Wednesday, January 12, 2011

Orang Islam dituntut supaya menutup keaiban saudaranya.

Salam semua.


Ajaran Islam melarang penganutnya mencari keaiban orang lain, sebaliknya menuntut supaya menutup keaiban saudaranya serta wajib menutup keaiban diri.

Larangan mendedahkan keaiban orang lain.

Ajaran Islam merupakan suatu ajaran yang sempurna dan lengkap, panduannya mampu membawa manusia ke arah kesejahteraan dan keamanan di dunia dan di akhirat. Membuka dan mendedahkan aib seseorang individu bertujuan semata-mata mengaibkannya adalah dilarang oleh Islam. Mencari-cari keaiban orang tentulah tahap larangan atau dosanya lebih melunjak lagi. Malah sebaliknya Islam menuntut dan menyuruh penganutnya menutup keaiban sesama saudara Islamnya. berlebih-lebih lagi keaiban diri sendiri.

Mencerita, menulis dan menyebarkan sesuatu aib yang masih samar dan digambarkan serta diyakinkan pendengar atau pembaca seolah-olah /seumpama melihat
situasi atau di lokasi sebenar dengan dua biji matanya sendiri .
Sebagai seorang Islam perbuatan tersebut amat keji dan dilarang serta akan dipertanggungjawabkan ke atas dirinya pada Hari Kiamat nanti. sama ada perbuatan itu betul-betul berlaku atau tidak, perbuatan menyebarkan itu tetap salah, berlebih-lebih lagi perbuatan itu dilakukan tanpa dirinya dan tidak melihat melalui suatu penyaksian yang sebenar, ( sebaliknya perbuatan memyebarkan keaiban itu hanya berdasarkan dengar cakap sahaja , di mana sifatnya penuh dengan prasangka ).

Firman Allah bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani". ( Al.Hujurut - ayat 12 )

Firman Allah bermaksud;
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.” (An-Nuur: Ayat 19)

Firman Allah (maksudnya):
"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).

Suruhan menutup keaiban sesama saudara Islam dan larangan mencari dan menyebarkan keaiban ini membuktikan Islam adalah "addin" atau suatu cara hidup yang mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan, di mana orang Islam sesama orang Islam seumpama satu anggota badan, jika susah sama-sama merasai kesusahan, jika senang sama-sama merasai kesenangan tersebut, nasihat menasihati dan tolong menolong di dalam perkara kebaikan dan kebajikan.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
"Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah swt akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah swt akan menolong hambaNya selagi hambanya itu menolong saudaranya."(Muslim & Abu Daud)

Sabda Rasulullah.s.a.w. bermaksud.
"Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah swt akan menutup keaibannya pada hari kiamat dan sesiapa yang mendedahkan keaiban saudaranya yang Islam, Allah swt akan mendedahkan keaibannya, sehingga dia akan dimalukan di dalam rumahnya sendiri." (Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud.
"Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Larangan mendedahkan keaiban diri kepada orang lain.

Melakukan perbuatan dosa/maksiat ( 'aib ) atau perbuatan yang keji dan menceritakannya pula kepada orang lain adalah juga perbuatan yang dilarang oleh Islam, tegasnya keaiban diri wajib ditutup serapat-rapatnya, menceritakan atau mendedahkannya akan menambahkan lagi dosa tersebut kerana moral dari pendedahan itu seolah-olah menggalakkan orang lain mengikut jejaknya, jika seseorang itu ingin mendapatkan nasihat dari seseorang memadai menceritakan secara umum tanpa mendedahkan sejujur-jujurnya bahawa dia sendiri yang melakukannya kerana ditakuti keaiban itu akan dibucurkan pula kepada orang lain, perkara yang penting dari nasihat itu hanyalah untuk mendapatkan cara memohon ampun atau bertaubat kepada Allah, anggaplah proses tersebut sebagai salah satu cara menuntut ilmu bukan menyerah diri kepada sesiapa. Hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkannya.

Hadis di bawah ini sangat sesuai untuk dirujuk,

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata,
"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah." (Muttafaqun ‘alaih HR Bukhari dan Muslim).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyebut seseorang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak ada padanya dengan tujuan hendak mengaibkan orang itu, Allah akan menahannya dalam api neraka sehingga dia datang membuktikan wujud perkara yang dikatakannya itu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Catatan.
Larangan tersebut tidaklah sampai menggugurkan perintah supaya mencegah perkara mungkar, masing-masing mengikut situasinya yang tertentu.

Sekian... wallahu aklam.


No comments: