Sunday, January 30, 2011

Bagaimanakah anda melihat dan menilai piramid ?.

Salam semua.


Artikel Dari Facebook.


Hari ini aku terasa ingin menulis di ruangan nota ini kerana sebelumnya aku tidak berapa perasan tentang kewujudannya setelah Facebook membuat beberapa pembaharuan yang mana semasa diberi peringatan untuk mempelajarinya supaya tidak ketinggalan pada kemudian hari nanti. Jelas peringatan itu betul dan benar, akhirnya aku ketinggalan dalam banyak perkara ekoran perubahan tersebut. Pada suatu hari aku menulis di "status" ini agak panjang dan melebihi yang dihadkan, setelah aku klik untuk dikongsi bersama "share", tiba-tiba aku dinasihatkan supaya menulisnya di dalam nota, inilah peristiwa yang mendorong aku menulis di sini pada hari ini.


Aku sebenarnya hendak menulis mengenai apa yang telah berlaku di Tunisia dan sedang berlaku di Mesir, di Tunisia telah selesai sebahagian besar dari masalah rakyatnya di mana mereka terkongkong di dalam suatu pemerintahan yang mengabaikan kebajikan rakyat, sebaliknya pemimpin mereka mementingkan diri sendiri.Di Mesir juga rakyat terperangkap di dalam situasi yang sama, rakyat sekian lama terperangkap di dalam kesengsaraan kerana kerajaan mereka tidak mampu memuaskan kehendak rakyat yang rata-rata inginkan kebahagian di dalam kehidupan mereka, agaknya kesabaran sudah sampai kemuncaknya.Demikianlah maklumat yang aku terbaca dari sumber media tempatan yang boleh dipercayai.


Apa pun pada asalnya rakyatlah juga yang memilih pemimpin dan pada akhirnya rakyatlah juga yang menerima padahnya, apabila rezeki yang Allah kurniakan di dunia ini tidak diagihkan secara yang adil, lambat laun keburukan akan menimpa rakyat dan pemimpin, peringatan ini telah diketahui manusia tetapi kerana ketamakan dan mengutamakan kepentingan diri maka perbuatan tidak adil terus berlaku berpanjangan sehingga mereka semua terperangkap di dalam kesilapan keputusan mereka sendiri, termasuk mereka yang memberi keputusan yang betul pun terpaksa berada di dalam perangkap kejahilan itu. Pemimpin yang bijak biasanya cepat mengesan kesilapan dan keterlanjuran mereka, lantas membuat anjakan tanpa dipaksa rakyat jelata. Rakyat yang bijak pula memberhentikan sokongan kepada ketidakadilan.


Terbentuknya sebuah kerajaan adalah sama pembentukannya seperti terbentuknya sebuah piramid, puncaknya tidak akan wujud kalau asasnya tiada, puncaknya ibarat pemimpin, asasnya ibarat rakyat yang menyokongnya. Pemimpin kecil, sederhana dan tertinggi asas kewujudannya adalah sama, jika prosesnya berdasarkan amalan demokrasi.


kalau pemimpin membuat kesalahan dan kesilapan dengan sengaja dan disedari oleh rakyat , berikutan itu mereka tidak membuat anjakan minda dan terus menyokongnya, maka segala kesalahan dan kesilapan itu akan ditanggung bersama, sebabnya tanpa asas, puncak tidak akan wujud. Tanpa sokongan kesilapan dan ketidakadilan tidak akan terus berlaku. Hanya mereka yang tidak menyokongnya sahaja yang akan terlepas. Situasi ini wujud pula kewajipan untuk mengembalikannya kepada kesejahteraan yang asal.


Kewajipan ini terangkum di dalam surah Ali Imran ayat 104 yang menyarankan manusia supaya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan, mafhum dari ayat tersebut seperti berikut;

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

DAN

Allah berfirman di dalam surah An.Nisa' - ayat 59 - yang bermaksud ,
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya ".

Sekian...wallahu aklam.

No comments: