Monday, January 31, 2011

Kisah gulai lemak


Salam semua.

Tiada apa yang serius yang dapat aku tulis pada kali ini, sekadar ingin menceritakan kisah yang tiada kesahihan dan kesahan kebenarannya, mungkin cerita ini sekadar rekaan sahaja, namun demikian, jika membacanya ada juga faedahnya.


Kisahnya.
Kisah sepasang suami isteri yang sentiasa menampilkan rasa kasih sayang ,malah sangat berkasih sayang di antara satu sama lain, suami ini orangnya sangat baik dan bertimbang rasa dan adil menyebab si isteri bertambah-tambahlah kasih sayangnya kepada suami. Perasaan si isteri sentiasa gembira, ceria dan bahagia. Demikianlah juga si suami, suami juga sentiasa ceria dan merasai bahagia yang amat sangat, berlebih-lebih lagi beliau mempunyai seorang isteri yang sangat cantik dan baik pula layanannya dan sangat pandai memasak dan menjahit berbagai fesyen pakaian.

Suami adalah seorang yang tidak suka berjalan-jalan atau merayap ke mana-mana seperti lelaki yang biasanya akan bersama kekawan melepak di restoran makan dan minum di sana sambil berbual-bual tetapi suami ini tidak suka aktiviti demikian, termasuk senaman pun bukan kegemarannya, beliau lebih suka berada di rumah bersama isteri dan anak-anak menikmati makanan lazat yang disediakan oleh isterinya.

Isteri amat faham akan kegemaran suaminya yang tersayang itu, setiap hari isterinya menyediakan makanan yang lazat-lazat untuk suami dan anak-anak, kerana terlalu sayangkan suami yang baik dan adil ini, beliau merasakan sebagai seorang isteri beliau perlu melakukan sesuatu yang digemari suaminya, kebetulan suaminya seorang yang gemar makan dan dia pula pandai memasak, cara yang paling mudah untuk memikat hati suaminya adalah dengan cara menyediakan makanan yang lazat-lazat setiap hari, termasuk makanan pagi dan petang. Itulah yang tersirat di dalam hati kecil isterinya. Oleh itu suaminya dan juga anak-anak setiap hari dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat. Makanan kegemaran suami tidak akan diabaikan, setiap hari akan dihidangkannya disamping menu yang lain.

Suami sangat berpuashati terhadap layanan isterinya itu dan isteri pula merasai puashati kerana segala makanan yang dihidangkan itu dimakan dengan seleranya oleh anak-anak dan khasnya suaminya yang tersayang, tiada teguran dan rungutan terhadap kekurangan dan kelemahan masakannya. Gulai lemak yang disediakan di dalam mangkuk khas untuk suaminya setiap kali makan akan dihabiskan oleh suaminya. Itulah sebenarnya makanan kegemaran suaminya disamping masakan lain yang berasaskan lemak atau santan, santan kalau tidak "kaw" (pekat) tidak puas kata suaminya, oleh itu si isteri pun akan mengekalkan kualiti itu setiap kali masak, terutamanya masakan gulai.

Bagi suami inilah "baiti jannati" atau "rumahku syorgaku" tiada apa lagi yang kurang, semuanya dah cukup, makanan sedap dan lazat dihidangkan oleh isteri setiap hari dan isteri pula seorang yang rupawan dan pandai melayan pula, pendapatan pun mencukupi, demikianlah bahagianya pasangan ini. Sayangnya langit tidak selalu cerah, awan pun berarak datang menghampiri, dunia yang cerah mulai redup dan seterusnya gelap gelita. Hujan turun tanpa disediakan payung terlebih dahulu, hendak menyediakannya masa tidak mengizinkan lagi kerana takdir Allah telah tiba.

Sunnatullah akan berlaku mengikut apa yang dirancangkan oleh Allah, sering makan manis berlebihan akan mengidap penyakit kencing manis, kerap makan makanan yang mengandungi lemak berlebihan berkemungkinan mengidap tekanan darah tinggi dan serangan jantung,

bersederhana adalah amalan yang terbaik.

____________________________

Sabda Rasulullah.s.a.w. mafhumnya;
"Sebaik-baik pekerjaan itu adalah pertengahan".

Sabda Rasulullah.s.a.w. mafhumnya;
"Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud)

_______________________________

Akhirnya amalan melampau yang istiqamah itu menyebabkan kedua-dua mereka mengidap penyakit yang sama iaitu darah tinggi dan jantung bermasalah, anak-anak masih selamat kerana mereka masih muda, jika amalan tersebut diteruskan sehingga anak-anak ini meningkat dewasa berkemungkinan mereka juga akan mengalami masalah yang sama, mereka seharusnya bertindak cepat dengan membuat anjakan dan perubahan, iaitu kembali mengamalkan makanan seimbang.

Cerita rekaan semata-mata dengan harapan tersirat pengajaran di dalamnya.

Melangkah sederap demi sederap menuju Wawasan 2020.

Salam semua
Sejak beberapa hari kebelakangan ini hujan turun setiap hari di sebelah selatan ini, tidak begitu selesa untuk keluar ke mana-mana, banyak berada di rumah sahaja, zaman ini berada di rumah pun tidaklah sunyi kerana masih dapat menghubungi kekawan melalui Facebook, kekadang bersembang dalam keadaan seorang kesejukan dan seorang lagi merungut cuaca panas, maklumlah jarak tempat di antara mereka berdua berjauhan, seorang di utara dan seorang lagi di selatan. Di Johor, Meplaka, N9 dan Selangor bermungkinan hujan tetapi di negeri di sebelah utara seperti Perak, Kedah, P.Pinang , Kedah dan Perlis mungkin cuacanya panas atau sederhana panas. Cuaca kini nampaknya tidak menentu , tidak istiqamah jadualnya seperti dahulu, zaman dahulu boleh dibuat pecaman iaitu hujan akan turun mulai bulan April, di antara April - Jun biasanya musim hujan, Julai sehingga Oktober cuaca agak lembab dan November sehingga Mac cuacanya panas, persekitaran berubah menyebabkan cuaca juga turut berubah.

Semua perkara itu bukanlah tertakluk sepenuhnya dalam perancangan manusia, itu adalah takdir atau perancangan dan pelaksanaan Allah. Walau bagaimana pun manusia juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga alam sekitar supaya kegiatan mereka itu tidak akan memberi kesan buruk kepada cuaca yang akan mereka tempuhi pada masa akan datang.

Merujuk kepada topik artikel ini " Melangkah sederap demi sederap menuju wawasan 2020 ", melihat kepada persembahan yang didedah dan dipamerkan oleh masyarakat kita di dalam aktiviti kempen pilihan raya kecil khasnya di DUN.Tenang. Johor dan juga di tempat lain di Malaysia ini amnya belum menampakkan kematangan, masih terdapat riuh rendah membincangkan isu remih dan tidak berkenaan, situasi itu tidak menunjukkan bahawa kita sudah hampir dengan ambang terbentuknya negara maju yang telah disasarkan pada tahun 2020. Kalau pun tercapai hanya dalam bidang fizikal sahaja dan dalam aspek pembangunan insan akan tertinggal, pembangunan fizikal tanpa diikuti dengan pembangunan insan akan menyebabkan ketahanan pembangunan fizal itu menjadi cepat rapuh dan reput, akhirnya jatuh merudum. Dalam bidang kerohanian kelihatan masih lemah dan jauh dari kesempurnaan, situasi ini menyentuh semua peringkat masyarakat, sedangkan kita sedang mengorak langkah sederap demi sederap menuju tahun 2020 .

Pada hemat saya menyentuh mengenai aktiviti kempen pilihan raya sepatutnya mampu mencerdik dan mematangkan rakyat tetapi sebaliknya tidak pula menjurus ke arah itu, terdapat di sana bibit-bibit yang menyebabkan minda statik dan tidak berkembang serta hilang rasionalnya. Berlumba-lumba menerangkan dasar dan wawasan parti masing-masing sudah tentulah cara tersebut lebih baik dan relevan dengan matlamat ingin memerintah. Menjelaskan kekuatan parti sendiri disamping mendedahkan kelemahan dan kesilapan lawan yang lebih jujur akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat. Menimbulkan perkara kecil dan remih serta dijadikan pula perbincangan yang berpanjangan dan tidak berkaitan dengan pembangunan negara, mungkin perbuatan itu akan menjadi sia-sia.

Keriuhan kempen menggambarkan akhlak masyarakat kita yang sebenar, sama ada baik atau buruk itulah tahapnya yang boleh dirujuk dan dinilai, tiada siapa yang boleh nafikan bahawa tingkah laku pemimpin akan menjadi teladan dan ikutan rakyat, keghairahan meraih kemenangan sehingga menghalalkan cara dan merosakkan pendirian agama adalah sangat dikesali. Apabila menyentuh hal agama sepatutnya semua pihak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bukan merujuk kepada amalan biasa yang tidak tepat atau adat kebiasaan yang kurang tepat dan tidak memenuhi suruhan dan perintah Allah. Isu agama yang menyentuh perkara yang betul dan benar semua pihak perlu memberi pengakuan atau kemenangan kepada yang hak. Jangan sekali-kali menggemburkannya sehingga menyebabkan rakyat yang masih memerlukan bimbingan menjadi celaru dan keliru. Semua pihak tidak seharusnya membiarkan orang bukan Islam memberikan teguran secara jahil kepada amalan kita yang betul dan benar. Mungkin pada mereka amalan yang tidak tepat yang digunapakai oleh masyarakat Islam itu adalah yang betul atau tegasnya mereka masih kurang faham tetapi menyangka telah faham, lantas memberi teguran dan orang Islam yang kurang faham pula menjadi tukang angkat nasi tambah pula untuk mencelarukan lagi keadaannya maka berlakulah kesilapan kerana memberi respon yang tidak tepat.

Pembangunan fizikal dan rohani perlu disepadukan, kalau tidak mengambil pendekatan demikian wawasan 2020 akan tercapai dalam bentuk tanpa roh yang dapat memberi kekuatan dan kesinambungan kepada jangka hayat terhadap kemajuan yang dicapai. Itu pun kalaulah ianya dicapai seperti yang dirancangkan.

Sekian...wallahu aklam..

Sunday, January 30, 2011

Keputusan PRK DUN Tenang. Johor.

Salam semua.

Berikut keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri, N5 Tenang, Labis ; Johor.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 orang daripada sejumlah 14,753 pengundi berdaftar bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri, T5 Tenang keluar mengundi seperti yang dilaporkan dalam media.
( Sumber Malaysiakini )




JUMLAH UNDI YANG DIPEROLEHI:

NORMAL SUDIRMAN ( PAS / PAKATAN RAKYAT ) : 2,992 undi.

MOHD.AZAHAR IBRAHIM ( BN ) : 6,699 undi.

PEMENANG : BN.

JUMLAH PERBEZAAN : 3,707



Bagaimanakah anda melihat dan menilai piramid ?.

Salam semua.


Artikel Dari Facebook.


Hari ini aku terasa ingin menulis di ruangan nota ini kerana sebelumnya aku tidak berapa perasan tentang kewujudannya setelah Facebook membuat beberapa pembaharuan yang mana semasa diberi peringatan untuk mempelajarinya supaya tidak ketinggalan pada kemudian hari nanti. Jelas peringatan itu betul dan benar, akhirnya aku ketinggalan dalam banyak perkara ekoran perubahan tersebut. Pada suatu hari aku menulis di "status" ini agak panjang dan melebihi yang dihadkan, setelah aku klik untuk dikongsi bersama "share", tiba-tiba aku dinasihatkan supaya menulisnya di dalam nota, inilah peristiwa yang mendorong aku menulis di sini pada hari ini.


Aku sebenarnya hendak menulis mengenai apa yang telah berlaku di Tunisia dan sedang berlaku di Mesir, di Tunisia telah selesai sebahagian besar dari masalah rakyatnya di mana mereka terkongkong di dalam suatu pemerintahan yang mengabaikan kebajikan rakyat, sebaliknya pemimpin mereka mementingkan diri sendiri.Di Mesir juga rakyat terperangkap di dalam situasi yang sama, rakyat sekian lama terperangkap di dalam kesengsaraan kerana kerajaan mereka tidak mampu memuaskan kehendak rakyat yang rata-rata inginkan kebahagian di dalam kehidupan mereka, agaknya kesabaran sudah sampai kemuncaknya.Demikianlah maklumat yang aku terbaca dari sumber media tempatan yang boleh dipercayai.


Apa pun pada asalnya rakyatlah juga yang memilih pemimpin dan pada akhirnya rakyatlah juga yang menerima padahnya, apabila rezeki yang Allah kurniakan di dunia ini tidak diagihkan secara yang adil, lambat laun keburukan akan menimpa rakyat dan pemimpin, peringatan ini telah diketahui manusia tetapi kerana ketamakan dan mengutamakan kepentingan diri maka perbuatan tidak adil terus berlaku berpanjangan sehingga mereka semua terperangkap di dalam kesilapan keputusan mereka sendiri, termasuk mereka yang memberi keputusan yang betul pun terpaksa berada di dalam perangkap kejahilan itu. Pemimpin yang bijak biasanya cepat mengesan kesilapan dan keterlanjuran mereka, lantas membuat anjakan tanpa dipaksa rakyat jelata. Rakyat yang bijak pula memberhentikan sokongan kepada ketidakadilan.


Terbentuknya sebuah kerajaan adalah sama pembentukannya seperti terbentuknya sebuah piramid, puncaknya tidak akan wujud kalau asasnya tiada, puncaknya ibarat pemimpin, asasnya ibarat rakyat yang menyokongnya. Pemimpin kecil, sederhana dan tertinggi asas kewujudannya adalah sama, jika prosesnya berdasarkan amalan demokrasi.


kalau pemimpin membuat kesalahan dan kesilapan dengan sengaja dan disedari oleh rakyat , berikutan itu mereka tidak membuat anjakan minda dan terus menyokongnya, maka segala kesalahan dan kesilapan itu akan ditanggung bersama, sebabnya tanpa asas, puncak tidak akan wujud. Tanpa sokongan kesilapan dan ketidakadilan tidak akan terus berlaku. Hanya mereka yang tidak menyokongnya sahaja yang akan terlepas. Situasi ini wujud pula kewajipan untuk mengembalikannya kepada kesejahteraan yang asal.


Kewajipan ini terangkum di dalam surah Ali Imran ayat 104 yang menyarankan manusia supaya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan, mafhum dari ayat tersebut seperti berikut;

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

DAN

Allah berfirman di dalam surah An.Nisa' - ayat 59 - yang bermaksud ,
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya ".

Sekian...wallahu aklam.

Thursday, January 27, 2011

Jangan jadi lalang, hanya melentok ikut arah angin.

Salam semua.
Jadi lalang atau jangan jadi seperti lalang sering kita mendengarnya, lalang adalah sejenis tumbuhan atau rumput rampai yang tiada manfaat, sehijau atau sesubur mana pun ianya tidak akan dimakan oleh kerbau, lembu atau kambing, tumbuhnya lalang sering memberi kesusahan kepada manusia, jika tumbuhnya di dalam petak padi akan menyebabkan pokok padi tidak subur kerana baja yang yang ditabur di dalam petak untuk menyuburkan padi, lalang merebut dan merampas manfaatnya. Keadaan itu menambahkan kerja kepada petani, petani terpaksa turun ke petak untuk mencabutnya, kerja ini membuang tenaga petani, nyawa lalang memang liat dan susah mati, beberapa hari kemudian lalang akan tumbuh semula. kerja membuang lalang mesti dibuat secara istiqamah, kalau tidak, tidak akan berjaya menghapuskannya.

Rumpun lalang kelihatan cantik dan indah apabila ditiup angin pada musim kemarau, kelihatan melentok ke kanan dan ke kiri, alunannya pula kelihatan seperti ombak laut. Larangan supaya tidak menjadi lalang kerana ianya melentok mengikut arah angin, larangan itu sebenarnya suatu perbandingan yang ditujukan kepada manusia yang tidak mampu berfikir sendiri dalam membuat sesuatu keputusan menyebabkan ianya tidak mempunya pendirian yang tetap. Ini berlaku berikutan mindanya yang tidak kritis dan kreatif.

Hal seperti ini kekadang berlaku berseorangan dan juga berlaku dalam bentuk kumpulan. Oleh itu berlakulah suatu tradisi yang semata-mata ikut dan ikut tanpa berfikir secara matang walaupun amalan itu berlaku sekian lama dan tidak berfaedah , tiada siapa pun yang ingin membuat perubahan, walaupun dilihat tidak elok dan tidak sesuai untuk diikuti atau meneruskan amalannya. Kalau pun pernah wujud beberapa orang yang berfikiran kritis dan kreatif yang ingin membuat perubahan, rancangannya terbantut dan terbatal begitu sahaja kerana tidak sanggup menghadapi tentangan dan kutukan.

Sekiranya terdapat keberanian di kalangan mereka yang berfikiran kritis dan kreatif untuk melakukan perubahan nescaya percubaan mereka akan berjaya seperti cerita Camar Putih berjaya membuat perubahan terhadap cara hidup bangsanya.


Cerita secara ringkas mengenai seekor burung camar putih.
Kebiasaannya burung camar adalah berwarna hitam, kebetulan dalam kisah ini terdapat seekor camar yang berwarna putih, bukan sahaja warnanya berbeza dengan kekawannya, kelakuannya pun berbeza dan sentiasa sahaja ditegur oleh camar-camar yang lain dan cara masyarakat camar mencari rezeki atau makanan pula sangatlah mudah dan senang, iaitu pada setiap hari mereka pergi ke tepi pantai untuk menunggu nelayan balik dari mencari ikan, makanan burung camar adalah ikan , udang atau apa-apa yang diperolehi oleh nelayan dari laut.

Setelah nelayan sampai di pantai mereka pun berterbanganlah di atas udara atau hinggap di atas ranting atau dahan pokok yang berhampiran menunggu nelayan memunggah dan mengambil ikan atau apa-apa hasil tangkapan mereka.

Pada ketika camar-camar lain sedang berterbangan di sekitar pantai atau hinggap di atas pokok. Camar Putih tidak berbuat demikian sebaliknya Camar Putih terbang jauh ke tengah laut kerana melatih untuk mendapatkan kemahiran terbang yang berbagai teknik dan cara, Camar Putih berbuat demikian kerana ingin merealisasikan cita-citanya pada suatu hari nanti , iaitu setelah dia mahir menguasai berbagai teknik terbang yang sedang dipelajarinya itu.

Manakala camar-camar hitam yang lain sentiasa sahaja mengutuk dan mengumpatnya dengan bermacam-macam kutukan dan umpatan. Setelah nelayan-nelayan itu beredar dari sampan atau perahu mereka, maka camar-camar hitam ini pun riuh-rendah berebut makan saki baki anak ikan yang ditinggalkan nelayan kerana kesemua ikan itu tidak bernilai dan tidak laku kalau dijual pun. Ikan terbuang itulah menjadi makanan harian camar hitam.
Sementara mahir cara terbang yang lebih canggih, Camar Putih juga makan ikan-ikan tersebut untuk meneruskan kehidupannya.

Begitulah kehidupan camar-camar itu setiap hari, setiap harilah juga Camar Putih menjalani latihan terbangnya, setiap harilah juga Camar Putih menerima kutukan dan umpatan dari kumpulan camar hitam. Untuk mengelakkan diri dari gangguan tersebut Camar Putih mengambil keputusan berhijrah ke tempat lain dan kembali apabila cita-citanya telah berjaya. Camar Putih tidak sampai hati meninggalkan sanak-saudara yang masih ramai itu, lagi pun cita-citanya itu ada kaitan dengan kehidupan dan cara hidup keluarga dan masyarakatnya. Camar Putih dikutuk oleh mesyarakatnya bukan kerana warnanya putih tetapi, kerana sikapnya yang berbeza dengan camar-camar yang lain, Camar Putih sentiasa memberi pandangan ke arah perubahan dan anjakan cara hidup yang mencabar cara camar-camar lain berfikir.

Setelah menyedari Camar Putih tidak lagi bersama mereka, mereka pun tertanya-tanya di antara satu sama lain, tiada mana-mana camar yang melihat dan mengetahuinya. Dalam tempoh Camar Putih meninggalkan kampung halamannya dia telah berjaya melakukan cara terbang yang canggih yang diidam-idamkan itu. Camar Putih bukan sahaja mahir terbang tinggi dan laju, malah dia juga boleh terbang sambil menyambar ikan yang sedang berenang dipermukaan air laut seperti yang dilakukan oleh burung helang. Inilah suatu anjakan yang besar berjaya dilakukan oleh Camar Putih untuk dirinya dan anak-anaknya.
Apabila tiba sahaja waktu yang sesuai dia pun mengajak anak isterinya kembali semula ke kampung halaman asalnya. Kini Camar Putih semakin dewasa dan anak-anak pula telah besar dan mencari rezekinya sendiri, sekembali mereka ke kampung halaman mereka disambut seperti biasa oleh kaum keluarga dan masyarakatnya dahulu. Maklumlah telah lama berpisah.

Apabila menjelang waktu pagi seperti biasalah mereka akan ke pantai menunggu nelayan pulang, mereka cam sangat waktu dan ketika nelayan akan sampai di pantai, Camar Putih dan anak-anaknya pun ikut bersama, sesampai sahaja di tepi pantai mereka masing-masing melakukan aktiviti yang lazim mereka lakukan sementara nelayan tiba di pantai, manakala Camar Putih dan anak-anaknya yang sudah berdikari itu terbang jauh ke tengah laut dan kembali ke pantai dengan masing-masing membawa ikan yang segar untuk dimakan, situasi ini menimbulkan kehairanan kepada camar yang lain. Masing-masing bertanya di antara satu sama lain, namun tiada siapapun yang mengetahui rahsiannya, akhirnya mereka mengambil keputusan bertanya terus kepada Camar Putih.

Mereka pun pergi berjumpa Camar Putih dan bertanyakan hal tersebut, setelah mendengar pertanyaan mereka , Camar Putih pun mendiamkan diri sebentar dan berfikir di dalam hatinya inilah agaknya peluang dan masanya untuk aku mengajak keluarga dan masyarakat bangsaku membuat perubahan dan anjakan hidup kerana kini aku sudah miliki kemahiran yang diperlukan dan aku telah membuktikannya kepada mereka.

Camar Putih pun menceritakan kepada mereka segala-galanya dan mengajak mereka membuat perubahan seperti mana perubahan yang telah berlaku pada keluarga Camar Putih. Kini barulah masyarakat camar menerima dengan gembiranya saranan dan ajakan Camar Putih, oleh itu tidak lama lagi Camar Putih akan membuat kursus tertentu untuk melatih teknik dan kemahiran terbang serta srategi menangkap ikan di permukaan laut , kini masyarakat kampungnya bersiap sedia mematuhi segala arahan Camar Putih, kursus tersebut sudah tentunya akan dibantu oleh anak-anaknya yang masih muda dan cergas serta cerdas itu.


Lain hulu lain parang. Lain dulu lain sekarang.

Salam semua.

Pada hematku.

Lain hulu lain parang.
Lain dulu lain sekarang.
Lain dulu .
Saya ingin mengenengahkan beberapa kelainan dan persamaan yang diamalkan oleh orang dahulu, khasnya orang Melayu Islam. terutamanya dalam aspek pandangan hidup dan kehidupan harian mereka berdasarkan pandangan dan tanggapan saya sendiri yang pernah melihat dan memerhatinya pada suatu ketika dahulu. Paparan ini bukanlah sesuatu yang ilmiah, sebaliknya sesuai dikategorikan sebagai artikel ringan sahaja.

Pada peringkat awal orang Melayu menerima dan memahami Islam itu sebagai suatu agama dan kehidupan harian itu sesuatu yang asing pula, agama Islam itu dianggap berada sebaris dengan adat, cuma ianya lebih sedikit nilainya. Islam itu difahami sesuatu yang asing dengan kehidupan harian dan tidak disepadukan dengan kehidupan harian setiap individu, walaupun pada akhirnya individu itu akan membentuk suatu masyarakat yang memerlukan peraturan Islam, dalam pada itu terdapat juga aspek yang disepadukan, tetapi tidak menyeluruh dan istiqamah dalam fahaman mereka. Penilaian ini dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap cara hidup harian masyarakat umum orang Melayu. ( bukan masyarakat pondok yang lebih faham mengenai Islam pada ketika itu).

Sebagai contoh di dalam masyarakat Melayu terdapat watak-watak yang realiti yang diberi gelaran seperti haji, lebai, ustaz, imam, bilal, siak, noja dan lain-lain. Ramai di kalangan orang dahulu memahami dan beranggapan bahawa orang-orang inilah yang patut bersolat setiap waktu, orang inilah juga yang patut berakhlak baik dan yang istmewanya mereka menggunakan kuasa sendiri mengecualikan diri mereka, mereka tidak perlulah bersolat secukupnya dan berakhlak baik kerana mereka bukan lebai, haji atau orang yang bergelar seperti di atas. Malah mereka tidak merasai kekok dan bersalah pula, jika melakukan perkara salahlaku kerana melanggar perintah Allah. Pada hal hukum Allah itu diperintahkan ke atas setiap individu manusia, termasuk makhluk jin sama ada mengenai suruhan atau larangan-Nya dan penilaian Allah pula akan dibuat ke atas setiap individu di akhirat nanti, bukan berdasarkan label atau gelaran seseorang. Semua manusia di sisi Allah adalah sama sahaja kecuali mereka yang paling bertaqwa sahaja akan dinilai sebagai orang yang paling mulia di sisi-Nya.

Di peringkat atasan pun berlaku cara berfikir yang tidak sepadu dan berliku-liku seperti tersebut. Suatu kebiasaan kalau pada ketika itu terdapat kenyataan oleh seorang pemimpin atau ketua jabatan yang menyatakan ustaz-ustaz dan orang-orang agama perlulah mempelajari bermacam ilmu di dalam bidang akademik supaya fikiran dan pandangan mereka menjadi lebih luas dan moden, kenyataan ini sangat positif bagi golongan tersebut, apa yang terkurang di sini ialah mereka tidak pula melihat sebaliknya walaupun masih ramai pemimpin atau pegawai di berbagai peringkat yang tidak memahami Islam termasuk ketua-ketua jabatan yang masih ramai mengamalkan kehidupan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan meneruskan budaya penjajah, tidak pula disarankan supaya golongan yang bukan ustaz atau bukan golongan agama yang dilabelkan itu patut menambahkan pengetahuan Islam dan menghayatinya. Sepatutnya mereka yang kurang ilmu Islam disarankan supaya menambahkan ilmu Islam dan mereka yang kurang ilmu akademik pula perlulah disarankan supaya mendalami ilmu akademik.

Kalau di sekolah-sekolah ustaz-ustaz atau Guru-guru Pendidikan Islam sememangnya telah memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia di dalam bidang akademik dan Empat Thanawi di dalam bidang ilmu Islam serta memiliki diploma pendidikan sebelum boleh menjadi seorang ustaz atau Guru Pendidikan Islam, bagi mereka yang berijazah sudah tentulah lebih mantap lagi ilmunya. Apa yang hendak diperjelaskan di sini ialah berlakunya saranan yang tidak seimbang sehingga menyebabkan terdapat ramai di kalangan orang akademik tidak berpeluang mendalami Islam. Sikap demikian sedikit sebanyak telah menyebabkan pertembungan nilai di dalam masyarakat dan sukar disatukan.

Ketika itu Malaysia dilihat terdapat 2Malaysia selayaknya iaitu golongan agama dan bukan golongan agama yang senarionya memperlihatkan dua aliran pemikiran yang wujud di dalam minda Melayu. Begitulah hasil pemerhatianku pada zaman itu dan rasa kekok pula hendak menyebutnya kerana istilah yang digunakan itu tidak tepat dan sifatnya menjurus kepada kemunduran Islam dan dirasakan terkeluar pula dari istilah ad.Din atau suatu cara hidup.

Lain sekarang.
Sudah tentulah sekarang ini berbeza situasinya, memakai ketayap putih,serban dan jubah tidak lagi dikhaskan kepada golongan agama atau haji yang diistilahkan pada zaman dahulu. Kini orang Melayu telah menyedari bahawa pakaian tersebut layak dipakai oleh semua orang Islam untuk menunjukkan cintanya mereka kepada budaya Islam atau budaya Rasululah.s.a.w. walaupun setengah pihak menyatakan itu adalah budaya Arab bukannya budaya Islam , apa pun penilaian terhadap perkara tersebut, yang pastinya semua orang Islam boleh memakainya dan nilai tersebut sudah mulai diterima ramai. Bagi mereka yang cintakan Islam, mereka gemar memakainya kerana dengan itu jiwa mereka terasa semakin dekat dengan tanah Arab dan Rasulullah.s.a.w, perkara yang penting dalam isu ini mendekatkan diri dengan Rasulullah.s.a.w.

Perubahan lain yang ketara pada masa kini ialah kefahaman Islam sudah meresap masuk ke dalam berbagai peringkat orang Melayu, mereka yang berlatarbelakangkan akademik berminat mendalami ilmu Islam dan berjaya mewujudkan ilmuan yang islamik, Doktor, jurutera, ahli sains dan lain-lain telah memahami Islam itu sebagai suatu cara hidup yang sempurna dan memperjuangkan cara hidup tersebut setelah mereka menghayatinya di dalam keluarga sendiri. Selain dari nilai Islam merentas kurikulum di sekolah dan Universiti kesepaduan ilmu itu juga datang dari aktiviti dakwah yang terdapat di dalam masyarakat.

Fahaman lama.
Fahaman lama seperti yang disebutkan di dalam era zaman dahulu itu masih wujud atau tidak pada masa kini . Bagi menjawabnya semestinya kita kenalah semak senario kehidupan masyarakat kini, nampaknya fahaman lama itu tetap wujud dan berkembang. Selagi wujud mereka yang kurang memahami Islam selagi itulah akan wujud nilai yang tidak selari dengan Islam.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, January 26, 2011

Syukur nikmat Allah.

Salam semua.
Nikmat Allah sangat banyak sehingga tidak terkira dan terhitung banyaknya. Kekadang manusia terlupa menilai dan menghargainya, bak kata pepatah kuman di seberang lautan kelihatan, gajah di depan mata tidak kelihatan. Walaupun Simpulan Bahasa ini membawa maksud kesalahan dan kesilapan orang lain nampak dan kesalahan dan kesilapan diri sendiri tidak nampak, mungkin masih sesuai kalau dibuat perbandingan bahawa kita sering nampak yang jauh dari diri kita terlebih dahulu sebelum terfikir apa yang ada di dalam diri sendiri, sebabnya sememangnya mata manusia fokus ke hadapan dan melihat apa yang berada di hadapan iaitu di lokasi yang terletak di luar bahagian badan dan mata itu sendiri pun tidak mampu melihat dirinya sendiri. Sampah masuk mata sendiri tidak mampu dikeluarkan tetapi sampah yang masuk ke dalam mata orang lain boleh pula kita membantu untuk mengeluarkannya.

Manusia boleh menggunakan mata untuk melihat dan mencari sesuatu tetapi mata tidak mungkin dapat melihat dirinya sendiri melainkan terpaksa mendapatkan bantuan cermin suluh. namun begitu pertolongan atau bantuan itu hanya sekadar dapat membantu sahaja bukan hakikatnya kerana apabila melihat diri di cermin kanan sudah menjadi kiri dan kiri pula menjadi kanan. Untuk proses seterusnya akal manusia perlu berperanan dan berfikir.

Artikel ini tidak bercadang untuk memaparkan segala nikmat Allah yang telah dan akan dikurniakan kepada manusia kerana mustahil untuk berbuat demikian. Allah telah menegaskan bahawa nikmat-Nya terlalu banyak dan tidak akan mampu manusia mengira dan menghitungnya. Menyebutnya dengan ungkapan atau sebutan "terlalu banyak tidak terhitung" ungkapan ini sangat subjektif dan maknawi sifatnya, hanya dapat difahami oleh sesetengah manusia secara kognitif, afektif dan penghayatan yang dapat meresap ke dalam jiwa mereka tetapi setengahnya tidak mampu memahami sampai ke tahap tersebut, bagi yang mampu memahaminya akan tercetus rasa bersyukur itu secara mendalam sehingga menitiskan air mata kerana menginsafinya dan menyedari sikap dan sifat mereka yang kekadang alpa dan lalai mensyukurinya.
Selain daripada wang ringgit banyak lagi nikmat Allah yang lain.
Kalau manusia mengkaji dan meneliti jasmani dan biologi diri mereka pun terdapat amat banyak nikmat pemberian dan kurniaan Allah sehingga manusia itu sendiri tidak mampu menguruskannya dengan sempurna, malah segala-galanya terserah pada pengurusan Allah.

Kalau manusia mahu berfikir ianya akan menyedari bahawa setiap elemen yang terdapat di dalam atau luar jasmani manusia, semuanya berharga dan bernilai tinggi hatta bulu mata dan hidung itu pun amat berharga, bayangkan kalau manusia menghadapi masalah ketiadaan bulu hidung atau bulu mata atau buku kening, tanpa bulu hidung segala habuk akan masuk ke dalam hidung, kekotoran itu akan menyebabkan berbagai penyakit, begitu juga kalau ketiadaan bulu kening akan menyebab segala habuk atau sampah yang berterbangan di udara akan masuk ke dalam mata akan menyebabkan sakit dan juga berbagai kesusahan yang berkaitan dengannya. Demikian juga tahi telinga sangat berguna kepada manusia, bayangkan kalau ketiadaan tahi telinga, sudah tentu akan menyenangkan serangga halus masuk ke dalam telinga atau lebih dari itu, situasi ini tentulah menyusahkan kehidupan manusia, manusia tidak memikirkan hal itu kerana Allah masih membekalkan kemudahan itu kepada mereka. Jika ditakdirkan mata dicacatkan barulah manusia dapat memberi perbandingan yang jelas mengenai faedah memiliki mata yang sihat.

Ketika ianya ada manusia tidak merasai faedah atau manfaat wujudnya sesuatu yang dijadikan atau dikurniakan Allah kepada mereka, setelah kehilangan barulah menyedari betapa penting dan mustahaknya untuk manusia. Berkali-kali Allah mengingatkan manusia supaya berfikir dan berfikir.

Kesimpulanya;
Tiada suatu ketika pun manusia ketiadaan nikmat Allah, malah mereka seharusnya bersyukur sepanjang masa kerana limpahan nikmat Allah kepada mereka tidak terhitung banyaknya. Kita hanya mampu menyebutkan beberapa contoh sahaja .
_____________________________
[7]

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

[8]
Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
( Surah Ibrahim )


__________________________

[18]

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[19]
Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.
( Surah An.Nahl )

___________________________________

[179]
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
( Surah Al.A'raf )

_____________________________________

Sekian...wallahu aklam.


Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan.

Salam semua.

Membuat kebaikan dan kebajikan bukanlah suatu kerja yang susah, membuang ranting kecil yang menghalang di tengah jalan pun termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan, malah senyum yang kena pada tempatnya pun sudah dikira perbuatan yang dijeniskan kebaikan ( khairat).

Walau bagaimana pun kebaikan itu sesuatu yang berkualiti seharusnya pengamal (pembuat) kebaikan itu juga berkualiti, iaitu dilakukan dengan penuh ikhlas, semata-mata kerana menyahut perintah Allah, sekiranya melibatkan harta-benda seperti bersedekah atau memberi sumbangan perlulah harta-benda itu diperolehi secara halal atau dari harta yang halal tanpa sifat-sifat tersebut perbuatan kebaikan itu hanya kelihatan baik tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kebaikan itu seharusnya dilihat baik dan hakikatnya pun baik jua.

Kebaikan yang diperolehi itu pula perlu dijaga dan dipelihara supaya ianya tidak terhakis, perbuatan yang boleh menghakiskan pahala kebaikan di antaranya mengungkit-ungkit, menyakiti penerimanya dan riyak ( menunjuk-nunjuk ). Tegasnya setelah melakukan kebaikan minda hendaklah fokus sepenuhnya supaya sentiasa berada di dalam keihklasan tanpa bucur sedikit pun keadaannya.
_____________________________________

[148]
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[ Surah Al.Baqarah ]


[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[ Surah Al.Baqarah ]

____________________________________________


Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, January 25, 2011

Panduan Ringkas Qiamullail.

Salam semua

Panduan Ringkas Qiamullail.
Ibadat khas sama ada wajib atau sunat semuanya bersandarkan kepada dalil-dalil naqli dari Allah.S.W.T sebagai bukti bahawa ternyata Allah memerintahkan hamba-Nya untuk melakukan ibadat tersebut.
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
(Surah al-Muzammil ayat 1-4)
- Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat sunat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.
- Pada awalnya qiamullail wajib bagi rasulullah dan para sahabat. Semak ayat 1-10 surah al-Muzammil di bawah ini.
[1]
Wahai orang yang berselimut!.
[2]
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
[3]
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
[4]
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
[5]
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
[6]
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
[7]
(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
[8]
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
[9]
Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
[10]
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
- Setelah setahun disyariatkan amalan itu menjadi sunat muakkad pula bagi setiap umat Islam .Namun ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Semak maksud ayat 20 surah al-Muzammil di bawah ini .

[20]Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


KELEBIHAN QIAMULLAIL
Doa mudah dimakbulkan. 
  Mendapat ketenangan jiwa.
  Dimurahkan rezeki.
  Dihormati masyarakat.
  Dilindungi Allah daripada khianat manusia.
  Jika dia pemimpin akan dihormati dan disegani
  Dan lain-lain kebaikan kurniaan Allah.

WAKTU-WAKTU QIAMULLAIL
Waktu untuk solat malam ialah selepas isya’ sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.
Waktu yang paling afdal (utama) ialah sepertiga malam .
Pengisian Qiamullail.
Qiamullail boleh dimulakan sebaik sahaja selepas solat isyak kecuali solat sunat tahajjud dikehendaki atau digalakkan tidur terlebih dahulu.

Di antara aktiviti pengisiannya;
(1) Solat sunat tasbih.
(2) Solat sunat Taubat.
(3) Solat sunat Tahajjud*
(4) Solat sunat Istikharah.
(5) Solat sunat Hajat.
(6) Dan solat sunat yang lain.
(7) Solat sunat witir.( Penutup solat sunat )

Sabda Rasulullah.s.a.w. bermaksud;“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (Tahajjud) di tengah malam.” (Hadith riwayat Muslim).
Semua solat sunat itu ditutup dengan solat Sunat Witir ( Witri ), sekurang-kurang tiga rakaat dengan cara bersolat dua rakaat satu salam dan satu rakaat satu salam.( Tiga rakaat dengan dua salam )
Selepas solat tersebut sementara menunggu waktu Subuh eloklah berzikir seperti yang biasa dilakukan dan membaca al.Quran.

Sekian...wallahu aklam.


Aku kenal politik cara aku (puisi)

Salam semua.

Aku kenal politik.

Aku mengenal politik.
sejak dia tikam ekor.
sejak dia meneguk arak.
sejak nombor ekor diramal.
sejak ayam disabung, kerbau dilagakan.
sejak minyak tidak bercampur dengan air.
sejak memakai seluar pendek, bersongkok hitam.

Aku kenal politik cara aku.
cara kebudakanku.
cara remaja dan mudaku.
cara dewasa dan kematanganku.

Aku kenal politik.
sejak dia batuk-batuk.
sejak minum air telaga.
sejak dia menghirup alkohol.
sejak bercahayakan pelita minyak tanah.
sejak mulut merkah di musim kemarau.
sejak tapak kaki pecah di musim kemarau.

Aku kenal politik.
sejak alkohol disimpan di dalam almari.
almari rumah Melayu dan Islam, di bandar dan di atas bukit.
sejak dia teliti dan cermat membaca angka dan huruf di atas pembaris.

Aku kenal politik.
sejak dia dikatakan pahlawan Melayu.
Melayu pecinta Islam, orang baik,orang berbudi dan orang bersopan.
Konon pembela agama, bangsa dan negara serta pendakwah pula.
Konon berdakwah, disuruh ada, dilarang pun ada, celaru dan haru biru.
Fitnah terbesar berlaku dan berlaku, bergaduh dan bergaduh.
teladan bertukar menjadi sempadan, hormat menjadi hina.
menyeluk pekasam kini sudah sampai ke panggal lengan.
Manisnya masih boleh dirasa, busuknya masih dapat dihidu.

Aku kenal politik.
Aku kenal politik cara aku.
gah dipermulaan, cuba alih budaya tetapi diri sendiri terkorban.
kerana adat dan budaya lama masih berkarat manakan boleh diubah.
bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
ingin selesa mendapatkan cahaya sang suria.
biar bayang-bayangnya melindungi dan menyusahkan orang lain.
diri berada dipuncak, itulah matlamat dan itulah juga perjuangan.

Aku kenal politik.
Aku kenal politik sehingga kini.
Kini payung tua, kelihatan bocur di sana sini.
Payung sudah bertambah, berbeza warna dan berbeza lokasi.
Kalau hujan pasti basah kuyup.
Kalau panas pasti tetap panas.
mengharapkan payung baru belum teruji.
kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Ramai ingin menukar payung yang baru.
Itu bukan masalahku, asalkan payung itu dapat melindungiku ke masjid.

Matlamat kita ke akhirat.
politik berparti hanya cara dan perantara.
Islam anutan abadi. Islam cara hidup.
Ramai sedih melihat kecelaruan.
Ramai risau kehidupan tanpa syariat.

Dunia tiada yang kekal.
di hadapan sana terkujur sebuah lubang.
itulah lubang kubur, itulah liang lahat.
jangan sekali-kali menyangka kita boleh enggan ke sana.

Wallahu aklam...............