Showing posts with label Islam adalah cara hidup yang sempurna. Show all posts
Showing posts with label Islam adalah cara hidup yang sempurna. Show all posts

Saturday, July 4, 2009

Percayakan kuasa tanpa aqidah akan binasa diri.

Salam Semua.

Di dalam kehidupan harian manusia, kuasa memainkan peranan yang amat penting sehingga terdapat di kalangan manusia hanya bergantung kepada kuasa yang dimilikinya. Di samping kuasa terdapat di sana kepercayaan atau aqidah, sebenarnya kedua-dua ini sangat penting dan lengkap melengkapi. Memisahkannya akan rosak dan pincanglah pentadbiran dan pengurusan.

Kuasa tanpa aqidah manusia akan rosak dan binasa dimakan kuasanya sendiri, akan berlaku kezaliman dan kezaliman pula akan menghasilkan penentangan, penentangan akan mewujudkan kepincangan. kuasa diperolehi melalui berbagai cara sama ada melalui kekayaan, politik, ilmu,keturunan dan lain-lain. Kalau kita bercakap dalam kontek orang Islam, seseorang Islam wajib memperbetulkan atau mentahsinkan aqidah Islamnya sehingga mampu mentauhidkan Allah sepanjang masa.

Setiap manusia mempunyai kuasa, kuasa yang dimiliki manusia berbeza-beza di antara satu sama lain, telah menjadi kebiasaan kepada manusia merasai seronok dan megah bila berkuasa, jarang manusia merasai sedih atau bimbang apabila mereka memiliki kuasa, pada hal kuasa diiringi dengan tanggungjawab dan amanah, melainkan mereka yang beriman dan sentiasa mentaati Allah serta mereka yang takutkan Allah sahaja yang merasai bimbang akan kuasa yang ada padanya.
Orang yang seronok dengan kuasa sering mencari kuasa dan mendapatkannya kekadang dengan cara yang keji. Mereka yang sepadukan antara kuasa dan aqidah tidak akan memohon mendapatkan kuasa melainkan kuasa itu datang padanya melalui kehendak dan desakan masyarakat. orang seperti ini apabila kuasa diserahkan kepadanya atau kepada mereka, mereka akan merasai bimbang, bimbang kalau-kalau tidak mampu berlaku adil seperti yang diperintahkan Allah.

Islam melarang dipisahkan aqidah ( ajaran Islam ) dengan kuasa yang dimiliki seseorang, falsafah membunuh atau dibunuh akan memakan diri sekiranya pemimpin Islam melupai dan mengabaikan perintah Allah.

Berbalik kepada setiap manusia memiliki kuasa.

Seorang pemimpin berkuasa terhadap rakyatnya, suami berkuasa terhadap isterinya, bapa berkuasa terhadap anak-anaknya, ibu berkuasa terhadap anak-anaknya dan begitulah seterusnya.
_________________

Sesungguhnya setiap manusia mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhannya, terhadap dirinya, terhadap keluarganya dan terhadap masyarakatnya maka tanggungjawab tersebut hendaklah diagihkan dengan betul dan adil.
_____________________

Seorang bapa mempunyai kuasa terhadap anaknya, sekiranya bapa mendidik anaknya dengan kuasa sudah pasti beliau berjaya berbuat demikian selagi beliau mempunyai kekuatan dan kuasa. beliau boleh paksa, boleh angkat suara, boleh tengking dan seumpamanya, semuanya akan terurus mengikut kehendak hati, tetapi lambat laun kuasanya akan berakhir, apabila beliau hilang kekuatan dan kuasa, segala-galanya akan berubah dan urusan harian akan menjadi terbalik. anak-anak pula akan memerintahnya dan beliau pula berada di bawah perintah anak-anaknya. Amat malang ketika usia lanjut terpaksa berada di bawah perintah anak-anak yang menggunakan kaedah yang sama.

Cara tersebut bertentangan dengan ajaran Islam seperti telah disebutkan tadi bahawa kuasa perlu disepadukan dengan aqidah ( aqidah Islam ), Maknanya orang yang berkuasa hendaklah mempunyai aqidah yang mantap terlebih dahulu, barulah dapat memimpin orang bawahannya dengan pimpinann dan didikan yang berlandaskan akhlak yang mulia, memerintah dan mentadbir serta mendidik seharusnya dengan teladan yang baik , Dengan cara ini apabila bapa atau pemimpin hilang kuasa atau beralih kuasa mereka akan terus dihormati dan dijagai.
______________________________

Untuk Renungan:

Firman Allah bermaksud:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, pada hal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal ?".
Surah al.Baqarah (44).
_________________

" Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya ( yang berhak menerimanya ), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia , ( Allah menyuruh ) kamu menghukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan ( suruhan-Nya ) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat".
Surah An.Nisaa' (58).
___________________

Sekadar ini dahulu sehingga bertemu lagi.


Sekian.Wassalam.