Wednesday, April 18, 2012

Nasihat untuk Bakal Haji (2).

Salam semua.
Muqaddimah.

Artikel ini adalah sambungan artikel "Nasihat untuk Bakal Haji (1)" dalam artikel ini saya akan cuba memberi panduan atau nasihat yang mungkin akan memberi manfaat kepada Bakal Haji atau sesiapa sahaja yang belum berpengalaman mengerjakan Haji membacanya, Dalam artikel yang telah lalu  memaparkan perkara yang berkaitan dengan mengerjakan ibadat Haji, kali ini saya akan memaparkan aktiviti sosial atau kehidupan yang bertalian juga dengan artikel yang telah lalu itu. Saya akan menukilkannya dalam bentuk nombor juga supaya mudah difahami, cara itu juga dapat menyelesaikan sebahagian kecil kelemahan saya dalam bidang tulisan, jika disampaikan secara prosa yang panjang akan menyebabkan saya melakukan lebih banyak kesalahan bahasa dan struktur ayatnya.
Merujuk kepada tajuk artikel kali ini saya akan menyenaraikan beberapa nasihat atau panduan bersama beberapa kisah yang saya masih ingat.

Di antaranya:

1. Rambut sama hitam tetapi  hati lain-lain.
Apabila kita berada di Makkah atau Madinah anggaplah manusia ini sama sahaja seperti di negara kita dari segi akhlaknya, kata pepatah "rambut sama hitam tetapi hati lain-lain" ada yang baik dan ada yang jahat, ada pencuri, penipu dan sebagainya, sekiranya berfikir demikian kita akan berwaspada dan menjaga diri serta harta kita dengan baik dan selamat. 
  
Dalam lautan manusia tentunya terdapat mereka yang telah disebutkan itu, semasa bakal Haji yang datang dari seluruh dunia itu bergerak pergi atau balik ke masjid atau ke mana-mana lokasi, pernah  berlaku beberapa peristiwa buruk dan tidak diingini, kejadian seperti penjahat yang berkeliaran dijalanan merampas beg tangan, seluk poket dan sebagainya, Bakal Haji yang mengadu kehilangan wang dan telefon bimbit telah menjadi lumrah, kehilangan kasut atau baju di kalangan bakal Haji sendiri pun berlaku, di kalangan ribuan Bakal Haji juga tidak semuanya ikhlas untuk mengerjakan Haji dan berusaha untuk mendapatkan Haji Mabrur. Mereka yang tinggal jauh dari masjid risikonya akan lebih banyak lagi.Laluan atau jalan yang Bakal Haji guna untuk pergi dan balik ke tempat kediaman sentiasa sahaja dipenuhi manusia, sentiasa penuh sesak terutamanya ketika hampir masuk waktu solat dan selepas menunaikan solat.

2. Peminta sedekah dan peragut.
Gambar dari google


 Ramai juga peminta sedekah yang duduk beratur ditepi atau di tengah laluan ke masjid mereka itu terdiri daripada kanak-kanak cacat yang mana keadaannya menimbulkan syak bahawa mereka digerakkan oleh sindiket tertentu, selain itu terdapat juga peminta sedakah yang kelihatan layak berbuat demikian.
 
Bukan semua yang berpakain hitam itu jahat tetapi hendaklah berhati-hati.

Terdapat juga peminta sedekah yang berpura-pura berlakon sebagai peminta sedekah lakonan itu semata-mata untuk menyenangkan mereka merapati kita, badan bertemu badan, setelah merapati mangsa peminta sedekah itu berjalan bersaing dan memulakan taktiknya dengan meminta-minta tetapi tangannya  bergerak-bergerak mencari barang yang berharga sama ada telefon bimbit atau wang di dalam saku mangsa tanpa sedari oleh mangsa yang malang itu, apabila tiba masa yang mereka fikirkan telah sesuai untuk bertindak, maka dengan secepat kilat mereka meragutnya dan terus menghilangkan diri, sedangkan si mangsa masih memikir-mikirkan apa yang sedang berlaku sama ada jujur atau sebaliknya orang yang menghampirinya itu.Cara ini biasanya dilakukan oleh wanita berkulit hitam dan pakaiannya juga hitam.Ada banyak cara lagi penyangak ini melakukannya ada yang terus merampas atau  meragutnya dan terus cabut lari. 
Cerita ini bukanlah hendak menakutkan sesiapa. Senario ini adalah perkara biasa, dalam ribuan dan jutaan manusia sudah pasti terdapat manusia yang baik dan jahat, dalam seratus orang awam mungkin terdapat tiga orang pencuri...mungkin/boleh jadi....Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada.

3. Makanan.
Dalam perkara tiga ini saya ingin menyentuh sedikit sahaja berkaitan dengan makanan yang disediakan oleh Tabung Haji bagi mereka yang pergi melalui Muassasah, sudah tentulah  berbeza dengan mereka yang pergi melalui pekej swasta kerana pekej tersebut bayarannya lebih mahal. Pada hemat saya makanan yang disediakan adalah sesuai, bagi setengah orang yang tidak selera menjamahnya, itu adalah  faktor cita rasa individu ( imej di atas adalah salah satu contoh makanan yang pernah dihidangkan ), dalam hal ini terdapat juga di kalangan orang Melayu mempercayai bahawa kalau dirungut atau disebut makanan tertentu tidak selera dimakan, maka akan tidak berseleralah sepanjang masa individu tersebut berada di Makkah al.Mukarramah, kepercayaan adalah tidak tepat dan salah, kalaulah itu tidak boleh disebut, bagaimana pula nasib penjenayah yang disebutkan di atas tadi, kesalahan mereka lebih besar dan zalim pula. Balasan Allah ada yang dibalas di dunia dan ada yang ditangguh ke akhirat sama ada kesalahan/dosa itu dilakukan di Makkah atau di mana-mana.

4. Rakan sebilik. 
Pergaulan dengan rakan sebilik banyak bergantung kepada  sejauh mana tahap komunikasi, timbang rasa  dan  bertolak ansur  yang dimiliki atau diamalkan, kalau banyak beralah insya Allah pergaulan dan kerjasama dengan sesama rakan sebilik akan berada pada tahap yang baik dan berkat, kalau sikap seseorang itu berupa  banyak mengalah dan penting diri sendiri, situasi itu mencipta banyak musuh dan menimbulkan kebencian rakan-rakan.

5. Hubungan dengan suami isteri.
Kebiasaan pergaulan suami isteri yang berjalan tidak lancar dan kurang bersopan sejak berpuluh tahun di rumah atau  dikampung akan muncul kembali setelah mereka berada agak lama di sana, ianya balik asal, kalaulah pergaulan mereka aman,mesra dan berkomunikasi dengan penuh kasih sayang  ketika melayari kehidupan bersama di Tanah Air, kebiasaan ini akan berterusan. Oleh itu Bakal Haji perlulah menyemak dan muhasabah tahap pergaulan mereka, jika berada di tahap yang rendah maka hendaklah membuat anjakan ke arah yang lebih baik dan berkat mulai sekarang.

6. Duit dan barang berharga hilang.
Duit dan barang-barang berharga perlulah disimpan di tempat yang dijamin selamat, simpanan itu biarlah menjadi rahsia kepada semua, terutamanya di dalam bilik kediaman, kalaulah hilang sesuatu yang berharga di dalam bilik kediaman dikongsi bersama itu tentulah akan menimbulkan fitnah iaitu tuduh menuduh, sekurang-kurangnya tuduhan itu berlaku di dalam hati masing-masing, tidak dapat dinafikan bahawa kejadian kecurian dan kehilangan yang berlaku di kalangan Bakal Haji pencurinya adalah Bakal Haji sendiri, kasut atau selipar sering juga hilang di surau/musolla, kekadang apabila sampai masa hampir berangkat pulang ke Tanah Air tiba-tiba kasut atau selipar tadi muncul semula, ada juga yang hilang terus, cerita ini sebagai contoh sahaja,terdapat banyak lagi yang berlaku, - siapa lagi - semuanya Bakal Haji yang berada di sekitar tersebut, ada juga yang bukan Bakal Haji tetapi peratusnya sangat kecil.Dalam ribuan Bakal Haji tidak mustahil perkara itu boleh berlaku.

7. Pakaian dan peralatan yang dibawa bersama.

Pakaian, keperluan dan peralatan yang hendak dibawa hendaklah merujuk kepada nasihat yang diberikan oleh Tabung Haji, saiz beg seperti tertera di atas adalah memadai, walaupun kelihatan agak kecil, masukkan barang-barang yang paling penting dahulu, pakaian tidak perlu dibawa terlalu banyak kerana di sana nanti sudah tentu anda akan berseronok membeli belah, terutamanya membeli pakaian, boleh dikatakan semua barangan keperluan terdapat di kedai-kedai yang berhampiran dengan hotel kediaman. Gunting, penyangkut baju, timba plastik dan lain-lain semuanya senang didapati, di tepi kiri kanan jalan terdapat deretan kedai sehingga ke dataran Masjidil 
Haram,
  
 demikian juga di Madinah al.Munauwarah, dari aspek komunikasi amatlah senang bagi orang Malaysia kerana bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi yang telah lazim bagi peniaga  Arab dan juga bangsa lain di Makkah dan Madinah, kalau kita lalu di hadapan kedai akan kedengaran ajakan dan panggilan atau pelawaan " MARI-MARI MURAH MURAH".

8. Mandi pada waktu malam sahaja.
Cuaca di sana pada amnya tidak menggalakkan kita kerap mandi, seeloknya mandi hanya sekali pada waktu malam, pada waktu siang tidak perlu mandi, kalau berjalan jauh pada siang hari atau malam pun sememangnya akan mengeluarkan peluh yang banyak dan juga melembabkan baju yang dipakai tetapi peluh di badan atau yang melembabkan pakaian itu akan cepat kering, selepas kering tidak pula berbau busuk sebaliknya kita akan merasi segar kembali dan pakaian itu boleh dipakai semula, kalau kita kehendaki.

9. Kain Ihram (lelaki).
Berbagai saiz dan jenis kain ihram dijual di pasaran, dalam membeli kain ihram ini juga perlu teliti dan berhati-hati, kalau tersilap  membeli saiz besar dan tebal, ianya akan mengambil ruang sebahagian besar  di dalam beg dan selain itu akan menyusahkan pula ketika hendak ke Padang Arafah dan Mina kerana pada ketika berangkat ke sana Bakal Haji dinasihatkan supaya menggunakan beg sandang/galas  sahaja sesuai dengan ruang tempat yang disediakan di dua tempat tersebut. 
Pilihlah kain ihram yang  lebih kecil saiznya dan nipis yang masih sesuai dipakai, jenis ini lebih ringan dan tidak mengambil ruang yang banyak apabila dimasukkan ke dalam beg oleh itu ruang bakinya dapatlah dimasukkan barangan mustahak yang lain.
Boleh juga sedia dua set kain Ihram di mana setiap set berlainan jenis kain iaitu kepingan di bawah lebih tebal dan kepingan yang nipis dipakai di bahagian  atas , apa pun gunalah budi bicara sendiri.


( untuk tidak terlalu panjang, artikel ini akan disambung pada artikel berikut, "Nasihat untuk Bakal Haji (3)"....) 


Pembacaan artikel ini akan sempurna sekiranya tajuk " Nasihat untuk Bakal Haji (1) dan (3) juga dibaca kerana dua tajuk ini ada kesinambungannya. 

No comments: