Wednesday, April 18, 2012

Nasihat Untuk Bakal Haji (3)

Salam semua.
Bahagian atas Masjidil Haram.
Artikel ini masih lagi membincangkan perkara yang sama iaitu "Nasihat Untuk Bakal Haji",  "entri" ini adalah yang ketiga, tajuk yang telah lalu tidak diteruskan kerana, kalau diteruskan akan menjadi terlalu panjang dan menjemukan.
Kali ini saya akan menyentuh beberapa perkara secara umum dan ringkas. 

Di antaranya:
1. Wang Tunai
Gambar dari google
Wang tunai tidak perlu dibawa dalam jumlah yang banyak, sekadar untuk perbelanjaan beberapa hari telah  memadai, Tabung Haji menyediakan kaunter mengeluarkan wang simpanan Bakal Haji di beberapa lokasi yang berdekatan, Bakal Haji boleh mengeluarkannya di sana (Makkah dan Madinah) dalam mata wang Arab Saudi.Pada tahun 1432H/2011 mata wang Arab Saudi lebih rendah berbanding dengan ringgit Malaysia.Kalau wang tunai dibawa bersama  terlalu banyak dikhuwatiri berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti yang diceritakan di dalam artikel yang telah lalu.
Ketika menggunakan wang atau membeli belah Bakal Haji hendaklah teliti dan berhati-hati, tengok betul-betul wang itu, boleh berlaku nilai yang tinggi disangka rendah, lima puluh rial disangka empat atau lima rial sahaja, perkara ini boleh berlaku kalau tidak berhati-hati melihat dan memerhatikannya,maklumlah kita sudah terbiasa puluhan tahun dengan mata wang Malaysia , ruang kesilapan akan lebih terbuka bagi mereka yang matanya rabun.
2. Persediaan secara rohani.
Gambar dari google
Berdoa adalah senjata orang mukmin, setahun atau beberapa tahun sebelum menunaikan fardu Haji, Bakal Haji hendaklah  membuat persediaan tersebut, iaitu  berdoa dan bersolat Hajat memohon supaya dipermudahkan kerja Haji dan mendapat Haji Mabrur, dipermudahkan membawa maksud yang luas termasuklah sihat dan tanpa halangan yang lain.
3.  Lokasi Hotel kediaman.
Hotel-hotel berhampiran masjid.
Sebaik sahaja sampai di hotel tempat kediaman yang telah ditentukan oleh Tabung Haji, Bakal Haji hendaklah perhati dan melihat sekeliling atau persekitarannya supaya tidak sesat apabila kita keluar ke sesuatu tempat, beberapa mercu tanda berhampiran dengan hotel kediaman sangat penting untuk diingati, mercu tanda itu boleh menjadi panduan ketika tidak begitu ingat lokasi  kediaman atau dapat mencerita kepada orang lain jika kita telah sesat jalan.
Sering juga terjumpa dengan orang yang sesat jalan, terutamanya mereka yang telah lanjut usia, mereka masih beruntung kalau memakai tanda nama yang mengandungi maklumat asas tempat kediaman, dapat juga orang lain membantu, mereka yang telah tua perlulah dibantu dan mengingatkan mereka perkara-perkara seperti ini.
4. Kasut dan sarungnya.
Gambar dari google
Masjid Nabawi di Madinah dan juga Masjidil Haram di Makkah disediakan rak kasut di beberapa lokasi tertentu di dalam masjid (bukan di luar) semuanya dilabelkan dengan nombor, begitu juga pintu-pintu masjid semuanya dilabelkan dengan nombor, nombor-nombor ini sangat penting bagi kita mengingatkannya, kalau tidak ingat nombor rak dan pintu.objek ini semuanya kelihatan hampir serupa , kalau terlupa nombor rak, susah pula mencari rak yang kita simpan kasut tadi, kasut kita mungkin akan hilang, kalau tidak ingat nombor pintu pula mungkin kita akan sesat atau sekurang-kurang urusan kita menjadi lambat dan terganggu.
Sarung Kasut, kalau kita menyediakan sarung kasut, kasut boleh dibawa bersama ke tempat solat dan diletakkan di hadapan, jika kita kehendaki, kita boleh gunakan sarung khas atau menggunakan beg plastik sahaja pun memadai, asalkan boleh menutup meliputi seluruh badan kasut.

5. Lokasi kehidupan yang paling sukar semasa mengerjakan Haji.
Dalam khemah di Padang Arafah.
             (Video-Dalam khemah di Mina pada waktu malam)
 Pada petang 8hb.Zulhijjah Bakal Haji akan bergerak ke Padang Arafah dan pada petang 9hb.Zulhijjah atau malamnya akan bergerak pula ke Muzdalifah, singgah sebentar di sini, kemudian meneruskan perjalanan ke Mina,  di Mina inilah kehiduapan Bakal Haji  paling sukar, di antaranya kesesakan tempat tinggal, khemah yang disediakan menjadi sangat kecil apabila dimuatkan dengan  penghuninya yang sangat ramai sehingga terpaksa tidur bertemu bahu, ditambah pula bilik air/tandas yang disediakan hanya beberapa bilik atau pintu sahaja,  setiap kali hendak menggunakannya terpaksa berbaris panjang, akan bertambah buruk lagi kehidupannya kalau cuaca ketika itu  tersangat panas atau sejuk.Mereka yang pergi melalui pekej swasta mungkin tidak melalui kesusahan ke tahap ini kerana segalanya dibayar oleh Bakal Haji.( Kita perlu mengingatkan Tabung Haji tidak semua orang mempunyai wang yang banyak tetapi semua orang inginkan keselesaan dan layanan yang sewajarnya ) Menyediakan beberapa bilik air untuk digunakan oleh Bakal Haji yang begitu ramai tentulah tidak sesuai, tidak syak lagi ramai di antara mereka yang jatuh sakit atau sekurang terganggu kesihata mereka, terutamanya mereka yang sudah tua, akal yang waras tidak menerima alasan bahawa perkara itu tidak dapat diselesaikan.
Bakal Haji janganlah risau dengan pendedahan ini, kita hendaklah berusaha dan berdoa serta berserah kepada Allah supaya habuan yang kita akan perolehi itu adalah yang terbaik yang akan dikurniakan Allah nanti.
6. Bakal Hajjah.
gambar dari google
Semasa Bakal Haji dan Bakal Hajjah berada di Makkah dan Madinah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membolehkan bersolat setiap waktu di masjid, sewajarnyalah mereka berbuat demikian, peluang mungkin datang seumur hidup hanya sekali sahaja, beruntunglah dan bersyukurlah kepada Allah bagi mereka yang berpeluang  datang ke sini  melebihi sekali.
Jika ingin ke destinasi yang jauh, Bakal Hajjah dinasihatkan supaya bergerak bersama mahram,kalau sekadar ke masjid dalam keadaan tertentu mungkin boleh bersama kumpulan sesama wanita, kalau bergerak hanya sesama Bakal Hajjah sahaja ke destinasi yang jauh seperti keluar dari Makkah untuk berniat umrah sunat atau lain-lainnya tidak terjamin keselamatan mereka. Pemandu atau tuan punya van atau kereta sewa yang Bakal Hajjah naiki itu mungkin seorang penjenayah yang hanya mencari dan menunggu peluang untuk menunaikan  hajat jahat mereka, mungkin sedang mencari peluang untuk merompak, merogol dan seumpamanya, walaupun Bakal-bakal Hajjah itu telah biasa dan saban tahun  ke sana untuk menunaikan umrah, jangan ambil mudah dalam hal ini kerana di Makkah pada ketika itu ramai pendatang dari negara jiran datang mencari rezeki, termasuklah pendatang tanpa izin.
7.Jaga Kesihatan.
Gambar dari google
Siang dan malam habuk berterbangan di udara terutamanya di jalan raya yang banyak kenderaan dan orang ramai lalu lalang di sana, habuk ini ada yang kelihatan, ada yang terlalu halus tidak kelihatan dek mata kasar, habuk boleh menyebabkan berbagai penyakit khasnya batuk yang mengambil masa yang lama untuk dipulihkan, kalau kesihatan terjejas, fikiran pun terjejas, kerja Haji juga turut terjejas, Tabung Haji menasihatkan para jamaah Haji supaya memakai penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan daripada dijangkiti penyakit.Jangan rasa kekok atau malu untuk memakainya, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna, pakailah sepanjang masa apabila berada di luar tempat kediaman.Mereka yang banyak berjalan atau bersiar-siar akan banyak terdedah dengan habuk, ada juga di kalangan jamaah Haji yang sakit telinga setelah balik ke Tanah Air, apabila dibuat pemeriksaan doktor, didapati sakit tersebut disebabkan telinga terlalu banyak dimasuki habuk.
8. Harga barang naik mendadak pada minggu sebelum ke Padang Arafah (Wukuf).
Sedang mendengar Khutbah Jumaat.
Pada minggu hampir menjelang 9hb.Zulhijjah harga barangan mulai naik, pada ketika ini juga Bakal Haji dari negara berhampiran telah tiba, kesesakan berlaku di mana-mana, khasnya di dalam masjid. Berasak-asak di pintu masjid ketika masuk dan keluar adalah perkara biasa, malah laluan khas di dalam masjid juga sesak, untuk mengelakkan kesesakan dan kepayahan Bakal Haji hendaklah pergi lebih awal ke masjid sebelum tibanya waktu solat.
Sekiranya ada cadangan untuk membeli sesuatu yang mustahak atau barang keperluan, masa yang paling baik untuk berdemikian adalah sebaik sahaja bakal Haji baru tiba di Makkah atau di Madinah, Kalau terdapat barangan yang hendak dibawa pulang ke Tanah Air, perkhidmatan pos biasanya disediakan oleh pihak swasta, bagi mereka yang sampai awal lebih mudah untuk menguruskannya.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: