Tuesday, April 10, 2012

Berhijrah dari Negeri Pakatan Rakyat ke Negeri Pakatan Rakyat.

Salam semua.

Pertengahan tahun 2008 aku berpindah dari Sungai Petani, Kedah  ke Shah Alam, Selangor, ketika itu Kedah telah  diperintah oleh Parti Pakatan Rakyat ( PAS.KEADILAN dan DAP ) baru  beberapa bulan dan belum lagi dapat melihat kesannya, manakala tempat baruku juga diperintah oleh Pakatan Rakyat, juga masih baru dan juga belum dapat melihat kecekapan atau kelemahan mereka, setelah lama memerintah barulah keterampilan mereka dapat dikesan dan diketahui umum.
Kebetulan pada masa aku berhijrah itu negeri Perak masih di dalam pemerintahan Parti Pakatan Rakyat oleh itu laluan aku sehingga ke Selangor tidak melalui negeri yang diperintah oleh Parti Barisan Nasional.Perubahan itu aku turut terasa semacam orang lain juga, sambil mengharapkan perubahan itu menjadi suatu perubahan yang lebih positif dan lebih berlaku adil di dalam kehidupan ini.
Kedah dan Selangor pendapatannya bertambah dan meningkat, peningkatan pendapatan bagi dua negeri ini dan termasuk negeri Pakatan Rakyat yang lain dipercayai disebabkan tindakan mereka menutup lubang-lubang yang memungkinkan  berlaku ketirisan.Hasil pendapatan dari sumber kayu balak di Kedah meningkat berkali ganda, manakala di Selangor banyak sumber yang dikatakan meningkat berkali ganda.Setiap bulan rakyat Selangor diberi air percuma, kadar 20 meter padu yang diberikan percuma itu kekadang mencukupi, kalau penggunaannya melebihi kadar tersebut barulah kena bayar, selain itu banyak lagi kemudahan yang dberikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor ini. 
                                                
Sebenarnya aku bukan hendak menceritakan kejayaan Pakatan Rakyat memerintah, aku cuma ingin mengingatkan semula detik aku bertolak ke sini (Shah Alam) yang mana ketika itu aku berkeadaan tidak sihat, aku memandu kereta dalam keadaan sakit kepala dan tidak ceria sama sekali, namun begitu alhamdulillah aku sampai dengan selamat di rumah yang akan aku diami bersama keluarga.

Setelah beberapa bulan aku di Shah Alam kesihatanku semakin sihat dan semakin sihat sehinggalah saat aku menulis ini pun masih sihat, semuanya adalah kehendak Allah jua, pada sangkaanku kesihatanku akan lebih teruk lagi kerana setiap orang akan semakin tua termasuklah diriku, aku memang terasa penghijrahan kali ini penghijrahan yang amat berkat dan aku amat bersyukur pada-Nya.Rupa-rupanya  aku  berhijrah ke sini telah hampir 5 tahun , masa istiqamah menjalankan tugasnya menggerakkan detik saat tanpa culas.
Pilihanraya ke:13 nampaknya sudah hampir tiba waktunya pula, pada hari pilihanraya ke:12 aku masih ingat suasana di perjalananku balik ke kampung dari Sungai Petani ke Alor Setar untuk mengundi iaitu menjalankan kewajipanku sebagai seorang warga negara tulen, ketika itu aku melihat di sepanjang perjalanan terutamanya di kawasan Smeling dan Bedong orang muda bergerak berkumpulan dengan menanggung bendera parti sokongan masing-masing di atas bahu, aku terkejut apabila melihat anak muda India dan Cina membawa bendera PAS, sebenarnya aku tidak hiraukan sangat kempen pilihanraya pada tahun tersebut, oleh itu aku ketinggalan dan tidak tahu sangat perkembangannya.

Sekian...wallahu aklam.

2 comments:

Anonymous said...

Saya juga tertarik dengan cara PAS Kedah memerintah,, tetapi dakwaan hasil balak meningkat tu tak berapa tepat sebab saya pernah bertanya berapa keluasan sebenar dan kawasan mana balak ditebang untuk penulisan saya, namun tidak ada satu catatan yang benar2 boleh saya tulis untuk menyokong kenyataan tersebut kerana sememangnya hasil meningkat dengan pertambahan keluasan menebang balak.. apa yang dihebohkan tidak selari dengan apa yang fakta. Saya juga pernah menjelajah di daerah Baling dan Sik, serta sekitar jalan Bukit Selambau ke pekan Sg Lalang, nampaknya jalan banyak yang pecah dan tidak dibaiki, berlopak dan menyedihkan. Rupanya lori yang membawa pasir sungai secara berlebihan yang kerap keluar masuk menggunakan jalan-jalan tersebut. Saya mengagumi ustaz azizan,, tapi saya mula marahkan orang kanan dan kiri yang membuat keputusan lebih sudu dari kuah. Kalaulah semua ketua PR best macam ustaz,,, dah lama PR memerintah agaknya!

Leenoh said...

Salam.
Terima kasih kepada Tanpa Nama kerana memberi ulasan, saya menulis artikel ini secara bersantai dan sepintas lalu sahaja, tulisan ini tidak ilmiah dan tidak juga melalui carian yang boleh disahkan kebenarannya.
Tetapi, jika dipandang berdasarkan akal yang waras,Pakatan Rakyat memerintah hanya baru beberapa tahun sahaja tentulah tidak adil kalau hendak dibandingkan dengan kerajaan yang telah lalu yang begitu lama memerintah tetapi tidak juga berjaya mensejahterakan rakyat, walaupun tidak dapat dinyatakan dalam bentuk angka yang tepat seperti Jabatan Audit Negeri tetapi secara kasar pun memadai kerana perbezaan pendapatannya jauh berbeza dengan pendapatan yang diperolehi dan direkodkan pada masa yang lalu .
Anda menyatakan anda tidak dapat menulis kerana tidak perolehi fakta keluasan tetapi di dalam ulasan ini anda tahu pula tentang keluasan kawasan balak yang ditebang itu.

Publisiti dan propaganda memang wujud tetapi tidaklah sehebat media arus perdana yang mendapat peluang liputan hampir 24 jam.Ini pun bermasalah juga bagi rakyat menilainya.

Pengendalian jalan raya adalah tanggungjawab bersama, ada jalan raya negeri dan ada jalan raya Persekutuan, dua-dua kerajaan ini bertanggungjawab diatas kekurangan dan kelebihannya, pengendalian ini biasanya tidak adil apabila sesuatu negeri itu diperintah oleh parti lawan, disekat dengan cara yang tidak serasi dengan perlembagaan negara, kita disogokkan dengan cara berpolitik yang kurang sihat yang akan menjadi warisan anak cucu kita pada masa akan datang.
Cukai dikutip dan dipungut, pelaksanaannya serasi pula dengan perlembagaan ( untuk tidak berpecah belah amalan ini harus diberhentikan ).

Ulasan dan pandangan saya tidak terikat dengan mana-mana parti kerana saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik, namun saya prihatin dengan poitik sebab buat masa ini politk terlibat secara langsung dengan kehidupan rakyat.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan alu-alukan komen dan ulasan anda walaupun dalam bentuk Tanpa Nama/Anonymous, kalau ditulis nama tentunya lebih manis dan tidak menimbulkan fitnah, maksudnya saya tidak mensyakki kekawan saya sendiri...Wallahu aklam.