Wednesday, January 26, 2011

Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan.

Salam semua.

Membuat kebaikan dan kebajikan bukanlah suatu kerja yang susah, membuang ranting kecil yang menghalang di tengah jalan pun termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan, malah senyum yang kena pada tempatnya pun sudah dikira perbuatan yang dijeniskan kebaikan ( khairat).

Walau bagaimana pun kebaikan itu sesuatu yang berkualiti seharusnya pengamal (pembuat) kebaikan itu juga berkualiti, iaitu dilakukan dengan penuh ikhlas, semata-mata kerana menyahut perintah Allah, sekiranya melibatkan harta-benda seperti bersedekah atau memberi sumbangan perlulah harta-benda itu diperolehi secara halal atau dari harta yang halal tanpa sifat-sifat tersebut perbuatan kebaikan itu hanya kelihatan baik tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kebaikan itu seharusnya dilihat baik dan hakikatnya pun baik jua.

Kebaikan yang diperolehi itu pula perlu dijaga dan dipelihara supaya ianya tidak terhakis, perbuatan yang boleh menghakiskan pahala kebaikan di antaranya mengungkit-ungkit, menyakiti penerimanya dan riyak ( menunjuk-nunjuk ). Tegasnya setelah melakukan kebaikan minda hendaklah fokus sepenuhnya supaya sentiasa berada di dalam keihklasan tanpa bucur sedikit pun keadaannya.
_____________________________________

[148]
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[ Surah Al.Baqarah ]


[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[ Surah Al.Baqarah ]

____________________________________________


Sekian...wallahu aklam.

No comments: