadat semata-mata.

Langkah ke arah orang Melayu memahami Islam secara menyeluruh ini perlu dipanjangkan ke dalam kehidupan harian masyarakatnya. setelah tamat persekolahan pendidikan Islam perlu dikayuh dan dipandu sehingga ke stesennya liang lahat, langkah ini sedang dijalankan tetapi masih berhajat kepada semakan dan kajian semula untuk memacu lebih laju lagi supaya ianya dapat dilonjakkan lebih jauh dan tinggi lagi. Setelah orang Melayu memahami Islam secara menyeluruh oleh seluruh orang Melayu, ketika itu barulah orang Melayu memiliki kesatuan fikrah, maka inilah sebenarnya landasan dan teras perpaduan Melayu, orang Melayu tidak mempunyai resipi lain yang boleh menyatukan sesama mereka. Pada pandangan penulis buat masa ini orang Melayu belum memiliki sepenuhnya resipi tersebut.

Sangat penting mendalami Islam.
Prasa kata kedua menyatakan sangat penting bagi orang Melayu mendalami Islam. Kenyataan ini penulis maksudkan bahawa setelah orang Melayu memahami Islam secara menyeluruh (bukan ditebuk-tebuk sebahagiannya sahaja ) , mereka perlu melangkah sederap kehadapan lagi iaitu berusaha mendalaminya dalam bentuk kumpulan atau usrah yang disusun atau dikendalikan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan wibawa. Bukan badan sukarela kerana kelolaan badan sukarela akan terkandas apabila berlaku pertembungan dengan pihak yang berkuasa. Badan sukarela masih diperlukan tetapi hanya sebagai sokongan kepada yang sedia diaktifkan oleh pihak yang berkuasa.

Kumpulan istimewa.
Dalam masyarakat Melayu Islam juga perlu wujud kumpulan istimewa yang boleh menjadi pakar rujuk kepada kumpulan yang lain. Mereka ini sudah tentulah terdiri dari ulamak, disebabkan kita memerlukan tenaga dan sumbangan ulamak maka perancangan mewujudkan ulamak juga perlu digerakkan. Perancangan ini sebenarnya telah pun wujud sejak zaman berzaman, kewajipan kita bukanlah mewujudkannya tetapi memelihara dan mengekalkan serta memperkayakannya lagi. Disamping menghormati kewibawaan ulamak memberi nasihat dan fatwa dalam semua situasi dan penuh kebebasan, tegasnya terikat sepenuhnya kepada al.Quran dan Sunnah.

Nampaknya kenyataan pertama di atas sangat penting dan utama digerakkannya supaya perpaduan dan persaudaraan yang disebutkan di dalam Islam menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Dalam kontek artikel ini penulis menyebut Orang Melayu kerana orang Melayu mendominasi tetapi pada hakikatnya apa yang disarankan di dalam artikel sebenarnya ditujukan kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa dan keturunannya.

Klik artikel kaitannya:

Sekian...wallahu aklam.


No comments: