Sunday, April 22, 2012

Manfaatkan kemahiran internet untuk berdakwah.

Salam semua.

Kemajuan teknologi kini telah berjaya menyusup masuk ke dalam setiap rumah dan pejabat,khasnya mengenai penggunaan internet, dianggarkan hampir seluruh kampung telah mempunyai kemudahan tersebut, kebolehan dan kemahiran menggunakan internet telah meningkat dengan cepatnya terutamanya di kalangan anak-anak muda. Blog, facebook, twitter tidak lagi asing bagi mereka.

Blog,facebook dan twitter telah menjadi tumpuan masyarakat kini mendapatkan maklumat selain televisyen, media ini sama juga seperti media yang lain di mana ianya boleh diperalatkan untuk kebaikan dan kejahatan, terpulang kepada kebijaksanaan penggunanya.Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Artikel ini ingin mengajak anda supaya sama-sama membuka minda dan membuat sedikit percambahan fikiran ke arah kebaikan, khasnya kepada mereka yang mempunyai kemahiran menggunakan media maya yang disebutkan di atas. Idea ini tercetus setelah penulis melihat seorang penjual kuih-muih dan menjaja kuih-muihnya dengan menggunakan kereta surung, di mana berbagai kuih-muih dijualnya setiap petang, sedangkan beliau sendiri bukanlah seorang yang pakar membuat kuih-muih. Namun demikian setiap petang kereta surungnya dipenuhi dengan kuih-muih yang lazat-lazat. Rupa-rupanya beliau mengambil kuih-muih dari kenalannya yang mahir membuat kuih-muih tersebut, tugas beliau hanya memasti atau menentukan kualiti kuih-muih tersebut supaya rasa kelazatannya kekal dan istiqamah . Kesimpulannya penjual kuih tidak semestinya terdiri dari mereka yang mahir atau pakar dalam bidang membuat kuih-muih. Perkara yang penting ialah mereka perlu bijak memanfaatkan kuih-muih yang lazat itu dan mendapatkan kerjasama dan sumbangan mereka yang pakar dalam bidang tersebut.


Jom, kita andai dan ibaratkan media maya seumpama kereta surung yang digunakan oleh penjual kuih-muih sebagai alat dan perantaraan serta pendekatan berdakwah masa kini. Kuih-muih ditukarkan sebagai artikel-artikel menarik mengenai ajaran Islam yang dihasilkan oleh saudara kita yang terpapar di blog, facebook atau twitter mereka dengan cara dan perubahan sikap ini akan bertambah ramai lagi pendakwah di alam maya, sekali gus dapat bersaing dengan artikel-artikel yang kurang sihat yang banyak terpapar di medan yang sama.

Mereka yang memahami ajaran Islam menyedari bahawa artikel mengenai ajaran Islam yang sumbernya berasal daripada al.Quran dan Hadis seharusnya diisytiharkan sebagai tiada hak cipta melainkan hak Allah semata-mata. Maka semua manusia boleh memanfaatkannya secara yang berhikmah.

Oleh itu saudara Islam lain yang kurang berpengetahuan mengenai Islam dan tidak mampu menulis sesuatu artikel mengenainya tetapi mempunyai kemahiran ICT dapatlah mereka menyalin (copy) dan menyebarkannya melalui blog, facebook atau twitter mereka.

Sekian...wallahu aklam.



No comments: