Thursday, January 27, 2011

Jangan jadi lalang, hanya melentok ikut arah angin.

Salam semua.
Jadi lalang atau jangan jadi seperti lalang sering kita mendengarnya, lalang adalah sejenis tumbuhan atau rumput rampai yang tiada manfaat, sehijau atau sesubur mana pun ianya tidak akan dimakan oleh kerbau, lembu atau kambing, tumbuhnya lalang sering memberi kesusahan kepada manusia, jika tumbuhnya di dalam petak padi akan menyebabkan pokok padi tidak subur kerana baja yang yang ditabur di dalam petak untuk menyuburkan padi, lalang merebut dan merampas manfaatnya. Keadaan itu menambahkan kerja kepada petani, petani terpaksa turun ke petak untuk mencabutnya, kerja ini membuang tenaga petani, nyawa lalang memang liat dan susah mati, beberapa hari kemudian lalang akan tumbuh semula. kerja membuang lalang mesti dibuat secara istiqamah, kalau tidak, tidak akan berjaya menghapuskannya.

Rumpun lalang kelihatan cantik dan indah apabila ditiup angin pada musim kemarau, kelihatan melentok ke kanan dan ke kiri, alunannya pula kelihatan seperti ombak laut. Larangan supaya tidak menjadi lalang kerana ianya melentok mengikut arah angin, larangan itu sebenarnya suatu perbandingan yang ditujukan kepada manusia yang tidak mampu berfikir sendiri dalam membuat sesuatu keputusan menyebabkan ianya tidak mempunya pendirian yang tetap. Ini berlaku berikutan mindanya yang tidak kritis dan kreatif.

Hal seperti ini kekadang berlaku berseorangan dan juga berlaku dalam bentuk kumpulan. Oleh itu berlakulah suatu tradisi yang semata-mata ikut dan ikut tanpa berfikir secara matang walaupun amalan itu berlaku sekian lama dan tidak berfaedah , tiada siapa pun yang ingin membuat perubahan, walaupun dilihat tidak elok dan tidak sesuai untuk diikuti atau meneruskan amalannya. Kalau pun pernah wujud beberapa orang yang berfikiran kritis dan kreatif yang ingin membuat perubahan, rancangannya terbantut dan terbatal begitu sahaja kerana tidak sanggup menghadapi tentangan dan kutukan.

Sekiranya terdapat keberanian di kalangan mereka yang berfikiran kritis dan kreatif untuk melakukan perubahan nescaya percubaan mereka akan berjaya seperti cerita Camar Putih berjaya membuat perubahan terhadap cara hidup bangsanya.


Cerita secara ringkas mengenai seekor burung camar putih.
Kebiasaannya burung camar adalah berwarna hitam, kebetulan dalam kisah ini terdapat seekor camar yang berwarna putih, bukan sahaja warnanya berbeza dengan kekawannya, kelakuannya pun berbeza dan sentiasa sahaja ditegur oleh camar-camar yang lain dan cara masyarakat camar mencari rezeki atau makanan pula sangatlah mudah dan senang, iaitu pada setiap hari mereka pergi ke tepi pantai untuk menunggu nelayan balik dari mencari ikan, makanan burung camar adalah ikan , udang atau apa-apa yang diperolehi oleh nelayan dari laut.

Setelah nelayan sampai di pantai mereka pun berterbanganlah di atas udara atau hinggap di atas ranting atau dahan pokok yang berhampiran menunggu nelayan memunggah dan mengambil ikan atau apa-apa hasil tangkapan mereka.

Pada ketika camar-camar lain sedang berterbangan di sekitar pantai atau hinggap di atas pokok. Camar Putih tidak berbuat demikian sebaliknya Camar Putih terbang jauh ke tengah laut kerana melatih untuk mendapatkan kemahiran terbang yang berbagai teknik dan cara, Camar Putih berbuat demikian kerana ingin merealisasikan cita-citanya pada suatu hari nanti , iaitu setelah dia mahir menguasai berbagai teknik terbang yang sedang dipelajarinya itu.

Manakala camar-camar hitam yang lain sentiasa sahaja mengutuk dan mengumpatnya dengan bermacam-macam kutukan dan umpatan. Setelah nelayan-nelayan itu beredar dari sampan atau perahu mereka, maka camar-camar hitam ini pun riuh-rendah berebut makan saki baki anak ikan yang ditinggalkan nelayan kerana kesemua ikan itu tidak bernilai dan tidak laku kalau dijual pun. Ikan terbuang itulah menjadi makanan harian camar hitam.
Sementara mahir cara terbang yang lebih canggih, Camar Putih juga makan ikan-ikan tersebut untuk meneruskan kehidupannya.

Begitulah kehidupan camar-camar itu setiap hari, setiap harilah juga Camar Putih menjalani latihan terbangnya, setiap harilah juga Camar Putih menerima kutukan dan umpatan dari kumpulan camar hitam. Untuk mengelakkan diri dari gangguan tersebut Camar Putih mengambil keputusan berhijrah ke tempat lain dan kembali apabila cita-citanya telah berjaya. Camar Putih tidak sampai hati meninggalkan sanak-saudara yang masih ramai itu, lagi pun cita-citanya itu ada kaitan dengan kehidupan dan cara hidup keluarga dan masyarakatnya. Camar Putih dikutuk oleh mesyarakatnya bukan kerana warnanya putih tetapi, kerana sikapnya yang berbeza dengan camar-camar yang lain, Camar Putih sentiasa memberi pandangan ke arah perubahan dan anjakan cara hidup yang mencabar cara camar-camar lain berfikir.

Setelah menyedari Camar Putih tidak lagi bersama mereka, mereka pun tertanya-tanya di antara satu sama lain, tiada mana-mana camar yang melihat dan mengetahuinya. Dalam tempoh Camar Putih meninggalkan kampung halamannya dia telah berjaya melakukan cara terbang yang canggih yang diidam-idamkan itu. Camar Putih bukan sahaja mahir terbang tinggi dan laju, malah dia juga boleh terbang sambil menyambar ikan yang sedang berenang dipermukaan air laut seperti yang dilakukan oleh burung helang. Inilah suatu anjakan yang besar berjaya dilakukan oleh Camar Putih untuk dirinya dan anak-anaknya.
Apabila tiba sahaja waktu yang sesuai dia pun mengajak anak isterinya kembali semula ke kampung halaman asalnya. Kini Camar Putih semakin dewasa dan anak-anak pula telah besar dan mencari rezekinya sendiri, sekembali mereka ke kampung halaman mereka disambut seperti biasa oleh kaum keluarga dan masyarakatnya dahulu. Maklumlah telah lama berpisah.

Apabila menjelang waktu pagi seperti biasalah mereka akan ke pantai menunggu nelayan pulang, mereka cam sangat waktu dan ketika nelayan akan sampai di pantai, Camar Putih dan anak-anaknya pun ikut bersama, sesampai sahaja di tepi pantai mereka masing-masing melakukan aktiviti yang lazim mereka lakukan sementara nelayan tiba di pantai, manakala Camar Putih dan anak-anaknya yang sudah berdikari itu terbang jauh ke tengah laut dan kembali ke pantai dengan masing-masing membawa ikan yang segar untuk dimakan, situasi ini menimbulkan kehairanan kepada camar yang lain. Masing-masing bertanya di antara satu sama lain, namun tiada siapapun yang mengetahui rahsiannya, akhirnya mereka mengambil keputusan bertanya terus kepada Camar Putih.

Mereka pun pergi berjumpa Camar Putih dan bertanyakan hal tersebut, setelah mendengar pertanyaan mereka , Camar Putih pun mendiamkan diri sebentar dan berfikir di dalam hatinya inilah agaknya peluang dan masanya untuk aku mengajak keluarga dan masyarakat bangsaku membuat perubahan dan anjakan hidup kerana kini aku sudah miliki kemahiran yang diperlukan dan aku telah membuktikannya kepada mereka.

Camar Putih pun menceritakan kepada mereka segala-galanya dan mengajak mereka membuat perubahan seperti mana perubahan yang telah berlaku pada keluarga Camar Putih. Kini barulah masyarakat camar menerima dengan gembiranya saranan dan ajakan Camar Putih, oleh itu tidak lama lagi Camar Putih akan membuat kursus tertentu untuk melatih teknik dan kemahiran terbang serta srategi menangkap ikan di permukaan laut , kini masyarakat kampungnya bersiap sedia mematuhi segala arahan Camar Putih, kursus tersebut sudah tentunya akan dibantu oleh anak-anaknya yang masih muda dan cergas serta cerdas itu.


No comments: