Friday, April 6, 2012

Apa bezanya bersolat di Masjidil Haram dengan Masjidil Nabawi.

Salam semua.
Artikel ini tidak menukilkan aspek  pahala  berganda yang dikurniakan Allah di Masjidil Haram di Makkah dan di Masjidil Nabawi di Madinah berbanding dengan masjid-masjid yang lain tetapi ianya lebih kepada ingin mendedahkan pengalaman dan menceritakan sentuhan emosi dan perasaan sendiri dan kawan-kawan ketika bersolat di masjid  yang terpilih dan mulia itu. 

Suasana di Masjid Nabawi lebih tenang dan aman sewaktu saya berada di sana, mungkin berbeza pula pada ketika yang lain, pada ketika yang lain wallahu aklam.

Saya dan sahabat-sahabat kebiasaannya akan pergi ke masjid pada jam 3.00 pagi untuk menunaikan solat Subuh iaitu satu jam atau lebih sebelum masuk waktu, kalau pergi seawal itu memungkin kita berada di saf hadapan, itupun saf yang kedua atau yang ketiga, situasi ini bagi mereka yang menaiki penerbangan awal yang terus ke Madinah untuk mereka yang akan menuaikan fardu Haji, mereka yang menaiki penerbangan yang terkemudian kira-kira minggu yang kedua ketika ini manusia telah penuh sesak di Masjid Nabawi peluang berada di saf hadapan dan memasuki Raudah agak sukar dan tipis.waktu-waktu solat yang lain biasanya kami akan pergi 30 atau 40 minit sebelum masuk waktu solat, untuk waktu Subuh kami datang lebih awal kerana qiamullail, banyak solat sunat dapat dilaksanakan sebelum masuk waktu subuh.

Berbalik pada mereka yang berada di saf hadapan dan di dalam kawasan Raudah, kedudukan tersebut membuatkan emosi dan perasaan kita sangat tersentuh dan menyebabkan terharu kerana kedudukan itu berhampiran dengan Makam Nabi, terasa seolah-olah  bersolat bersama dengan Nabi Muhammad.s.a.w, tambah terharu lagi apabila imam membacakan ayat-ayat tertentu yang membawa alunan yang lembut dan merdu, sekiranya difahami bacaannya, tidak syak lagi air mata akan menitis, malah  menangis dalam keadaan tersedu-sedan sehingga selesai solat.

Rasa sedih dan terharu kerana mengenangkan masih banyak lagi suruhan yang belum ditunaikan dan juga malu dengan sikap kita yang tidak istiqamah dalam merealisasikan suruhan Allah dan Rasul-Nya.Pun begitu masih bersyukur kerana masih ada iman yang mampu mendorong mencetuskan perasaan menyesal itu. 

Di Masjidil Haram Makkah ketika saya sampai bakal Haji tidak begitu ramai lagi, jumlah mereka meningkat setiap hari, akhirnya pada minggu ke dua jalan raya dan semua laluan ke masjid telah penuh sesak, habuk berterbangan sepanjang masa, senario itu menyebabkan bakal Haji terasa letih dan tercabar, solat dilakukan dalam keadaan letih dan penat, namun demikian mereka gagahkan diri melakukannya dan cuba sedaya upaya menunaikan solat di Masjidil Haram, bukan di hotel yang mereka diami, bersolat di Masjidil Haram lebih puas dan khusyuk, berlebih-lebih lagi dalam keadaan  Kaabah betul-betul berada hampir di hadapan.

Di Masjidil Haram rasa sedih dan terharu agak kurang berbanding dengan di Masjidil Nabawi walaupun perasaan itu tetap wujud tetapi kurang mencuit, tetapi, ketika Tawaf Widak perasaan itu kembali menyusuk jiwa, persoalan yang difikirkan adakah tawaf ini betul-betul widak (perpisahan) dan tidak akan datang lagi pada masa yang lain, perasaan ini bermain-main di minda, maka ketika itulah juga merayu-rayu pada Allah supaya tidak menjadikan kehadiran itu sebagai kehadiran terakhir, doa ini dibaca semasa  sedang tawaf di Kaabah dan selepas solat sunat, inilah masa yang paling sedih dan terharu.

Kini setiap kali bersolat akan terbayang Kaabah dan suasananya termasuk suasana di persekitaran Makam Nabi,Raudah dan saf-saf di antara imam dan Makam Nabi, Perkara yang masih kekal di hati ialah perasaan rindu dan ingin pergi ke sana sekali lagi atau beberapa kali lagi sangat tinggi.

 Ya Allah izinkanlah saya dan isteri ke sana lagi dalam masa terdekat ini...amin.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: