Thursday, January 6, 2011

Dulu dan kini.

Salam semua.

Pagi ini aku terasa nak tulis sesuatu tetapi kekurangan bahan atau idea, terlintas beberapa perkara di mindaku , walaupun ada lintasan idea tetapi ianya sangat sedikit, nampak macam tidak berbaloi untuk aku nukilkan di atas skrin ini. Sejak semalam aku membaca blog dan menyaksikan video melalui youtube, khasnya mengenai politik di antaranya menonton berbahasan DUN Kedah dan parlimen serta membaca berbagai blog.

Setelah aku membaca kisah dan cerita serta berita dan ada juga fitnah atau rekaan jahat, maka aku pun buatlah rumusan sebagai panduan untuk diri sendiri, rupa-rupanya dalam aspek tertentu manusia sekarang semakin undur kebelakang terutama dalam bidang nilai dan akhlak , kekadang terasa seperti dunia ini dah dekat sangat dengan kiamat. Terasa saja bukan sebenarnya. masa berlaku kiamat sebenar Allah sahaja yang mengetahui. Kalau terdapat mana-mana buku atau pengarangnya menyebut tarikh kiamat akan berlaku sama ada tercatat nama pengarang atau tidak, sangatlah wajar buku itu dibakar sahaja kerana buku itu menyebarkan pembohongan dan pendustaan yang terang-terangan.

Kata mengata, menabur fitnah sudah menjadi kelaziman dan lumrah, seingat aku sejak akhir tahun 90an perkara yang sepatutnya dirahsiakan dan ditutup dari pengetahuan orang ramai mulai didedahkan semahu-mahunya dan permulaan itu nampaknya belum berakhir, sebaliknya semakin disuburkan dengan bantuan laman blog, facebook, twitter dan berbagai media lagi. Sesuatu kes yang masih samar situasinya tentang sebenarnya berlaku atau tidak kejadian itu juga disiarkan atau ditulis di media seolah-olah perkara itu berlaku di depan dua biji mata mereka. Sedikit pun mereka tidak menghiraukan perintah Allah dan pesanan Rasul-Nya. Entah buku apa pula yang menjadi panduan hidup terkini. Apa pun yang pasti ianya menjadi semakin kabur dan kotor.

Zaman dulu tidak berlaku seburuk ini walaupun orang dulu tidak berkelulusan tinggi, seolah-olah kita kini berpelajaran dan berpengetahuan tinggi tetapi tanpa roh yang sihat, falsafah pendidikan yang terpampang ukirannya di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan, malah dicatatkan di setiap muka depan buku rekod pengajaran seolah-olah hanya mampu memberi sumbangan dalam bidang keceriaan sahaja.

Adakah dalam hal tertentu kita boleh terkecuali dari hukum hakam yang telah ditetapkan Allah. Maka dengan itu kita pun menyebarkannya sesuka hati, adakah dalam politik kita boleh buat apa sahaja atau boleh dimuatkan sesuka hati apa yang kita kehendaki di dalam agenda propaganda. Wang upah yang diperolehi melalui kerja propaganda juga tidak jauh bezanya dengan perolehan wang riba, jika propaganda itu kita penuhkan dengan berita palsu dan fitnah.

Hukum hakam Allah terlaksana di mana-mana dan bila-bila masa dalam semua aktiviti kita, sama ada dalam politik, perniagaan dan aktiviti sosial yang lain. Kita harus sentiasa berfikir dan fikir demi kebaikan hidup bersama supaya tidak berlaku " ........Menyesal kemudian tidak berguna".

Sekian...wallahu aklam.


4 comments:

DrSam said...

ASM Pak Ngah. memang tanda-tanda berlakunya hari kiamat itu semakin banyak dan menjadi-jadi. Kita yang percaya dengan kedatangan hari itu hanya perlu ingat mengingati dan mempersiapkan diri kita, jika ditakdirkan sempat menghadapi hari yang maha dahsyat itu kita mempunyai cukup persediaan dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

Wallahuaklam.

Leenoh said...

Wsalam.
Memang betul kata DrSam, kita hanya mampu ingat mengingati, semoga peringatan yang diberikan akan memberi kesan yang mendalam di dalam hati.

Kakzakie Purvit said...

Salam Ust.,

Apa yang nyata dulu dan kini memang jauh bezanya. Dulu kita main tepi jalan, keluar keliling kampung tak takut. Sekarang main depan rumah pun kena perhati selalu. Dicolek, ragut, bunuh depan rumah pun ada.

Tiang kena tegak barulah bayang-bayang ikut tegak. Sampai bila2 pun kalau tiang bengkok imej yg dapat mesti bengkok.

Leenoh said...

W.salam.

Saya nak ulang uangkapkan"Tiang kena tegak barulah bayang-bayang ikut tegak".dan nak tambah sidikit lagi " Membasuh dan menyuci permukaan meja yang kotor memerlukan air dan tuala yang bersih"