Thursday, January 27, 2011

Lain hulu lain parang. Lain dulu lain sekarang.

Salam semua.

Pada hematku.

Lain hulu lain parang.
Lain dulu lain sekarang.
Lain dulu .
Saya ingin mengenengahkan beberapa kelainan dan persamaan yang diamalkan oleh orang dahulu, khasnya orang Melayu Islam. terutamanya dalam aspek pandangan hidup dan kehidupan harian mereka berdasarkan pandangan dan tanggapan saya sendiri yang pernah melihat dan memerhatinya pada suatu ketika dahulu. Paparan ini bukanlah sesuatu yang ilmiah, sebaliknya sesuai dikategorikan sebagai artikel ringan sahaja.

Pada peringkat awal orang Melayu menerima dan memahami Islam itu sebagai suatu agama dan kehidupan harian itu sesuatu yang asing pula, agama Islam itu dianggap berada sebaris dengan adat, cuma ianya lebih sedikit nilainya. Islam itu difahami sesuatu yang asing dengan kehidupan harian dan tidak disepadukan dengan kehidupan harian setiap individu, walaupun pada akhirnya individu itu akan membentuk suatu masyarakat yang memerlukan peraturan Islam, dalam pada itu terdapat juga aspek yang disepadukan, tetapi tidak menyeluruh dan istiqamah dalam fahaman mereka. Penilaian ini dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap cara hidup harian masyarakat umum orang Melayu. ( bukan masyarakat pondok yang lebih faham mengenai Islam pada ketika itu).

Sebagai contoh di dalam masyarakat Melayu terdapat watak-watak yang realiti yang diberi gelaran seperti haji, lebai, ustaz, imam, bilal, siak, noja dan lain-lain. Ramai di kalangan orang dahulu memahami dan beranggapan bahawa orang-orang inilah yang patut bersolat setiap waktu, orang inilah juga yang patut berakhlak baik dan yang istmewanya mereka menggunakan kuasa sendiri mengecualikan diri mereka, mereka tidak perlulah bersolat secukupnya dan berakhlak baik kerana mereka bukan lebai, haji atau orang yang bergelar seperti di atas. Malah mereka tidak merasai kekok dan bersalah pula, jika melakukan perkara salahlaku kerana melanggar perintah Allah. Pada hal hukum Allah itu diperintahkan ke atas setiap individu manusia, termasuk makhluk jin sama ada mengenai suruhan atau larangan-Nya dan penilaian Allah pula akan dibuat ke atas setiap individu di akhirat nanti, bukan berdasarkan label atau gelaran seseorang. Semua manusia di sisi Allah adalah sama sahaja kecuali mereka yang paling bertaqwa sahaja akan dinilai sebagai orang yang paling mulia di sisi-Nya.

Di peringkat atasan pun berlaku cara berfikir yang tidak sepadu dan berliku-liku seperti tersebut. Suatu kebiasaan kalau pada ketika itu terdapat kenyataan oleh seorang pemimpin atau ketua jabatan yang menyatakan ustaz-ustaz dan orang-orang agama perlulah mempelajari bermacam ilmu di dalam bidang akademik supaya fikiran dan pandangan mereka menjadi lebih luas dan moden, kenyataan ini sangat positif bagi golongan tersebut, apa yang terkurang di sini ialah mereka tidak pula melihat sebaliknya walaupun masih ramai pemimpin atau pegawai di berbagai peringkat yang tidak memahami Islam termasuk ketua-ketua jabatan yang masih ramai mengamalkan kehidupan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan meneruskan budaya penjajah, tidak pula disarankan supaya golongan yang bukan ustaz atau bukan golongan agama yang dilabelkan itu patut menambahkan pengetahuan Islam dan menghayatinya. Sepatutnya mereka yang kurang ilmu Islam disarankan supaya menambahkan ilmu Islam dan mereka yang kurang ilmu akademik pula perlulah disarankan supaya mendalami ilmu akademik.

Kalau di sekolah-sekolah ustaz-ustaz atau Guru-guru Pendidikan Islam sememangnya telah memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia di dalam bidang akademik dan Empat Thanawi di dalam bidang ilmu Islam serta memiliki diploma pendidikan sebelum boleh menjadi seorang ustaz atau Guru Pendidikan Islam, bagi mereka yang berijazah sudah tentulah lebih mantap lagi ilmunya. Apa yang hendak diperjelaskan di sini ialah berlakunya saranan yang tidak seimbang sehingga menyebabkan terdapat ramai di kalangan orang akademik tidak berpeluang mendalami Islam. Sikap demikian sedikit sebanyak telah menyebabkan pertembungan nilai di dalam masyarakat dan sukar disatukan.

Ketika itu Malaysia dilihat terdapat 2Malaysia selayaknya iaitu golongan agama dan bukan golongan agama yang senarionya memperlihatkan dua aliran pemikiran yang wujud di dalam minda Melayu. Begitulah hasil pemerhatianku pada zaman itu dan rasa kekok pula hendak menyebutnya kerana istilah yang digunakan itu tidak tepat dan sifatnya menjurus kepada kemunduran Islam dan dirasakan terkeluar pula dari istilah ad.Din atau suatu cara hidup.

Lain sekarang.
Sudah tentulah sekarang ini berbeza situasinya, memakai ketayap putih,serban dan jubah tidak lagi dikhaskan kepada golongan agama atau haji yang diistilahkan pada zaman dahulu. Kini orang Melayu telah menyedari bahawa pakaian tersebut layak dipakai oleh semua orang Islam untuk menunjukkan cintanya mereka kepada budaya Islam atau budaya Rasululah.s.a.w. walaupun setengah pihak menyatakan itu adalah budaya Arab bukannya budaya Islam , apa pun penilaian terhadap perkara tersebut, yang pastinya semua orang Islam boleh memakainya dan nilai tersebut sudah mulai diterima ramai. Bagi mereka yang cintakan Islam, mereka gemar memakainya kerana dengan itu jiwa mereka terasa semakin dekat dengan tanah Arab dan Rasulullah.s.a.w, perkara yang penting dalam isu ini mendekatkan diri dengan Rasulullah.s.a.w.

Perubahan lain yang ketara pada masa kini ialah kefahaman Islam sudah meresap masuk ke dalam berbagai peringkat orang Melayu, mereka yang berlatarbelakangkan akademik berminat mendalami ilmu Islam dan berjaya mewujudkan ilmuan yang islamik, Doktor, jurutera, ahli sains dan lain-lain telah memahami Islam itu sebagai suatu cara hidup yang sempurna dan memperjuangkan cara hidup tersebut setelah mereka menghayatinya di dalam keluarga sendiri. Selain dari nilai Islam merentas kurikulum di sekolah dan Universiti kesepaduan ilmu itu juga datang dari aktiviti dakwah yang terdapat di dalam masyarakat.

Fahaman lama.
Fahaman lama seperti yang disebutkan di dalam era zaman dahulu itu masih wujud atau tidak pada masa kini . Bagi menjawabnya semestinya kita kenalah semak senario kehidupan masyarakat kini, nampaknya fahaman lama itu tetap wujud dan berkembang. Selagi wujud mereka yang kurang memahami Islam selagi itulah akan wujud nilai yang tidak selari dengan Islam.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: