Tuesday, April 24, 2012

PAS telah berpijak di atas bumi yang nyata.

Salam semua.

Artikel ini ditulis berdasarkan pemerhatian terhadap Parti PAS ( Parti Islam SeMalaysia ) sejak puluhan tahun yang telah lalu, pandangan ini merujuk aktivitinya bermula dari  zaman Dato' Mohd.Asri bin Muda menjadi presidennya lagi. Sejak itu dilihat PAS tidak mensia-siakan pengalamannya yang telah lalu, ianya bergerak semakin matang dan relevan dengan masyarakatnya serta menyedari bahawa dirinya adalah sebuah parti politik yang memerlukan sokongan semua lapisan rakyat tanpa terbatas kepada satu bangsa sahaja.

Merujuk kepada Parti PAS sebelum berpakat dengan PKR ( Parti Keadilan Rakyat ) dan DAP harapan untuk memerintah sesebuah negeri di Malaysia ini sangat tipis dan sukar, walaupun parti ini mendapat sokongan hebat orang Melayu/Islam di negeri tertentu, sebagai contoh di negeri Kedah dan beberapa negeri lagi sejak dahulu Parti PAS sememangnya mendapat sokongan hebat daripada orang Islam dan mengatasi sokongan yang diterima Parti UMNO, kalau pertandingan berlaku di antara PAS dan UMNO sahaja rasanya UMNO sukar mengalahkan PAS tetapi setiap pilihan raya undi yang diberikan orang Melayu kepada UMNO akan dicampur dengan sokongan bukan Melayu ( MIC,MCA dan lain-lain )kerana UMNO menyertai pilihan raya atas tiket dan lambang Parti Perikatan/Barisan Nasional , parti-parti yang disebutkan itu adalah parti gabungannya, Akhirnya undi yang sedikit yang diperolehi UMNO itu akan menjadi lebih banyak daripada undi  yang diperolehi PAS. Hakikatnya PAS kalah, Parti Perikatan/Barisan Nasional menang. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia bahawa  Parti UMNO menyertai pilihan raya secara bersendirian dengan menggunakan lambangnya sendiri.

PAS mungkin hanya akan menang di kawasan-kawasan yang penduduknya didiami ramai orang Melayu/Islam yang  melebihi 80% sahaja, di mana kawasan seperti ini pula semakin kurang kerana kerajaan yang sedang memerintah menyedari hakikat ini oleh itu penempatan penduduk atau kawasan pilihan raya  dimurnikan lebih merib memberi  keuntungan kepada parti pemerintah.Inilah padang yang akan  digunakan untuk bertarung di antara PAS dengan lawannya.

Kalaulah pasukan dan strategi tidak disusun semula atau dikemaskinikan mengikut keperluan pertarungan yang inginkan kemenangan maka PAS akan menjadi mangsa setiap kali pilihan raya dan matlamat melaksanakan dasar atau sistem Islam terperap di dalam kertas cadangan sahaja, lebih baik merealisasikan ungkapan yang berbunyi " Tidak boleh buat semua, janganlah ditinggalkan semuanya". Atas roh inilah agaknya PAS kini telah bersama Pakatan Rakyat, iaitu parti gabungan yang disokong dan disertai oleh berbagai bangsa, tindakan PAS ini dilihat  relevan dengan realiti masyarakat Malaysia dan PAS sebagai sebuah parti politik . Langkahnya  dilihat berpijak di atas muka bumi yang nyata bukannya khayalan lagi.

Kembali kepada ungkapan "tidak boleh buat semua, jangan ditinggalkan semuanya" membawa maksud bahawa sesuatu perkara yang kita tidak mampu melaksanakan semuanya lebih baiklah kita memilih jalan dan cara yang membolehkan kita melaksanakan sebahagiannya, dapat juga manfaatnya itu dirasai dan tenaga yang digunakan juga tidak menjadi sia-sia. Tindakan PAS menyertai Pakatan Rakyat merupakan suatu tindakan yang proaktif dan relevan dengan senario rakyat kini  dan perjuangan hendak merealisasikan sistem Islam,mungkin tidak berjaya melaksanakan semuanya tetapi insya Allah sebahagiannya  akan terlaksana jua.

Pada hemat penulis perkara ini berjaya dilaksanakan kerana PAS telah bergerak secara proaktif dan bersangka baik dengan orang bukan Islam sehingga PAS berjaya menjinak dan berjaya memberi kefahaman Islam yang sebenar, salah faham terhadap Islam selama ini juga berjaya dikurangkan,salah faham terhadap Islam banyak membawa kerugian kepada PAS kerana PAS sebuah parti yang mendukung perjuangan Islam dan ingin melaksanakan sistem Islam di dalam negara, walau pun parti-parti  yang menjadi musuh kepada Parti Islam ini mentohmahkan bahawa PAS telah menyeleweng dan sebagainya tetapi di dalam hati kecilnya mereka mengakui bahawa parti tersebut memang memperjuangkan Islam, tohmahan dan fitnah  yang diutarakan itu hanyalah sebagai racun perosak atau alat yang dipasang untuk bertindak bagi mengurangkan sokongan rakyat terhadap PAS.

Sebenarnya akhlak orang yang mengamalkan ajaran Islam itu jauh lebih baik daripada mereka yang mengamalkan Islam sekadar sambil lewa, di mana hal-hal ibadat khusus akan mengikut ajaran Islam tetapi cara hidup harian yang lain mereka lebih selesa meneruskan  amalan tradisi penjajah seperti cara berpakaian, amalan riba dan seumpamanya tanpa usaha membenteras atau mengubah kepada cara atau budaya yang diterima Islam.Sikap ini menyebabkan  orang yang cintakan Islam melihatnya sebagai berbahaya oleh itu kumpulan ini biasanya akan memberi sokongan politik kepada PAS.Akhlak baik yang menjadi amalan itu pula memudahkan orang bukan Islam menaruh kepercayaan .

Pengalaman PAS yang pernah menerima perbandingan dengan parti UMNO, di mana parti PAS dan UMNO pada ketika itu dasarnya hampir sama sahaja, perkara yang berbeza  ialah UMNO menyertai gabungan Melayu,Cina,India dan lain tetapi PAS berdikari tanpa mahu bergabung dengan parti lain yang bukan Islam, perkara lainnya sama seperti UMNO juga. 

Kini PAS tidak boleh lagi disamakan dengan UMNO kerana PAS telah pun mempunyai perlembagaan yang jelas dan nyata yang menyatakan mereka inginkan cara hidup Islam, kepimpinan PAS wajib mematuhi Majlis Syura iaitu suatu institusi yang bertugas mengawal dasar parti.
Untuk mendapat kemenangan di dalam pilihan raya dan seterusnya memerintah bersama dua parti yang lain lagi sama ada di peringkat negeri atau persekutuan , kini PAS telah pun bergabung atau bekerjasama  dalam suatu pakatan yang dinamakan Pakatan Rakyat, sejak  pilihan raya yang telah lalu (PR:12) dan akan datang (PR:13).

Setelah keluar bandar, masuk kampung dan keluar kampung, masuk bandar memberi penerangan kepada rakyat tentang dasar PAS sebenar, penat lelah tersebut tidak mengecewakan mereka, malah menambahkan kekuatan lagi apabila mendapat sokongan yang menggalakkan daripada orang  bukan Islam yang tidak disangka-sangka itu.

Kini Tong Derma mereka semakin berat walau pun pada suatu ketika dahulu mendapat ejekan dari parti lawan, semakin diejek semakin banyak pula orang menderma, orang yang telah menderma akan ulang derma lagi kerana mereka rasakan ejekan itu terpalit juga kepada mereka. Bukan itu sahaja penyebab derma semakin meningkat, tetapi, sebaliknya keyakinan terhadap aktiviti juga menjadi salah satu puncanya, yang mana aktivitinya merupakan aktiviti yang diyakini mendapat ganjaran baik dari Allah dan selain itu penyokongnya juga telah bertambah dan berlipat ganda, termasuk mereka yang tidak mendaftar menjadi ahli PAS dan juga orang bukan Islam

Sekian...wallahu aklam.

No comments: