Tuesday, April 10, 2012

Jangan hanya jual dan lelong kalimah kosong.

Salam semua.

Zaman menjual dan melelong kalimah dan perkataan kosong telah berlalu, kalau dulu kalimah kosong yang dianggap keramat dijual mengikut musim-musimnya yang tertentu, kini peminat dan pembelinya tidak ramai lagi kerana sebahagian besar dari mereka mendapatkan maklumatnya secara percuma dari alam maya yang terbentang luas peluang mendapatkannya, di sana terdapat yang kosong dan berisi, pandai-pandailah menilainya.

Kalau kalimah dahulu itu diberikan semula secara percuma pun ramai yang tidak mahu lagi menerimanya,tidak bermanfaat menerima kalimah kosong seperti itu.
Bersih,Cekap dan Amanah bukan lagi asing bagi mereka, mereka pernah menjulangnya sebagai kalimah keramat yang patut disanjung dan direalisasikan, setelah disanjung buat beberapa tahun rupanya yang disangka keramat itu kosong semata-mata.

Sejak zamannya sehingga kini, kekotoran yang jelas terbentang tidak dibersihkan , kebimbangan terhadap sempadan negara yang bocor  sehingga membolehkan ramai orang  asing bolos masuk ke dalam negara dan berpeluang hidup pula di tengah-tengah masyarakat tempatan dengan bebas tanpa diusik, kebocoran itu  menggambarkan bahawa itulah situasi tidak cekap dan tidak amanah, walaupun BCA pernah  berada di setiap hujung lidah rakyat pada suatu ketika dahulu tetapi  perancangan  mengaplikasi dan merealisasikannya berakhir dengan  kegagalan, kegagalan itu  menjadikan slogan itu kosong dan tidak berguna, lantas para pemaju kalimah tidak mengulang sebutnya lagi. 

Kini kalimah baru mengambil tempat, BCA menjadi sejarah yang mencatatkan kegagalan, wasatiyah atau kesederhanaan pula ditabur benihnya menggantikan Islam Hadari, ia  juga bersifat  kalimah, belum pasti realiti dan berisi.Islam Hadari adalah juga slogan keramat, ianya juga dirasakan seperti telah hilang atau berada di belakang tabir.

Merealisasi dan melaksanakan wasatiyah memerlukan manusia yang  telah dan sedang menghayati dan mengamalkan kehidupannya secara wasatiyah, mereka yang memamerkan kehidupan mewah dan berbagai lagi amalan hidup yang bersifat melampau dan boros tidak akan memberi kesan maksimum  dalam  mempromosikan  wasatiyah untuk dihayati di dalam masyarakat kerana ianya akan bersifat umpama  ketam mengajar anaknya berjalan betul.Kumpulan penganjur atau pelaksana kehidupan ini hendaklah  menunjukkan contoh dan teladan kepada rakyat bawahan, buktikan bahawa keluarga mereka mengamalkan kehidupan secara wasatiyah, bukan termasuk di dalam golongan yang belum memulakannya, kalau mereka pun baru ingin  memulakannya tentulah belum layak mencanangkan kehidupan ini.

Pelaksanaan kebaikan dan kebajikan memerlukan keikhlasan dan kejujuran, keikhlasan dan kejujuran bukan hanya perkataan dan kalimah yang bersemayam di hujung lidah tetapi ianya merujuk kepada bekerja dan bertugas kerana Allah, mereka yang berjauhan dengan Allah mungkin akan  gagal merealisasikannya.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: