Saturday, October 31, 2009

Rumah tiga bilik.

Salam semua.

Orang Malaysia sudah faham konsep rumah tiga bilik, di mana keperluan itu diatur untuk kesejahteraan semua pihak yang menjadi penghuni rumah tersebut, iaitu satu bilik untuk ibu dan bapa, satu bilik dikhaskan untuk anak-anak perempuan dan satu lagi pula dikhaskan untuk anak-anak lelaki. ( jika ada empat bilik tentulah lebih selesa lagi kerana bilik tersebut boleh dikhaskan untuk tetamu yang datang sekali sekala ke rumah kita ).Tiada siapapun di kalangan rakyat Malaysia menafikan kebaikannya dan tiada siapa yang menyatakan penempatan demikian akan menjejaskan perpaduan kerana perpaduan isi rumah boleh dijana dan dipupuk di kawasan dan ruang yang lain yang terdapat di dalam rumah tersebut seperti di ruang tetamu, di meja makan, berkelah bersama, bersolat jamaah dan seumpamanya.

Walaupun mereka terdiri dari keluarga, agama, keturunan dan bangsa yang sama, malah seibu dan sebapa, dan tinggal di dalam sebuah rumah, mereka itu tetap manusia, manusia yang terdiri dari individu yang berbeza dan termasuk jentina yang berbeza dan terdapat banyak lagi perbezaan-bezaan yang tertentu yang berkehendakkan perpisahan dan perasingan ketika berada di dalam bilik. Atas nama perpaduan dan kemesraan keluarga tidaklah sampai melanggar had-had tersebut .Perkara yang teratas dalam pelaksanaan tersebut ialah kepatuhan kepada ajaran Islam.

Bagaimana pula asrama Satu Malaysia dan adakah asrama yang sedia ada bukan asrama Satu Malaysia ? Lelaki dan perempuan sudah pasti diletakkan di dalam bilik yang berasingan, perempuan akan mendiami sesama mereka di dalam satu bilik atau kamar dan demikian juga lelaki akan ditempatkan sesama mereka.

Bagaimanakah dengan pelajar yang berlainan agama ? Adakah ditempatkan di dalam satu bilik ?. Bagaimanakah pula mereka menguruskan ibadat masing-masing secara praktikal ?.
Persoalan ini timbul kerana maklumatnya belum diperincikan lagi kepada umum.

Pada hemat saya semua itu perlu dibuat kajian dan penelitian kerana kiranya mereka ditempatkan di dalam kamar yang sama kemungkinan berlaku bahan atau objek yang berkaitan dengan keagamaan dibawa masuk ke bilik atau kamar , perkara ini akan menimbulkan ketidakselesaan bagi pihak yang lain.

Penempatan pelajar yang berbeza agama di dalam satu bilik pernah menimbulkan rungutan di peringkat Universiti pada suatu ketika dahulu kerana amalan agama sememangnya dihayati sehingga ke kamar, malah sehingga sebelum melelapkan mata setiap malam, perkara ini memang berlaku kepada mereka yang peka dan prihatin agama.

Saya bersangka baik bahawa pelaksanaan Asrama Satu Malaysia tidak akan sumbang langkahnya dan akan mengambil kira semua aspek sensitif tersebut. Diharap pelaksanaannya nanti mengutamakan nilai Islam merentas prosedur pentadbiran, khususnya yang berkaitan dengan pelajar Islam.

Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Negara adalah rujukan yang terbaik.

Catatan:
Bekas guru asrama yang masih belum hilang kepekaannya terhadap asrama.

Sekian. Wassalam.


Bercakap tidak serupa bikin.

Salam semua.


Hanya peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang peka mengenainya supaya mengelakkan diri daripada bercakap tidak serupa bikin..

Firman Allah bermaksud:

2:44

"Do you command mankind to benignancy and forget yourselves, and you recite the Book? Do you then not consider?"

" Adakah patut kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan dan kamu lupa dirimu sendiri, sedang kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu memikirkan ?"
Surah al.Baqarah ( ayat 44 )


Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.


Ke arah Kehidupan Bersih



Salam semua.

Allah menjadikan manusia di atas dunia ini terdiri dari berbagai bangsa, tiada siapapun yang dapat menafikannya, itu adalah hakikat dan realiti, kita terpaksa menerima hakikat tersebut kerana itu adalah kehendak dan iradah-Nya, Allah Maha Memgetahui apa yang telah, sedang dan akan dilakukan - Nya.

Manusia mungkin kekadang terfikir di hati mereka supaya manusia yang menghuni dunia ini hanya di kalangan bangsa mereka sahaja, seolah-olah ingin memohon supaya Allah berbuat demikian, sedangkan Allah telahpun menjadikan mereka , sebelumnya mereka tidak wujud, khususnya mereka yang terfikir demikian.Dalam proses menjadikan manusia malah alam ini, malah apa sahaja Allah tidak berkehendak untuk berunding dengan manusia atau apa sahaja kerana Allah itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam melaksanakan sesuatu.

Kiranya satu bangsa sahaja yang menghuni dunia ini tentulah manusia akan menjadi jumud dan jahil. manusia juga tidak dapat melihat sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan sifat-sifat kesempurnaan Allah yang lain.

Melihat kepada manusia yang berbagai bangsa yang bertutur dalam berbagai bahasa dan mengamalkan berbagai budaya dan adat resam, semuanya itu memberi motivasi kepada minda manusia ke arah mempertajamkan lagi akal dan minda mereka dan akhirnya minda mereka akan menjurus kepada suatu kesimpulan bahawa Allah itu wujud.

Bagi mereka yang berfikir demikian lambat laun akan bertemu dengan taufik dan hidayah Allah serta akan mengakui bahawa kewujudan masyarakat majmuk di dalam kehidupan mereka itu adalah suatu hikmah dan keindahan serta suatu kecanggihan hidup manusia yang sengaja diciptakan oleh Allah.

Manusia tidak dibiarkan bersendirian atau sesama mereka sahaja dalam menjalani hidup yang canggih dan rumit itu. Allah itu Maha Penyasih dan Penyayang kepada hamba ciptaan-Nya. Allah mengutuskan malaikat Jibril supaya menyampaikan al.Quran kepada Nabi Muhammad.s.a.w. dan diturunkan al.Quran itu secara beransur-ansur sehinggalah lengkap sebagai sebuah kitab yang menjadi panduan hidup manusia supaya manusia selamat di dunia dan di akhirat. Dengan itu Nabi Muhammad.s.a.w. dilantik menjadi rasul dan pesuruh Allah untuk menyampaikan segala panduan yang termaktub di dalam al.Quran itu kepada manusia serta baginda juga dipertanggungjawabkan supaya memberi penjelasan dan kefahaman kepada manusia mengenai isi kandungan tersebut sehingga mereka mampu merealisasi dan mengamalkannya di dalam kehidupan mereka.

Allah menjadikan manusia dengan dibekalkan akal bersama kejadian diri mereka, tetapi akal semata-mata tidak mampu menguruskan diri mereka tanpa disepadu dan dikombinasikan dengan wahyu Allah, sememangnya manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan, kelebihan manusia akan hadir dalam diri mereka setelah menyingkirkan kelemahan yang bersemayam di dalam jiwa mereka. Setelah tersingkirnya kelemahan dan kekotoran di dalam jiwa manusia. Insya Allah akan terjanalah Kehidupan Bersih.

Kelebihan manusia kerana akhlak baik dan taqwanya, kelemahan manusia kerana perbuatan lagha dan sia-sianya

Cuba fikir dan renungkan firman Allah yang disediakan di bawah ini.

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang".


"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
Surah al.Hujuraat, ( ayat 12 - 13 )
.

Hanya sekadar ini dahulu sehingga bertemu lagi.

Wassalam.


Friday, October 30, 2009

Aku masih ingat padanya


Salam semua.

" Kalau keras jangan sampai boleh dipatahkan, jika lembut jangan sampai boleh diperah"

" Orang yang berada di atas puncak bukit
melihat orang di kaki bukit sangat kecil, jangan lupa orang di kaki bukit juga melihat orang di atas puncak bukit sana kecil juga "
@@@@@

Kata-kata hikmah yang keluar dari mulut guru memang berkesan dan akan masuk bersemayam di dalam sanubari pelajarnya, kerana guru itu ibarat ibu atau bapa mereka, saya masih ingat lagi gaya guru-guru saya bergerak di hadapan kelas dan kelunakan suara mereka masih dapat dibayang dan dilakonkan semula oleh pelajar mereka yang berbakat.

Allahyarham Us.Fadzil Noor ( Dato' ) adalah salah seorang guru saya dan beliau juga salah seorang guru yang disukai dan dikasihi oleh para pelajarnya, saya tidak akan bercerita panjang mengenainya di sini kerana sumber lain telah banyak memaparkannya . saya hanya ingin menceritakan secara ringkas yang berkaitan dengan diri saya sahaja.

Ada dua kenangan di antara yang melekat dengan kuatnya diminda saya yang akan dipaparkan di sini, satu berbentuk prinsip dan yang satu lagi kelucuan.

Lucu.
Pada suatu hari saya memberi pandangan yang agak kurang menasabah di dalam kelas, kemudian beliau datang kepada saya di antara bergurau dan marah menyucuk songkok saya dengan jari telunjuknya kebetulan ketika itu meja saya berada di tepi dinding dan tingkap yang sentiasa terbuka, keadaan tindakbalas atau pergerakan badan saya berlaku sedikit kelam kabut menyebabkan songkok terjatuh dari tingkat atas ke bawah berhampiran parkir kereta pengetua. di bawah anjung bangunan itu adalah tempat parkir kereta pengetua pada zaman itu, sekarang wallahu aklam.

Kelas di anjung bangunan Maktab Mahmud itu memang istimewa kedudukannya dan kelas yang ditempatkan di situ pun biasanya kelas "A" itulah di antara istimewanya,
Dato' Seri Azizan bin Abdul Razak - Menteri Besar Kedah sekarangpun kalau tidak salah saya pernah ditempatkan di anjung tersebut iaitu ketika beliau di kelas aliah (tertinggi), banyak lagi yang lain termasuk yang lucu pun ada, mungkin dikesempatan lain insya Allah saya akan paparkan untuk bacaan anda, mungkin sesuai kalau diletakkan tajuk "Keistimewaan Anjung Maktab Mahmud"

Saya yakin apa yang berlaku itu beliau hanya berlakon sahaja, saya membiarkan sahaja songkok itu berada di bawah dan tidak pergi mengambilnya, beliau pula yang merasai risau, agaknya takut dilanda dek kereta yang lalu lalang di situ, maklumlah kami kebanyakannya anak-anak petani miskin termasuk saya sendiri, nanti susah pula kalau rosak, akhirnya beliau menyuruh saya turun mengambilnya. Sudah tentu kawan-kawan punggah gelak dan ketawa riuh rendah satu kelas, pada mulanya peristiwa itu berlaku secara senyap sahaja, setelah saya disuruh turun mendapatkan songkok barulah semua orang perasan bahawa songkok saya terjatuh ke bawah. Saya tidak pasti peristiwa itu berlaku di tingkatan berapa, mungkin tingkatan satu iaitu setelah melalui peralihan ( ikdadi ) selama dua tahun.

Prinsip.
Dua rangkaikata kata-kata hikamh yang dipaparkan di atas merupakan suatu panduan yang beliau lontarkan kepada kami sebagai salah satu panduan bagi membina sahsiah yang berketrampilan.

" Kalau keras jangan sampai boleh dipatahkan, jika lembut jangan sampai boleh diperah"
Pada hemat saya rangkaikata ini sangat wajar untuk difikirkan dan difahami serta menghayatinya di dalam kehidupan.ianya menggambarkan kesederhanaan dalam pembawaan sikap dan prinsip seseorang, sentiasa menjaga supaya tidak melampau di dalam sesuatu tindakan, dengan bersikap tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.

