Saturday, April 28, 2012

Menyara hidup dalam sesebuah rumahtangga adalah kewajipan suami.

Salam semua.

Artikel ini tidak berhajat untuk menulis dengan panjang lebar, hanya sekadar sepintas lalu sambil memberi laluan kepada para pembaca merujuk ayat al.Quran yang telah menjelaskan asasnya yang disebutkan di dalam surah An.Nisa' yang dipaparkan sebahagian terjemahannya di bawah ini.

Dalam institusi perkahwinan suami merupakan ketua rumahtangga dan semua kewajipan khususnya perbelanjaan diletakkan di atas bahu suami tetapi  bagi isteri yang berpendapatan pula atau berharta digalakkan untuk bertolak ansur dalam masalah perbelanjaan ini, sebaliknya bukan atas paksaan suami, suami tiada hak untuk memaksa isteri untuk mengeluarkan perbelanjaan yang sememangnya tanggungjawab suami, atas dasar suami mengizinkan isteri untuk keluar rumah dan pergi bekerja maka sangat lojiklah isteri membantu suami bagi  mengurangkan beban tersebut tetapi suami pula hendaklah bersikap sederhana dan rasional dalam hal ini, jangan sampai suami lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab itu seratus peratus atau melebihi lima puluh peratus ditanggung oleh isteri, sekiranya suami miskin dan mendapat kerelaan isteri untuk berbuat demikian, persepakatan itu boleh diterima dan tidak melampau batasan.

Dalam pembahagian harta pusaka anak lelaki diberi harta pusaka  melebihi apa yang diperolehi adik beradik perempuannya, salah satu sebabnya lelaki akan menyara hidup keluarga manakala perempuan setelah berkahwin akan disara oleh suami mereka, kalau belum atau tidak kahwin akan disara oleh bapa atau saudara lelakinya (walinya). Kalaulah sistem dan peraturan ini diamalkan di dalam kehidupan harian orang Islam secara keseluruhannya pembahagian harta pusaka tersebut adalah adil dan menasabah serta relevan...wallahu aklam.

Kesilapan berlaku apabila orang lelaki hanya melihat haknya dalam mewarisi harta tetapi melupakan tentang kewajipannya terhadap adik beradik perempuan.

Untuk menyelongkar hal-hal lain yang berkaitan dengan mauduk ini, rujuklah sendiri terjemahan ayat al.Quran di bawah ini.

[7]
Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
[8]

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[9]

Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
[10]

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
[11]

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[12]

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[13]

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
[14]

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

[ Surah An.Nisa' ayat 7 - 14 ]

Sekian ...Wallahu aklam.

No comments: