Thursday, January 20, 2011

Aji !!! - Mengumpat pun boleh cari makan.

Salam semua.

Hari ini aku terjumpa dengan seorang yang sangat mesra sifatnya. Aku tidak pernah kenal dia tetapi kebelakangan ini, sering melihat dia di depan Pasaraya Mini dan di Masjid Taman Kasih, Kampung Baharu, kedua-duanya terletak di Jalan Paloh. Aku hanya kenal-kenal Cina sahaja, maksudnya aku kenal mukanya tetapi tidak tahu namanya. ungkapan ini adalah peribahasa yang tidak masuk buku. ada lagi satu peribahasa yang sering kekawanku gunakan pada masa dulu, selain "kenal-kenal Cina" mereka juga menggunakan peribahasa " Bak kenal Tunku Abd.Rahman" yang membawa maksud kita kenal dia tetapi dia tidak kenal kita.

Setelah aku senyum padanya dia pun terus menegur dan beramah mesra dengan aku, pucuk dicita, ulam mendatang. Aku senyum dengan harapan dapatlah aku berbual-bual dengannya sementara isteriku selesai membeli keperluan dapur, termasuk minyak masak yang telah pun kehabisan sejak semalam ( kemarin kata orang utara ). Kebetulan sebelum aku melemparkan senyuman tadi, aku sedang membaca Sinar Harian, edisi Johor, Sinar Harian adalah suratkhabar yang paling murah setakat ini, kalau dimuatkan dengan cerita karut dan dusta pun tidaklah rugi sangat, kalau nak rugi pun hanya RM1.00 sahaja. Muka depan Sinar Harian hari ini memaparkan dua calon yang memwakili parti masing-masing di dalam pilihan raya kecil yang sedang rancak kempennya, iaitu BN dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat .

Sudah menjadi adat dan kebiasaan kita pada permulaan atau awalan pertemuan akan dimulakan dengan ucapan salam dan diikuti dengan berjabat tangan. Sentuhan ini akan menambahkan kemesraan dan menghilangkan perasaan kekok ketika berbual. Dia berdiri agak rapat dengan aku, matanya meninjau apa yang terpapar di suratkhabar yang sedang aku kepit di bawah ketiakku, aku pelawa dia membacanya, dia menolak, katanya dia telah membacanya di kedai tadi. Bermakna dia telah mengetahui sebahagian daripada berita yang disiarkan di dalamnya.

Aku pun mengakui bahawa aku juga telah membaca sebahagian daripadanya, terutamanya tajuk-tajuk berita mengenai politik. Lantas dia menceritakan bahawa dirinya tidak lagi aktif di dalam politik, dulu ada juga membantu, bila diminta, sekarang tak nak lagi, katanya. Sekarang parti politik menggunakan internet, blog, facebook, twitter dan berbagai-bagai lagi seperti kita saksikan setiap hari.

"Dulu lain Aji", sambungnya lagi."Dulu mengumpat pun boleh buat duit, boleh cari makan". Aku menyampuk, " macam mana pulak tu ?". Disambutnya, " dulu saya pernah terlibat dengan kempen untuk memenangkan seseorang di dalam pertandingan sesama sendiri dalam parti, kami diberi wang untuk berkempen bagi memberi kemenangan kepada salah seorang calon yang bertanding. Wang yang diberikan melebihi belanja mengurus, mengurus yang saya meksudkan ialah perbelanjaan tambang ke bandar dan bergerak dari kedai kopi ke kedai kopi yang lain". "Apa yang Aji buat dengan kekawan di kedai kopi tu?". tanyaku padanya untuk mendapatkan kepastian. Jawabnya; "kerjanya senang sahaja tetapi risikonya tinggi". "Apa risikonya", tanyaku sekali lagi, "kalau Allah tidak ampun masuk neraka", jawabnya ringkas. " Kalau dah tahu mengapa dilakukannya juga" aku bertanya lagi, " Sebenarnya saya baru sedar bahawa kerja kami itu...kerja mengumpat dan memfitnah yang merosakkan diri sendiri dan masyarakat", nampak macam beliau menyesal pula kerana cara beliau menjawab itu dengan nada yang lembut dan menunjukkan muka sedih serta risau.

"Apakah kerja itu sebenarnya?", aku ulang tanya lagi , tak sabar hendak mengetahui kisahnya yang sebenar. " Kerja itu sangat senang dilakukan, Aji !!!, kami hanya bergerak dari kedai kopi ke kedai kopi ( sekarang dipanggil restoran ) dengan memesan kopi atau teh untuk diminum semasa berbual, perbualan kami hanya atas satu tajuk sahaja iaitu tajuk yang dicipta dan direkakan khas untuk memburukkan Si Pulan supaya menimbulkan kebencian terhadap Si Pulan berkenaan pada hari mengundi nanti, jika mereka terlibat dengan pengundian akan berfikir dua kali untuk mengundinya, ketika berbual suara kami perlu ditinggikan supaya sampai dan didengari oleh pelanggan yang sedang minum di meja berdekatan dengan cara itu mesej kami pun tercapai, setelah selesai kami menghirup kopi seorang secawan itu kami pun angkat pinggul bergerak ke kedai kopi yang lain pula dan begitulah seterusnya tugas kami ketika itu".

Sepanjang beliau menyampaikan kisahnya itu aku mengikutinya dengan teliti supaya aku betul-betul faham kisahnya. Dia menyambung lagi, " Aji !!!, sebab itulah saya katakan tadi , mengumpat pun boleh cari makan, tetapi Aji, ini semua kerja bodoh dan jahil, nasib baik saya mendapat hidayah lebih awal kalau tidak saya akan hidup di dalam kesesatan".

Asas cerita adalah cerita benar tetapi olahannya tidak lagi tulen.

________________________________________________

Petikan terjemahan dari Surah Al.Hujurat:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.(49:6)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.(49:12)

__________________________________________


Sekian...wallahu aklam.




No comments: