Thursday, March 31, 2011

Bencana dan kerosakan berlaku bersilih ganti untuk menginsafkan makhluk yang berakal.

Bencana dan kerosakan berlaku bersilih ganti untuk menginsafkan manusia.



Artikel ringkas ini dipetik dari laman Facebook.

Jam 10.10 pagi tadi saya menonton Siaran Langsung Dari Parlimen. Saya tidak ikutinya dengan sempurna, sebaliknya sebahagian sahaja iaitu berkaitan dengan soalan dan jawapan mengenai kemalangan jalan raya, kemudiannya mengenai persoalan di Sarawak melalui temubual pengacara dengan Yb Bintulu kalau tidak salah pemerhatian saya. Agaknya sebahagian kempen......., artikel ini tidak berminat hendak menyentuh hal-hal mengenai politik parti walaupun apa yang disentuh ini juga adalah tidak dapat lari daripada amalan politik tetapi berminat untuk muhasabah berkaitan kerosakan yang telah, sedang dan akan berlaku di dunia ini dengan merujuk kepada peringatan Allah di dalam al.Quran .

Menyentuh tentang kemalangan jalan raya dikatakan berluas-luasa kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak baik, sikap bermakna akhlak, menyentuh tentang akhlak ini bukan sahaja di jalan raya di mana-mana sahaja seharusnya baik, di parlimen itu sendiri pun kena baik, kalau di parlimen itu sendiri tidak baik maka merebaklah akhlak buruk itu seperti radiasi yang sedang merebak di dalam laut dan lautan selepas berlakunya tsunami di Jepun.

Pada hemat penulis untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak perlu diubah kurikulum sekolah memandu, rasanya kurikulumnya sudah memadai dan sempurna tetapi sebaliknya akhlak manusia yang ingin memdapatkan lesen memandu itu perlu dididik dan diasuh terlebih dahulu sebelum mereka sampai ke sekolah memandu, bukan dididik di sekolah memandu tetapi pendidikan sepadu di dalam masyarakat perlulah diamalkan dan persekitaran yang sesuai juga perlu disediakan, kalau sepanjang tahun masyarakat kita dihidangkan dengan amalan buruk orang dewasa tentulah pembentukan sikap masyarakat ke arah kebaikan sukar dicapai. Amalan nilai-nilai yang baik sewajarnya bermula di rumah dan akhirnya penghayatan tersebut akan melebar ke dalam masyarakat.

Berbalik kepada bencana dan kerosakan yang berlaku berselisih ganti seperti kejadian tsunami, banjir, tanah runtuh, ledakan gunung berapi, gempa bumi dan lain-lain, di antara berlakunya kejadian tersebut ada juga yang berkaitan dengan kesilapan manusia.

( Surah al.Baqarah ayat 195 dan Surah ar.Rum ayat 41 )

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, March 26, 2011

Usia hanya berbaki sejengkal.(puisi)

Salam semua.

Bila aku baca aku jadi ego.
bila aku dengar aku jadi ego.
bila aku tonton aku juga jadi ego.

aku marah kepada mereka.
aku hairan kepada mereka.
aku seperti mahu ajar mereka.
Mindaku bercampur-campur.

Mereka kelihatan cerdik.
mereka juga kelihatan bodoh.
seumpama pendek akal.
seumpama tiada keturunan.
seumpama tiada anak dan cucu.
seumpama tiada generasi pengganti.
seumpama sebatang karah.
seumpama tiada arah dan wawasan indah.

Seolah-olah tiada makrifat.
tiada khatam.
tiada kubur.
tiada kiamat.

Jangan disangka usia berbaki sedepa.
usia hanya berbaki sejengkal.
mata telah berlapis.
gigi telah dipalsukan.
rambut juga telah diinaikan.
tulang memerlukan tambahan kalsium.


Thursday, March 24, 2011

Sunat ingatkan mati.(puisi)

Salam semua.

Khamis sudah siap berdiri.
Jumaat pula akan diganti.
Begitulah hari besilih ganti.
Istiqamahnya pekerjaan nadi dan hari.

Manusia melihat semuanya ini.
Ada yang disimpan di dalam hati.
Merenung hidup yang abadi.
Merujuk kepada kitab suci.

Mengetahui diri akan mati.
Sama ada suka atau tidak sudi.
Gerak nadi pasti akan berhenti.
kubur tetap setia menanti.

Memang sunat mengingatkan mati.
Supaya manusia sedarkan diri.
Kapal yang ditumpangi akan dibocori.
Biar pun buatannya besi keluli.

Setiap yang bernyawa akan mati.
Janganlah tertipu keindahan duniawi.
Kerana di sana akan diteliti.
Segala amal dan juga bakti.

Penulis juga mengingatkan diri.
Agar tidak terlanjur nanti.
Sama ada bidang kehidupan awami.
Atau politik perintah negeri.

Peringatan dari Mekah (puisi)

Salam semua.

Menahan lukah di daratan indah.
Umpannya bangkai dan lintah.
Dilihat ikan terus ingin meratah.
Ramailah terperangkap di dalam lukah.

Di merata tempat diletaknya lukah.
Di daratan mahu pun di lembah.
Di atas udara dan juga di bawah.
Pendeknya lengkaplah sudah.

Kelihatan benar tetapi entahlah.
Bukan itu cara yang indah.
Salah pendekatan amatlah terserlah.
Masyarakat rosak semua akan susah.

Jelaslah kehidupan semakin gundah.
Bak ikan diracunkan sudah.
Air jernih sudah berubah.
Hidup berkat jadi punah.

Belum pasti saatnya sudah.
Lepas satu, satu lagi musibah.
Mencipta onak dalam lembah.
Orang baik turut susah.

Agaknya kematian tukang penyudah.
Di sanalah nanti akan gelabah.
Menyedari diri tersilap langkah.
Buku catatan ditutup sudah.

Menyesal kemudian tidak indah.
Di Akhirat telah bertukar wadah.
Dunia jua tempat ibadah.
Demikianlah peringatan dari Mekah.

Sejak iqra' turun ke bawah.
Seluruh dunia jadi indah.
Kerana iqra' membawa rahmah.
Menjana kesejahteraan seluruh ummah.


Tuesday, March 22, 2011

Ujian Allah.(puisi)

Salam semua.

Allah masih menguji kita.
di mana pun kita berada.
biar di kampung atau di kota.
penganjur wadah keliru bersuka ria.
adakah kita juga bersama mereka.
Bukankah kita sama-sama keliru dan buta.
mengapakah ungkapan kita seumpama berlaku di depan mata.
Bagaimanakah kalau rekaan semata.
carilah akarnya di mana bermula.
jangan melihat pada pucuk kerana mungkin akarnya tiada di bumi yang nyata.
Mungkin kelihatan persis pokok tetapi replika semata.
Hanya Allah yang mengetahui duduknya perkara.
simpan sahaja di dalam peti, jangan diuji di maya pada.
Bersihkan udara, amankan persekitarannya.
CINTALAH DIRI SENDIRI. CINTALAH NEGARA DAN CINTAILAH GENERASI MUDA.

Saturday, March 12, 2011

Menghayati solat mulai ucapan takbir sehingga memberi salam.

Salam semua.

Menghayati solat mulai ucapan takbir sehingga memberi salam , memahami, menyentuh hati, aktif, sedar dan mendarah daging .


Artikel ini ingin memaparkan secebis panduan yang mungkin dapat membantu diri sendiri dan mereka yang memerlukannya, khasnya mereka yang tidak faham bahasa Arab untuk menghayati dan menghidupkan atau mengaktifkan minda menjerus kepada semua aktiviti yang sedang berjalan ketika mereka sedang melakukan ibadat solat. Mungkin panduan ini dapat meningkatkan kekhusyukan ketika bersolat.

Bersolat adalah tempoh masa seseorang hamba itu berjumpa dan berintraksi dengan Allah, merendahkan diri dan memohon segala yang diperintahkan, segala yang dilakukan itu adalah juga yang disuruh dan diperintah-Nya. Kehadiran kita di tempat solat memerlukan kehadiran seluruh tubuh badan dan jantung hati dengan itu barulah kita dapat fokus kepada apa yang sedang dilakukan ( bukan separa sedar ).

Untuk kekhusyukan itu kita perlu memahami apa yang sedang berlaku sama ada yang berbentuk perbuatan atau perkataan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang tidak memahami bahasa Arab masih boleh menghayatinya dengan memahaminya secara umum segala apa yang berlaku sepanjang sesuatu solat ditunaikan.

Sebagai contoh;
Sekurang-kurangnya kita memahami perkara-perkara seperti yang dipaparkan di bawah ini. Paparan ini sebagai perintas jalan sahaja banyak lagi item yang perlu dipelajari dan ditambah.

_________________________________________

Pengertian Solat :
Makna Solat di dalam bahasa Arab ialah doa.

Dari segi istilah syara' pengertian solat :
ialah [ Perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan ucapan salam, beserta dengan syarat-syaratnya yang tertentu ] .

Jika diperhati dan diteliti amalan dan ibadat solat dipenuhi dengan doa dan harapan.


Maksud Surah Al-Fatihah.
"Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat".

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.
Doa Qunut
Y
a Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Artikel ini sekadar pembuka jalan ke arah berfikir secara proaktif khususnya mengenai ibadat solat yang wajib dilakukan oleh setiap muslim yang telah mukallaf.

Sekian...wallahu aklam.

Friday, March 11, 2011

Penawar penyakit kanser.

Salam semua.

Barah/Kanser adalah suatu penyakit yang amat sukar diubati, belum terbukti perubatan moden berjaya mengubatinya - apa yang dilakukan hanya suatu ikhtiar yang mereka sendiri tidak yakin dapat menyembuhkan.

Apa pun penyakit asal usulnya adalah ciptaan Allah jua, segala penawarnya berada di sisi Allah, sesiapa yang berikhtiar dan mencarinya serta memohon dari Allah, insya Allah akan berjaya mendapatkannya.

Ayat-ayat yang tercatat di bawah ini adalah salah satu penawar bagi mengubati penyakit kanser seperti yang dijelaskan secara umum oleh Tuan Haji Lukman Abdul Hamid salah seorang Pengamal Perubatan Al.Quran dari Pusat Perubatan Al.Hidayah. KL.

Untuk amalan secara tepat dan berkesan pesakit perlulah mendapatkan nasihatnya secara langsung.
Buatlah temujanji untuk berjumpa dan berbincang dengannya.

______________________________________

23:91
23:92

23:93
23:94
23:95
23:96
23:97
23:98
23:99
23:100

Maksudnya:
[91]
Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.
[92]
(Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan.
[93]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan kepada mereka (di dunia), -
[94]
“Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu”.
[95]
Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu azab yang Kami janjikan kepada mereka.
[96]
Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.
[97]
Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan
[98]
“Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
[99]
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -
[100]
“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
( Surah al.Mukminun )
_____________________________________________

Sekian...wallahu aklam.

Kewujudan Facebook palsu.

Salam semua.

Pada kebiasaannya sesuatu yang palsu tidak digemari dan tidak bermanfaat kepada manusia tetapi dalam pada itu rupanya terdapat juga barangan palsu yang diperlukan dan berguna untuk manusia. Rambut palsu, gigi palsu dan umpan palsu di anatara barang palsu yang disukai bagi sesetengah manusia, namun demikian sesuatu yang palsu tentulah ianya kurang berkualiti dan ada juga yang tidak bermanfaat langsung dan merugikan pula.

Kini berbagai perkara palsu wujud di kalangan masyarakat pernah berlaku perompak menyamar sebagai polis palsu, penipu menyamar sebagai doktor palsu atau datuk palsu atau agensi palsu dan seumpamanya, semuanya ini menggambarkan senario kurang sihat di kalangan masyarakat kita.

Kewujudan Facebook palsu suatu lagi item kehidupan palsu dan kepura-puraan di dalam kehidupan nyata kita kini. Facebook palsu diwujudkan bukan kerana seronok suka tetapi tersirat di dalamnya motif dan niat tertentu di sebalik kepalsuan tersebut. Situasi ini ibarat musang berbulu ayam yang tersirat kemunafikan akhlak dan aktivitinya, apakah ianya tiada fatwa atau hukum mengenainya , berdasarkan kehidupan Islam dan nilai-nilainya sudah pasti ianya melibatkan salah satu hukum yang sedia termaktub di dalam ajarannya, sekurang-kurangnya melibatkan salah satu hukum sama ada pahala atau dosa.


Jika terdapat ramai yang menyamar identiti orang lain akan merosakkan ketelusan dan kejujuran di dalam kehidupan sesuatu masyarakat, kerosakan itu akhirnya akan juga merosakkan diri sendiri dan keluarga , tugas mewujudkan kesejahteraan dan keamanan adalah tanggungjawab bersama kerana kebaikan itu akan terhasil sekiranya semua pihak mematuhi nilai-nilai sejagat yang sewajarnya dihayati oleh semua manusia sebagai penghuni bumi Allah ini.

Sekian...wallahu aklam.

Thursday, March 10, 2011

Kursus Haji dan bayarannya.

Salam semua.

Kursus Haji dan bayarannya.

Di beberapa masjid atau surau telah pun memulakan Kusus Haji untuk kemudahan masyarakat Islam yang memerlukannya. Di Selangor biasanya dijalankan pada hari Sabtu/Ahad kerana hari tersebut adalah hari cuti umum, ketika saya berada di Kedah dahulu kursus ini diadakan pada hari Jumaat/Sabtu kerana di sana pula bercuti pada hari berkenaan. Di Masjid Negeri Shah Alam ( Masjid Salahuddin
Abdul Aziz Shah) telah pun mengadakannya sejak dua Ahad yang telah lalu,( kalau tidak silap telahan saya ).

Pada Ahad lepas saya telah pergi meninjau ke sana didapati kursus tersebut sedang dijalankan, para peserta dikenakan RM100.00 untuk seorang, Kursus dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji, mengikut maklumat yang saya dapati pada hari akhir nanti Tabung Haji akan memberi satu set pakain ihram untuk peserta lelaki dan telekung untuk perserta wanita.

Saya kurang bersetuju dengan pendekatan demikian, menetapkan pendaftaran RM100.00 dan memberi sesuatu kemudiannya menjadikan para peserta terperangkap dengan penetapan yang terkadangnya tidak sesuai bagi sesetengah peserta, mungkin barangan yang diberikan itu tidak sesuai ( pemberian itu sebenarnya jualan secara tidak langsung ) kerana berkemungkinan mereka telah memilikinya.Selain dari itu mereka yang kurang berkemampuan terpaksa membayar RM200.00 untuk pasangan mereka, mungkin kaedah di bawah ini lebih menjimatkan dan boleh menolong mereka yang kurang berkemampuan.

Cadangan kepada masjid/surau.
Merujuk kepada pengalaman yang telah lalu, Sebagai contoh; di Masjid Bkt Matang Gedung dan Masjid Al.Majidi. Sg.Layar Hujung. Sungai Petani, Kedah telah berpengalaman beberapa tahun dalam melaksanakan kursus ini sehingga kini masih beroperasi. Peserta kursus tidak dikenakan sebarang bayaran ( kursus adalah percuma). Penceramah dibayar oleh pihak masjid, kursus biasanya diadakan sebanyak 12 seri. Tabung Derma khas untuk kursus akan diedarkan semasa kursus sedang dijalankan, dengan cara ini dapat menolong mereka yang kurang berkemampuan kerana mereka yang berkemampuan menyedari derma untuk majlis ilmu besar ganjarannya, maka mereka akan menderma dengan kadar yang banyak. Penceramah, Tabung Haji atau sesiapa sahaja diberi peluang membuka gerai jualan barangan keperluan haji pada hari tersebut dengan syarat mereka menghulurkan sedikit derma kepada tabung program tersebut. Bukan sahaja kursus itu percuma, malah penganjur mampu menyediakan makan-minum/ kudapan pada masa rehat secara percuma kepada peserta dan penceramah.

Untuk menggalakkan ramai penyertaan AJK masjid/surau membuat iklan dengan berbagai cara dan kaedah.
Setiap tahun pihak masjid masih mempunyai wang baki setelah membuat pembayaran kepada pihak penceramah dan mampu membuat jamuan secara besar-besaran kepada para peserta dan penceramah pada hari penutup kursus serta mampu menumbangkan seekor lembu atau kerbau untuk menjayakan jamuan tersebut. Semua perbelanjaan berkenaan dari wang derma Kursus Haji dan juga sumbangan khas untuk majlis ilmu tersebut.

Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, March 8, 2011

Kini budaya fitnah telah berada di tengah masyarakat.

Salam semua.

Budaya fitnah pada suatu ketika dahulu situasi dan tempatnya sangat terpinggir dan terpencil serta tersembunyi tetapi kini ianya terserlah dan terpampang di dada akhbar serta terdapat juga yang dibukukan di dalam buku yang berkulit indah dan dijual dengan harga yang berpatutan, malah ada juga yang mahal, media elektronik juga tidak ketinggalan memberi ruang sepuasnya kepada budaya buruk ini. Laman blog dan facebook serta laman alam maya yang lain juga turut mengambil bahagian untuk memburukkan lagi persoalan tersebut. Oleh itu masyarakat kita dari berbagai kalangan meratahnya setiap hari.

Fitnah dihias indah sehingga kelihatan bukan lagi kebatilan, sebaliknya menjadi bahan rujukan rapuh di dalam kehidupan bagi sesetengah pihak yang tidak lagi mahu meneliti akar umbinya kerana hiasan yang meliputi dan membaluti fitnah itu sangat indah dan berkualiti. Situasi itu berjaya memperdayakan mereka yang malas berfikir dengan menggunakan akal sendiri untuk membuat penyiasatan. Memang benar dan tepat pepatah Melayu yang menyatakan " Orang bodoh makanan orang cerdik" , orang cerdik yang dimaksudkan ialah orang cerdik yang jahat dan berkepentingan diri.

Operasi perang saraf yang dijalankan oleh sesetengah pihak bukanlah lesen untuk menyebarkan fitnah atau merekacipta pembohongan yang berganda kerana perbuatan itu akan merosakkan struktur dan keamanan masyarakat. Sudah tentu aktiviti seumpama itu bukan budaya penganut Islam. Sebaliknya budaya itu perlu dijauhi dan dicegah tetapi dalam keadaan dan senario sekarang terasa sukar untuk mendepaninya.

Slogan Bersih, Cekap dan Amanah yang dilaungkan bersama pada suatu ketika dahulu seolah-olah telah ketinggalan zaman dan tidak berguna lagi pada zaman ini, arah tuju dan mauduk pendidikan masyarakat kelihatan tempoh hayatnya sangat pendek ianya bergema dan berfungsi mengikut musim, tegasnya pendidikan kemasyarakatan kita berjalan dan beroperasi secara tidak beristiqamah, mungkin disebabkan sumber ambilannya tidak menyeluruh dan ditambah pula dengan niat dan tujuan yang tidak mencakup keseluruhan matlamat pendidikan itu sendiri. Merujuk kepada matlamat Pendidikan Islam ianya sentiasa istiqamah sejak ianya diwahyukan kepada Nabi Muhammad.s.a.w.dan berterusan sehingga akhir zaman.
______________________________________________

Peringatan untuk kita dari Surah al-Hujurat ( ayat 6 sehingga 15 ) yang bermaksud,

[6]

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[7]
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
[8]
(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[14]
Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[15]
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

__________________________________________



Sekian....wallahu aklam.

Berbohong sifatnya beranak-pinak.

Salam semua.

Berbohong sifatnya beranak-pinak.

Berbohong atau berdusta sifatnya tidak statik, sebaliknya beranak-pinak dan berkembang luas, Sebagai contoh; jika seorang pelajar yang ponteng sekolah membohongi gurunya bahawa beliau tidak ke sekolah kerana sakit perut dan apabila ditanya tempat beliau mendapatkan rawatan, mungkin beliau menyambung pembohongannya dengan memaklumkan kepada gurunya bahawa beliau mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran dengan rumahnya dan berbagai lagi cerita dan alasan diberikan kepada gurunya untuk meyakin yang beliau memang sakit perut, semua alasan itu adalah anak-pinak pembohongan tersebut. Pada mulanya berbohong bahawa beliau sakit perut , kini pembohongan itu telah berkembang luas.
__________________________________________

ISLAM MELARANG PENGANUTNYA BERBOHONG.

###

Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati(alqalb).
(Maksud Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
.

__________________________________________

Berbohong juga mempunyai statusnya yang tersendiri, terdapat pembohongan yang mampu mengukir sejarah, jika cerita pembohongan itu dibukukan akan menjadi lebih gah lagi pembohongan tersebut, sudah tentu akan dibaca pula oleh ahli masyarakat berkenaan selagi buku itu di dalam pasaran.

Walau apa jenis pembohongan sekali pun, sama ada pembohongan kampung-kampungan, glokal atau global. Seseorang itu mustahil dapat membohongi dirinya sendiri, oleh itu pembohong itu tetap menyedari bahawa beliau berbohong. Diri sendiri mungkin berusaha untuk menjadikan pembohongan itu sebagai kenyataan atau apa yang diketengahkan itu persis realiti, usaha itu adalah sia-sia, sekiranya dapat mempengaruhi semua orang sekali pun, diri sendiri tetap tidak boleh dibohongi
.

Apa pun yang berlaku pada diri semuanya berpunca dari jantung hati ( qalb )

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, March 2, 2011

Tanggung dosa sendiri.

Salam semua.

Semua manusia mempunyai dosa,cuma kadarnya sahaja berbeza di antara satu sama lain, hanya nabi dan rasul sahaja maksum ( tiada dosa). Dosa berlaku apabila kita melanggar perintah Allah, seperti meninggalkan suruhan dan melanggar larangan-Nya. Setiap kesalahan akan dicatat dan direkodkan oleh malaikat yang ditugaskan Allah dan catatan tersebut akan dibentangkan pada Hari Akhirat untuk dihisab atau dihitungkannya, sekiranya tidak diampunkan akan dimasukkan ke dalam neraka mengikut keadaannya masing-masing.

Ketika sebelum baligh.
Kanak-kanak belum baligh tiada sebarang dosa kerana mereka tiada apa-apa tanggungjawab, mereka ini dianggap putih bersih seperti kain putih.Oleh itu manusia tidak boleh dikaitkan dengan dosa sebaik sahaja mereka dilahirkan sehinggalah mereka baligh.

Orang dewasa, ibu bapa atau waris berkewajipan mendidik kanak-kanak yang belum baligh yang di bawah jagaan masing-masing. Sekurang-kurangnya memberi pelajaran yang dikategorikan sebagai Fardu 'Ain, di mana pelajaran ini diwajibkan ke atas orang Islam yang telah baligh mengetahui dan menguasainya, kurikulumnya mencakup perkara asas panduan hidup bagi orang Islam.

Sekiranya kanak-kanak di peringkat ini melakukan kesalahn atau melanggar perintah Allah kerana kelalaian waris mendidiknya, maka warisnya berdosa di atas kelalaian itu, walaupun kanak-kanak itu tidak melakukan kesalahan waris tetap berdosa di atas mengabaikan tanggungjawabnya sebagai waris. Dosa tersebut bukanlah dosa kanak-kanak itu kerana seperti dinyatakan tadi bahawa mereka itu tiada dosa, dosa itu adalah dosa waris itu sendiri, dalam hukum Islam seseorang itu tidak dibebankan dengan menanggung dosa orang lain. Kita hanya menanggung dosa kita sendiri. Kalau pendidikan telah diberikan dengan sempurna tetapi kanak-kanak itu masih melanggar larangan Allah , maka tiadalah apa-apa dosa ke atas waris mahupun ke atas kanak-kanak itu disebabkan mereka itu belum baligh lagi.
_____________________________________________
[18]
Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.

(Surah Fatir)
______________________________________________

Ketika selepas baligh.
Sekiranya seseorang itu melanggar perintah Allah ketika telah baligh, maka barulah dikira dosa, setiap aktiviti orang yang telah baligh akan dinilai sama ada aktiviti mereka mendapat pahala atau dosa. Tiada suatu aktiviti pun yang terkeluar dari zon penilaian Allah, semua aspek kehidupan manusia akan dinilai sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan seumpamanya.( Islam adalah cara hidup ). Memberi pendidikan kepada anak-anak adalah kewajipan yang tiada penghujungnya, cuma yang berbeza hanya situasi dan tahapnya sahaja, pendidikan adalah dakwah.

Sekian...wallahu aklam.