Wednesday, April 18, 2012

Nasihat untuk Bakal Haji (1)

Salam semua.

Pada Pemerhatianku.

Muqaddimah.
Apabila saya melihat dan menyaksikan Kursus-Kursus  Haji yang sedang rancak dijalankan pada masa ini terpanggil pula untuk menukilkan  pandangan dan nasihat untuk para Bakal Haji. Kebiasaannya Bakal Haji telah terpilih untuk ke Tanah Suci akan terdedah dengan berbagai nasihat oleh mereka yang berada di sekeliling sama ada jiran atau sanak saudara yang telah pun menunaikan fardu Haji sehingga kekadang menimbulkan kekeliruan dan tidak tahu pula yang mana satu yang hendak diikut. Nasihat itu pula datang dari berbagai manusia yang berbeza latar belakangnya, ada yang berilmu, ada pula hanya berdasarkan pengalaman individu sahaja. Ada juga yang dimasukkan kepercayaan yang tidak pasti benarnya seperti larangan bercakap itu dan ini. Pokoknya sama ada kita berada di Mekah atau di mana-mana di dunia ini asas panduan hidup orang Islam hanya  al.Quran dan al.Hadis serta ijmak ulamak.

Di antara nasihat yang ingin dinukilkan di sini ialah:
1. Jati diri.
Setiap orang Islam perlu menjatikan diri dengan ilmu Islam terutamanya Ilmu Aqidah dan Fikah, khasnya bagi bakal Haji.Dengan adanya ilmu tersebut mereka dapat menilai sesuatu dengan baik dan tepat, akan terselamat daripada mempercayai perkara-perkara karut yang tertanam sejak dahulu lagi di benak hati orang Melayu, perkara ini sukar hendak dikikis kecuali dengan mendalami dua jenis pengajian tersebut.Apabila berada di Tanah Suci atau dikenali juga dengan Tanah Haram berbagai pantang larang yang diamal atau dipatuhi oleh orang Melayu tanpa merujuk kepada mana-mana kitab sejak dahulu lagi, kelakuan bersifat pak turut ini banyak merugikan.

2. Iman,Islam dan Ihsan.
Iman,Islam dan Ihsan hendaklah diserap ke dalam diri sehingga ianya terbentuk  sikap seorang Islam yang istiqamah dalam menghayati Islam berdasarkan kesepaduan ketiga-tiga elemen itu.Ihsan suatu elemen yang pendek huraiannya tetapi menjadi teras di dalam setiap ibadat, tanpa ihsan, iman dan Islam akan rapuh dan kosong, oleh itu setiap orang Islam wajib memahami dan menghayati ketiga-tiga perkara tersebut setiap masa dan saat.

3.Yakin diri.
 Jangan terlalu bergantung kepada orang lain melainkan ketika kita sakit dan  sukar menguruskan diri, persediaan kita perlu berada ditahap yang sederhana sekurang-kurangnya, kalaupun tidak dapat mencapai pada tahap yang terbaik, terutamanya dalam bidang ilmu mengerjakan Haji ini.
4. Amalan yang patut diketahui.
Bakal Haji juga perlu mengetahui berbagai amalan sunat selain Rukun Haji,Wajib Haji dan Sunat Haji. kerana di sana terdapat banyak sunat-sunat lain yang akan dilaksanakan yang tiada kaitan dengan Haji iaitu ketika ruang masa menunggu tibanya 9hb.Zulhijjah sehingga 13hb.Zulhijjah dan hari-hari selepasnya.
5.Amalan sunat di Makkah dan di Madinah.
 Ketika berada di Madinah dan juga sebahagian masa di Makkah, selain solat fardu amalan yang dilakukan adalah amalan sunat belaka seperti solat sunat Tahiyatul Masjid atau Tawaf Sunat,Umrah Sunat, membaca al.Quran, solat sunat duha, solat sunat taubat, solat sunat Tasbih, Solat sunat hajat, solat sunat tahajjud,solat sunat Witir dan lain-lain, solat-solat sunat ini ada yang dilakukan secara qiamullail (bangun tengah malam).
6.Fahami Qiamullail.
 Menyentuh tentang ibadat Qiamullail, Qiamullail bukanlah jenis ibadat yang dilakukan beramai-ramai atau dilakukan secara solat berjamaah walaupun kita datang ke Makkah beramai-ramai tetapi afdal dibuat secara individu (seorang diri), hanya bagi mereka yang belum jati diri dengan amalan qiamullail ini sahaja yang sesuai melakukannya secara beramai-ramai ( mereka dianggap masih belajar dan belum mampu melaksanakannya sendiri ), bagi mereka yang sudah faham adalah tidak afdal menjadi makmum kepada orang lain. masing-masing bangun tengah malam, masing-masing pergi ke masjid atau bersama kawan dan masing-masing melakukan solat sunat yang disenaraikan di atas tadi secara bersendirian, demikian juga semasa berada  di Padang Arafah atau di Mina.Mengenalpasti solat sunat yang afdal dilakukan secara berjamaah atau bersendirian adalah penting, pengetahuan itu akan memudah dan meyakinkan kita melaksanakannya dengan betul dan menepati perintah-Nya.

7.Amalan khas mengerjakan Haji.
 Amalan atau kerja-kerja yang khusus dalam mengerjakan Haji itu tidak banyak tetapi amalan sunatnya sangat banyak, amalan rukun dan wajib Haji hanya melibatkan hati dan anggota badan (perbuatan) sahaja.(tidak terlibat dengan bacaan , bacaan hanyalah sunat), sebagai contoh tawaf hanya melibatkan  perbuatan iaitu mengelilingi Kaabah, Sae juga amalan perbuatan iaitu berjalan ulang alik di antara Safa dan Maruah ( di dalamnya terdapat bacaan tetapi hanyalah sunat sahaja) - Kalau terasa belum cukup bersedia janganlah terlalu risau kerana ketika melaksanakannya nanti masih ada ruang untuk bertanya atau melihat orang lain melakukannya - apapun seharusnya bakal Haji wajib menuntut ilmu tersebut mulai sekarang - Sebenarnya menuntut atau mempelajari Bab Haji ini bukan dikhaskan kepada Bakal Haji yang telah terpilih oleh Tabung Haji sahaja, anggaplah semua orang Islam yang belum menunaikan Fardu Haji itu adalah Bakal Haji oleh itu pelajarilah ilmu tersebut mulai sekarang.

Bersambung dalam artikel - Nasihat untuk Bakal Haji (2).  

Sekian...wallahu aklam.

No comments: