Friday, April 6, 2012

Cara kita berpolitik semakin melalut.

Salam semua.

                       
                               Hanya pada hematku.

Aku cintakan negara Malaysia ini seperti kebanyakan orang lain juga, setiap hari aku mengikuti perkembangannya, khasnya mengenai pergolakan politik yang sedang berlaku sekarang ini, walaupun aku tidak pernah menganggotai mana-mana  parti politik, aku tidak hanya menonton TV yang terdapat berbagai saluran itu tetapi aku juga mendapatkan maklumat dari media lain yang membolehkan aku membuat pertimbangan dan penilaian, banyak juga maklumat yang aku dapat dan mampu menolong aku untuk membuat penilaian dan tanggapan terhadapnya tetapi tidak semua aku luahkan di dalam blog ini kerana aku tidak seberani ahli politik, aku kini sudah kurang kekuatannya sama ada dalam aspek minda dan juga fizikal, agaknya inilah yang mendorong aku menjadi penakut.

Merujuk kepada tajuk artikel ini aku sengaja meletakkan tajuknya begitu iaitu "semakin melalut" kerana aku melihat senarionya pada masa ini ianya berkeadaan demikian, perkataan melalut itu sering digunakan oleh orang utara, melalut pada fahamanku sesuatu perbuatan yang berlaku agak melebihi atau melampaui dari sepatutnya, pada asalnya bercakap dan berbincang soal politik tetapi berbincangan dan perbahasannya telah terkeluar dari bidang tersebut sehingga menenggelamkan perkara pokok yang sepatutnya dibincang dan dibahaskan, seolah-olah terdapat tujuan tersirat dan yang tersirat itu kalau disuratkan tujuannya ialah untuk mengalihkan fikiran dan pandangan supaya rakyat tidak menilai dasar dan kegagalan serta kejahatan yang telah berlaku dan mereka telah sampai ke situasi di mana mereka tidak mampu lagi melawan dasar dengan dasar, polisi dengan polisi, lantas soal peribadi ditimbulkan.

Apabila soal peribadi diketengahkan dan dihidangkan untuk diratah dan dimamah  oleh rakyat, maka pihak lawan semestinya ingin membela diri dan menyerang balik serangan yang telah dimulakan itu. maka jadilah medan perjuangan yang digunakan itu dipenuhi dengan lumpur dan kekotoran yang memalit setiap mereka yang terlibat dan  rakyat juga turut terlibat kerana merelakan diri perkara itu berlaku serta menyokongnya pula , sepatutnya senario politik kini lebih mudah dan lebih senang untuk mengambil pendekatan yang berkesan dan matang,  hanya dua pasukan atau parti sahaja yang sedang mengambil bahagian dan bertarung, masing-masing bentangkanlah dasar yang hendak dilaksana dan direalisasikan, berdebatlah sepuasnya biar rakyat dan masyarakat menilainya dengan adil dan saksama, kalau benar-benar ingin menjaga negara dan berbakti kepada rakyat itulah caranya yang terbaik, sekarang sudah sampai masanya bagi  para politikus yang telah melalut membuat anjakan ke arah yang lebih baik dan ikhlas.

Sering dikatakan bahawa politik itu memang sifatnya kotor, anggapan tersebut sebenarnya tidak benar dan tidak betul  kerana politik itu sendiri jenisnya maknawi atau abstrak bukannya mujarad, manusialah yang menunggang atau mengaktifkan politik itu, terpulanglah kepada manusia untuk mengotorkan atau menjadikannya bersih dan mulia, kalau manusia yang melibatkan diri dalam politik itu kotor, maka kotorlah politik tetapi manusia boleh berubah menjadi baik, kalau manusia telah berubah menjadi baik. maka baiklah politik dan bersihlah politik, tidak mungkin tuala yang kotor bersama air yang kotor hendak membersihkan permukaan meja yang kotor.

Sebahagian besar  daripada kita  mempunyai zuriat yang sedang menunggu untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab, oleh itu marilah kita sama-sama memulakan usaha  mewujudkan persekitaran yang baik dan hasanah untuk diwarisi anak cucu kita pada masa akan datang, perkara  ini bukan suatu isu  yang boleh dipandang enteng dan remeh, persoalan  ini sebenarnya suatu amanah yang amat berat untuk diaplikasi dan laksanakan, kalau telah tersilap langkah undurlah ke belakang untuk memulakan langkah baru yang lebih baik dan bertanggunjawab.

Sebagai orang Islam, setiap individu harus  melihat dan menilai senario politik dan kehidupan lainnya  melalui kaca mata Islam yang tentunya wajib disepadukan dengan tauhid dan fiqah serta disepadukan juga dengan perkara lain yang dianjurkan oleh Islam, di mana kesepaduan itu  menjadi dasar kehidupan orang Islam sejak mulai baligh sehinggalah diwafatkan Allah nanti, tiada suatu saat pun orang Islam dapat lari atau keluar dari kesepaduan itu kerana perkara itu berada di dalam ruang cakup kesaksian kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: