Thursday, January 13, 2011

Sembang-sembang di bawah pokok ketapang. .

Salam semua.

Orang Melayu terlalu taassub dengan parti politik, demikianlah ayat yang terpelanting keluar dari mulut seorang kawan yang tidak berpuashati dengan sikap orang di persekitarannya, kalau orang lain, tambahnya lagi, mereka boleh bersatu di dalam persatuan perniagaan atau NGO lain yang memperjuangkan kepentingan masyarakat umum atau masyarakat mereka sendiri. Orang kita di mana-mana pun akan membawa identiti politik, bila kita mula buka mulut dan bercakap sahaja mulalah mereka cuba menilai sama ada orang ini orang UMNO atau orang PAS atau lain-lain parti yang dianutinya. Seolah-olah mereka dibayar gaji pada setiap bulan macam Pak Menteri. Padahal kebanyakan mereka, apa yang mereka tahu hanya apa-apa yang disiarkan di dalam berita TV sahaja, itulah sahaja dunia mereka. Kalau berita itu betul nasib baiklah mereka, sebab bagi mereka berita TV itu adalah berita yang sah dan sohih. Mereka tidak pernah fikir apakah yang berlaku sebelum sesuatu berita itu disiarkan. Mereka juga tidak ambil pusing cara orang TV bekerja.

Lantas aku pun macam setuju pula dengan kenyataan itu, aku mengaku dia sebagai kawan sebab dia orang Islam macam aku juga, kerana orang Islam itu bersaudara maka aku pun sebutlah sebagai kawan padahal aku tidak kenal pun nama dia, semasa dia bercerita dan berhujah itu, aku pun mendengarnya dengan bersungguh-sungguh, aku pandang tepat ke mukanya dan aku angguk-anggukkan kepala ketika dia sedang rancak menyampaikan hujahnya . aku memanglah bersetuju pada dasarnya apa yang dia bercakap itu tetapi tidaklah kesemuanya, dengan anggukanku yang bertubi-tubi itu, mungkin dia menganggap aku setuju dan telan semuanya.

Sekali sekala aku hanya menyampuk sahaja, seolah-olah bertindak sebagai pengacara pula, kalau aku tidak memberinya respon demikian tentu dia tidak akan meluahkan sepanjang dan selebar itu. Nampaknya dia pun hanya nak melepaskan geram sahaja, bila aku lihat keadaan dia begitu, aku pula bertindak sebagai kaunselor pula, kaunselor semestinya seorang pendengar yang baik dan bijak. Aku pun boleh bercakap macam dia, aku juga dapat kesan beberapa kesilapan dia dalam beberapa sebutannya ketika dia menyebut konsep mengenai Islam, ianya bukan mengenai aqidah, masih boleh dimaafkan, jadi aku tidaklah bertindak segera membetulkannya, mungkin suatu hari nanti kami akan bertemu lagi secara kebetulan.

Kalau kita sering bercakap pasal Islam, pasal Islam itu suatu cara hidup atau apa-apa sahaja pasal Islam secara lebih luas dan kalau sering membawa topik demikian rupa, kita akan dicap atau dicop sebagai orang PAS. Maka ramailah orang tidak berani bercakap pasal Islam atau bercakap lebih-lebih pasal Islam ni. Cukup apa yang diajar di sekolah sahaja, walaupun sukatannya ditebuk di sana sini menjadikan ianya tidak lengkap. Katanya lagi, di sekolah tu memanglah sesuai begitu kerana yang belajar tu masih kanak-kanak lagi, tapi sekarang ini kita sudah dewasa, patut tambah ilmu lagi untuk cerahkan mata kita lagi supaya kita dapat lihat Islam itu lebih jelas dan faham akan kesyumulannya dengan itu terelaklah kita dari mengamalkan kepercayaan karut yang diamalkan sejak zaman datuk nenek kita lagi, malah sebelum Melayu memeluk Islam lagi. Kerana kurang kefahaman itulah menyebabkan kepercayaan tersebut masih diteruskan amalannya sehingga sekarang. Sepanjang perbualan itu suaranya memang lantang, dia kelihatan bergopoh-gapah hendak meluah dan menghabiskan apa yang ada di dalam benak hatinya, nasib baiklah kami semua yang ada di situ semuanya menunjukkan profail rendah belaka. Seperti seronok pula mendengar cakapnya. bukan bercakap malah macam syarahan atau tazkirah pula. Yang baiknya dia tidak mengumpat, dia tidak menyebut nama sesiapa pun.

Kalau sikap kita macam ini macam mana kita nak berubah dan nak meninggalkan adat karut itu, ditegaskannya lagi. Bila buat khenduri kahwin ibu bapa mengharapkan pasangan anak menantu mereka bahagia di dunia dan di akhirat tetapi acara khenduri dipenuhi dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, malah berdoa pula di depan pelamin, masih ada ke yang macam tu?, salah seorang kawan bertanya, jawabnya: masih ada, disambungnya lagi, kemudian diikuti pula dengan persembahan kumpulan muzik yang diundang khas. Tidak semua khenduri mengundang kumpulan muzik tetapi kalau memasang lagu-lagu bermacam-macam rentak tu sudah menjadi kebiasaan dan adat. Buat apa kita nak kecewa dengan akhlak buruk remaja sekarang, bukankah kita menjadi acuan mereka, ditambahnya lagi.

Setelah dia melihat jam di dalam telefon bimbitnya kelihatan seperti dia terkejut kecil dan lantas berkata; maaf jam dah pukul 12.30 saya terpaksa minta diri dulu , takut nanti terlewat pergi ambil anak sekolah, dia pun minta diri dan beredar dari bangku panjang di bawah pokok ketapang yang daunnya lebar dan rantingnya berbentuk seperti payung itu, sebab itu di tempat-tempat tertentu pokok ini dikenali sebagai pokok payung.

Sekian.

No comments: