Monday, April 2, 2012

Pandanganku - Persatuan Penduduk.



Salam semua.
Kebetulan Persatuan Penduduk komuniti tempat saya tinggal kini baru sahaja selesai mengadakan Mesyuarat Agung Kali Pertamanya setelah kurang lebih setahun bergerak di peringkat penaja, sebahagian taman ini didiami penduduknya telah melebihi 5 tahun dan sebahagian lagi baru sahaja siap dibina dan diduduki, apabila sebahagian penduduk merasakan penduduk di sini memerlukan sebuah persatuan, maka barulah beberapa individu yang proaktif  berbicang dan bermesyuarat yang menjurus kepada penubuhan persatuan tersebut.Akhirnya tertubuhlah Persatuan Penduduk yang dimaksudkan dan didaftarkan di peringkat penaja. 


Mesyuarat Agung.
Setelah Jawatankuasa Penaja bergerak melaksanakan aktiviti kebajikan dalam tempoh kurang lebih setahun dan persatuan didaftarkan barulah persatuan ini merancang mengadakan Mensyuarat Agung berpandukan Perlembagaan Persatuan atau Undang-Undang Kecilnya, akhirnya pada 1 April 2012 diadakan Mesyuarat Agung Tahunannya buat kali pertama dan melantik Ahli Jawatankuasa Barunya bagi sesi 2012/2014. 

 Kehadiran.
Kehadiran ke mesyuarat tersebut tidak mendapat sambutan seperti yang dihajatkan oleh AJK Penaja, mungkin para penduduk di sini kebanyakkannya mempunyai tugas yang tidak dapat ditinggalkan dan sebahagiannya pula tidak mahu terlibat dengan persatuan kerana mereka mempunyai tugas lain di mana tugas yang sedia ada memang berat dan rumit dengan itu lebih baik mereka tidak hadir dan serahkan sahaja kepada orang lain untuk menerajukan persatuan dan bagi diri mereka akan patuh membayar yuran bulanan sahaja.
Penempatan ini masih belum mempunyai kemudahan surau dan dewan oleh itu kami terpaksalah menyewa khemah untuk dijadikan tempat bermesyuarat pada hari Mesyuarat Agung, ketiadaan surau dan dewan akan menjadi agenda penting untuk dilaksanakan oleh persatuan nanti, perkara inilah merupakan pendorong kepada kami untuk menubuhkan persatuan. Tanpa kemudahan tersebut hubungan silaturrahim sukar hendak dijanakan, pada hal  kewujudannya sangat penting di dalam kehidupan sesuatu masyarakat khasnya masyarakat Islam, kalau dibiarkan ianya berterusan tentulah masyarakat setempat akan membawa diri masing-masing tanpa kemesraan dan bekerjasama di antara satu sama lain.

Sikap.
Sikap masyarakat dalam menyertai persatuan dan menggerakkannya bagi menjana manfaat bersama sangat penting, untuk menghidupkan sesuatu persatuan setiap ahli hendaklah mengelakkan diri dari merasai dirinya kurang penting atau tidak penting, setiap ahli mempunyai peranan dan mampu berperanan mengikut kemampuan dan kebolehan serta kemahiran masing-masing, kehadiran ke mesyuarat adalah sangat penting sama ada mesyuarat Jawatankuasa atau Mesyuarat Agung, tanpa korum yang mencukupi (iaitu semestinya kehadiran 2/3 daripada bilangan AJK) mesyuarat tidak boleh membuat apa-apa kelulusan yang melibatkan kewangan dan sudah tentunya wang tidak dapat dikeluarkan untuk sebarang perbelanjaan, sedangkan aktiviti kebanyakannya memerlukan perbelanjaan, catatan nama ahli yang hadir yang disertai dengan tandatangan  dan catan minit setiap mesyuarat amat penting, perkara yang dicadangkan hendaklah dicatat dengan tepat bersama nama pencadang dan penyokong kepada cadangan yang dikemukakan kerana catatan itu menjadi saksi bahawa mesyuarat memang dijalankan dengan korum yang cukup sehingga membolehkan Jawatankuasa meluluskan perkara-perkara yang penting khasnya mengenai kewangan.Tegasnya peranan setiap ahli persatuan sangat penting dan tidak patut diabaikan.

Gagal hadir.
Mereka yang tidak hadir ke mesyuarat tanpa apa-apa keuzuran merekalah penyebab gagalnya sesuatu mesyuarat,mesyuarat  gagal dilaksanakan apabila korumnya tidak mencukupi, demikianlah kesan yang terhasil dari sikap yang merasai dirinya kurang penting di dalam sesuatu mesyuarat pada hal dirinya telah  dilantik menjadi AJK yang diamanahkan untuk turut serta di dalam mesyuarat dan akan sama-sama membuat keputusan, demikian juga di dalam Mesyuarat Agung kerana mesyuarat ini mengira korumnya berdasarkan kehadiran ahli biasa dan termasuk AJK , jika kehadiran mereka gagal mencapai 2/3 bilangan ahli atau dua kali ganda  bilangan Jawatankuasa (pilih mana yang lebih kecil).Maka Mesyuarat Agung pada hari tersebut tidak boleh diteruskan atau dijalankan.Dalam hal ini semua ahli dan AJK perlulah memahami perlembagaan persatuan berkenaan.


Wallahu aklam.

No comments: