Tuesday, January 4, 2011

Ikatan keluarga longgar.

Salam semua.

Berita remaja bawah umur atau tidak layak memandu sering terpapar di dalam media menceritakan peristiwa kemalangan yang dialami mereka.Mereka juga sekali sekala memahat nama di muka akhbar sebagai golongan pemandu yang terlibat di dalam kemalangan jalan raya.

Peristiwa seumpama ini mencuit hati mereka yang prihatin dengan situasi sosial masyarakat kini, Berbagai-bagai persoalan timbul ekoran berlakunya peristiwa seperti itu, di manakah para remaja ini mendapat kenderaan untuk memandu sehingga berlaku kemalangan, adakah mereka itu dibenarkan oleh ibu bapa untuk memandu atau mereka mencurinya, adakah ketika zaman mereka memerlukan didikan dan latihan, jiwa mereka telah penuh dengan sifat tidak amanah atau adakah ikatan keluarga kita terlalu longgar sehingga tali ikatannya telah menjadi sangat rapuh atau percakapan ibu bapa sudah tidak berguna lagi. Semua persoalan dan kemusykilan ini memerlukan jawapannya yang betul dan tepat.

Adakah sifat orang kita terlalu berlembut, kalau dulu kita sering mengaitkan sesuatu yang negatif dengan mereka yang tiada pelajaran dan tiada pelajaran dikaitkan pula dengan kemiskinan. Tetapi sekarang, remaja yang kita perkatakan ini bukanlah anak-anak orang susah atau tidak berpelajaran. Malah mereka berpelajaran dan mungkin juga hidup di dalam keadaan mewah.

Mungkinkah cabaran zaman ini meletih dan melemahkan semua orang sehingga sukar hendak ditangani. Kekurangan dan kelemahan disedari tetapi tiada keupayaan untuk mengatasinya kerana terhalang dengan cara hidup zaman serba canggih ini, semua orang terperangkap di dalamnya tanpa upaya untuk mengecualikan diri.

Remaja kini ingin melakukan sesuatu yang belum sampai masanya, mereka tidak sabar menunggu masa kelayakannya, mereka memandu walaupun belum layak mendapatkan lesennya, melayani keinginan nafsu sex ketika muda remaja sehingga menghasilkan keturunan yang samar, malah ada yang dibuang ke tempat pengumpulan sampah dan sebagainya, berbagai lagi perkara yang mereka lakukan sebelum tiba masanya yang sesuai . Mungkinkah cabaran yang mereka hadapi lebih kuat berbanding dengan zaman yang telah lalu dan mereka juga memerlukan bantuan yang secukupnya melalui ketegasan ibu bapa tetapi sebaliknya ibu bapa pula semakin meninggalkan tradisi atau method pendidikan yang digunapakai oleh ibu bapa yang terdahulu, kononnya zaman ini zaman moden dan tidak kolot seperti dahulu, zaman ini zaman menggunakan psaikologi walaupun mereka tidak memiliki buku psaikologi untuk disematkan ilmunya di dalam dada.

Artikel ini bukan mengemukakan penyelesaian, sebaliknya sekadar menimbulkan persoalan yang belum terjawab dan ditinggalkan sebagai percambahan fikiran untuk anda berfikir menyelesaikannya.

Sekian...wallahu aklam.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

salam Ust.

Kalau ikut pandangan kakak, kepimpinan semua institusi seperti keluarga, sekolah, badan-badan berkanun, kerajaan perlu melihat ini bersama.

Sebagai org Islam ibu-bapa teras utama. Pupuk keimanan dari kecil. Tunjukkan etika yg kita kehendaki. Contohnya; bapa kata jangan merokok tetapi bapa itu sendiri merokok. Tidak mahu hiburan yg melalaikan tetapi negara kita dijadikan hub hiburan malah banyak lagi yg boleh kita lihat perkeara yg menjengkelkan. Takut dalam meniti hidup membesarkan anak-anak zaman ini.

Leenoh said...

W.salam.

Ya.Betul, kerana pemimpin adalah cermin utamanya, semua yang dewasa adalah pemimpin mereka,kita yang dewasa ini juga acuan mereka.

Hunny said...

Pak Ngah,

Cabaran mereka memang berkali ganda hebat dari kita. Wajarnya dakwah kepada mereka dari semua pihak berkali ganda dari dulu. Inkuiri golongan remaja sangat tinggi. Semangat bersaing antara mereka juga sangat tinggi. kalau jiwa tak diisi dengan iman yang lebih tinggi levelnya, memang mudah mereka tumpas.

Leenoh said...

Hani.
Memang betul kata Hani, persoalan itulah juga yang berputar di dalam minda Pak Ngah.
Siapakah agaknya yang dapat menerajui
dakwah ini.