" Orang yang berada di atas puncak bukit melihat orang di kaki bukit sangat kecil, jangan lupa orang di kaki bukit juga melihat orang di atas puncak bukit sana juga kecil "

Orang yang berada di atas bukit atau di puncak bukit akan melihat orang di kaki bukit itu kecil, kelihatan kecil itu bukan sebenarnya orang itu kecil atau kelemahan orang yang di bawah itu tetapi keadaan itu berlaku kerana dilihat dari jarak yang jauh, berlaku demikian rupa kerana kelemahan mata atau kelemahan diri sendiri dan faktor diri sendiri, kalau ingin mengetahui hakikatnya orang itu perlulah turun ke bawah dan melihatnya, kali ini apa yang dilihatnya adalah realiti, iaitu mereka sebenarnya sama saiz dan sama besar sahaja.

Kalau hendak diibaratkan.
Orang yang berpangkat atau orang atasan biasanya melihat orang bawahan ini serba kekurangan, contoh di atas menggambarkan kepada kita bahawa anggapan tersebut tidak tepat, kekadang orang bawahan juga mempunyai idea yang baik dan boleh dimanfaatkan, dalam sesetengah hal orang bawahan lebih berpengalaman dan berkepakaran tanpa mereka sesetengah urusan tidak dapat berhasil dengan jayanya.


Terima kasih ustaz.

Sekadar ini dahulu.

Sekian. Wassalam.


Mulut dan dubur.

gambar hiasan


Salam semua.

Pada entri ini terlebih dahulu saya memohon maaf kerana meletakkan tajuk dengan menggunakan dua perkataan yang agak tidak selesa berada sebaris. Tanggapan pertama memang terasa kekok untuk disebut tetapi apabila diteliti dan disemak ianya tidaklah terlalu jauh bezanya.

Sekarang cuba kita semak dan teliti fizikal keduanya dari segi persamaan .
Mulut tentu sekali akan berbau busuk sekiranya kurang penjagaan, saki baki makanan yang tertinggal di celah-celah gigi yang berada dalam mulut itu akan berbau busuk dan sama busuknya dengan apa yang ada di dubur. Sebab itulah Islam memerintahkan supaya bersugi setiap kali berwuduk dan juga ketika hendak tidur dan begitu juga disuruh beristinjak selepas setiap kali membuang air besar atau air kecil.

Sekali pandang mulut dan dubur ketika tertentu keadaannya sama sahaja. Mulut akan menjadi busuk sepanjang masa sekiranya terdapat gigi yang reput dan tidak diurus dengan sewajarnya. Begitu juga sekiranya mengalami masalah di dalam perut, kekadang bau busuk mulut tidak disedari oleh pemiliknya tetapi dirasai mereka yang berhampiran tanpa dimaklumkannya kerana menjaga hati atau sensitif.

Demikianlah kalau kita ingin mendedahkan kelekehan dan kehinaan manusia, kelekehan ini terdapat pada semua manusia sama ada yang sombong dan ego atau mereka yang merendah diri dan tawaduk.

Dari segi abstrak mulut menjadi lebih busuk dan kotor lagi, apabila pemiliknya suka melontarkan kata-kata yang tidak diizinkan Allah, seperti mengumpat, mencaci, berdusta dan bercakap perkara-perkara yang lagha dan sia-sia kerana semua perbuatan tersebut adalah dosa, dosa adalah sesuatu yang kotor dan tidak suci. Sekiranya kedua-dua situasi itu berlaku pada mulut, maka mulut akan lebih kotor daripada dubur kerana kekotoran yang berlaku pada dubur hanya satu sebab sahaja iaitu kedudukannya sebagai laluan benda kotor.

Kalau kita ingin mengurangkan perasaan sombang diri dan ego, mungkin dengan cara berfikir tentang kejadian diri akan dapat meredakan keegoan yang bersarang di dada.

Orang yang sombog dan ego itu sebenarnya orang yang jahil. orang jahil biasanya tidak mengenal kejadian diri atau terlupa mengenainya.

Hanya sekadar ini sahaja. anda boleh klik tajuk di bawah ini untuk sambung membacanya.


Sekian. Wassalam.


Thursday, October 29, 2009

Mengikuti perkembangan itu sangat baik dan diituntut ..

Salam semua.

Pagi ini saya ingin
terlebih dahulu menumpukan perhatian kepada ulasan yang dipaparkan di bawah ini buat seketika sebelum beralih kepada hal-hal yang lain kerana terdapat di dalamnya kata kunci yang menarik perhatian dan mendorong saya untuk memberi pandangan selanjutnya. Ulasan ini juga menyentuh dan menyokong entri saya yang telah lalu.

#####

Blogger tinta kasturi said...

salam pak ngah,
harapan agar p.ngah sentiasa sihat dan seronok selalu..
seronok baca entri kali ini dgn bahasa org utara..
mengikuti perkembangan itu sangat baik dan diituntut sebenarnya..
gambaran keprihatinan diri terhadap sekeliling..
syabas pak ngah atas prihatin yg tertanam dlm diri.

October 29, 2009 12:18 AM

#####

Dalam entri yang telah lalu saya membuat sedikit ulasan dan memberi pandangan mengenai pepatah yang berbunyi " Jangan jaga tepi kain orang " supaya diabaikan sahaja amalannya oleh masyarakat kita kerana pegangan hidup seperti itu amat salah dan bertentangan dengan ajaran Islam. sebaliknya Islam menyokong sikap " Jangan kacau tepi kain orang".

Ada dua kata kunci di situ iaitu - perkataan jaga - dan - perkataan kacau -. Jaga atau menjaga suatu perbuatan yang baik, elok dikekal dan dilakukan, manakala kacau atau mengacau suatu perbuatan yang tidak baik dan jahat, jadi eloklah ditinggalkan. Kedua-dua sikap di atas adalah hasil mengikuti perkembangan masyarakat sekeliling dan tindakbalasnya iaitu tindakbalas yang berupa mahmudah dan mazmumah.

Hasil daripada mengikuti perkembangan itu barulah tercetusnya dakwah dan nahi mungkar, juga bergerak ke arah memurnikan kehidupan masyarakat, secara amnya ini adalah tanggungjawab semua orang Islam dan secara organisasinya pula ( wajib ) perlulah ada sekumpulan manusia yang menyeru ke arah kebaikan dan makruf serta mencegah kemungkaran seperti yang disebutkan Allah di dalam surah Ali Imran.

@@@@@

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung".
Surah Ali.Imran ( ayat 104 )

@@@@@

Sekadar ini dahulu.

Sekian.Wassalam.

Wednesday, October 28, 2009

Ronda cari maklumat terkini - Sidang DUN dan Mesyuarat Khas.


Salam semua.

Pada akhir petang dan awal malam ini aku ronda merata laman blog mencari berita terkini mengenai sidang DUN Perak dan Mesyuarat Khas Pas Pusat yang mana kedua-duanya bersidang pada hari ini.

Penat juga aku melompat dari blog ke blog tetapi tidak berjumpa pun dengan berita yang dimaksudkan kecuali sedikit sahaja, barang kali mereka masih letih atau sedang menyusun kata-kata yang sesuai dan indah untuk dimuatkan di dalam laporan masing-masing atau ada perkara yang belum beres lagi.

Kekadang akupun hairan pada diri sendiri buat apa nak sebok-sebok dengan cerita dan berita yang kekadang memeningkan kepala tu, aku bukan ahli politik mana-mana parti pun. Dalam keadaan tidak berparti mungkin semua parti politik mengatakan aku ini musuh mereka, tapi tak kut, sebab orang politik kena bersangka baik dengan orang, kalau tidak ahli parti depa tidak bertambah nanti.
kalau depa kata aku orang ataih pagak ok la. Tapi mana boleh duduk ataih pagak, pagak mana ada bumbung.

Bukankah aku dah kata dulu, akupun orang berpolitik , cuma tanpa parti. Bila dah ronda dan tak jumpa juga berita terkini mengenai kedua-dua perkara tersebut , nampaknya nak kena tunggu sampai esok pagi, esok pagi sah suratkhabar akan laris dijual oleh Mamak seksyen 20 tu, tak pa pagi esok aku keluar pagi sikit, kalau lambat nanti habis pula.

Tapi tu la kalau baca suratkhabar ni skop dia luas sangat sampai susah pula kita nak nilai betul atau tidak, depa pakai hentam ikut depa ja. kadang-kadang apa yang depa kata tu tak betul pun. inilah yang masalah, kita nak kena tapis pula, kalau tak tapis bahaya......
.......
Sebenarnya aku dah lama tak beli surat khabar, kalau belipun cuma Sinar Harian ja, sebab harganya murah sesuai dengan aku yang dah jadi YB.JPA ni.


Aku dok cari maklumat ni bukan apa, sebab ramai jugak depa dok mai baca kat blog aku ni, kalau ada benda baik-baik aku nak bagi depa baca la, kalau tak baik, aku tak mau bagi. Hidup di dunia ni kena buat baik, barulah untung di kemudian hari, kalu dok hentam kromo ja, apa nak dapat, habuk ja la.Kalau kita buat baik dengan orang, Allah buat baik dengan kita, yang ni aku tak lupa, tapi buat baik pun, baik yang hakiki. apa itu baik yang hakiki, baik hakiki ni baik yang diakui oleh Allah, baik yang dapat pahala, bukan baik macam Robin Hood tu, dia kebas hak orang punya, kemudian pi bagi kat orang susah, mana boleh macam tu. tu kerja bodoh, kerja orang jahil. hak orang tetap orang punya mana boleh kita ambik dan tadbir pula.

Dah melarat dan merapu rata ni,Takpalah kalau begitu esok kita jumpa lain.


Persidangan DUN Perak.

Salam semua.

Kecelaruan politik di Perak masih berterusan, sidang DUN yang diadakan pada hari ini ibarat dua buah kapal berada di dalam sebuah tasik yang menggunakan pangkalan yang sama, nakhoda mengemudikan kapal masing-masing, setakat ini belum berlaku apa-apa perlanggaran fizikal. Demikianlah yang dapat digambarkan hasil tinjauan penulis di beberapa laman blog pada awal pagi ini.

Sudah tentu akan memeriahkan sidang akhbar selepas selesai sidang DUN nanti, mungkin tidak cukup telinga untuk didengar dan tidak cukup mata untuk membaca laporannya nanti.

Perkara yang benar itu nyata dan yang batil juga nyata, mereka yang terlibat tentulah mengetahuinya.

Apapun Allah sedang memerhati setiap pergerakan dan aktiviti hamba-Nya.

Catatan:
Harapan rakyat agar hilang gelap, timbul cerah.

______________



Sekian.Wassalam.


DUN Perak bersidang lagi.

Salam semua.
09 Zulkaedah 1430 ( Rabu ).
Perak Darul Ridzuan masih mencatatkan sejarahnya yang tersendiri pada hari ini selepas semalam dikejutkan dengan berita 22 pelajar dikhuatiri hilang dan lemas akibat keruntuhan jambatan gantung di lokasi berhampiran sekolah Kebangsaan Kuala Dipang yang berakhir dengan 19 pelajar terselamat dan seorang dijumpai lemas dan dua lagi masih dicari oleh pasukan penyelamat.

Pada pagi ini pula Sidang DUN yang penuh dengan tanda tanya akan bersidang, sudah tentunya di Dewan Undangan Negeri Perak, semua pihak menunggu dengan penuh debaran dan kemusykilan, khasnya rakyat negeri Perak yang terlibat dengan pemilihan ahli DUN di dalam pilihanraya umum yang telah lalu.

Kita berharap Sidang DUN Perak pada hari ini akan berjalan mengikut prosedur yang sepatutnya supaya akhirnya kecelaruan dapat disingkirkan, dengan itu terjanalah Kehidupan Bersih.

Selamat bersidang.

Sekian.Wassalam.

Tuesday, October 27, 2009

Serangan secara psikologi.




Salam semua.
                                                                  gambar hiasan

Serangan musuh masa kini datang dari berbagai cara dan kaedah , maklumlah zaman sekarang manusia semakin canggih dan bijak. Asalkan boleh diperalatkan maka digunakanlah cara tersebut untuk mencapai cita-cita yang terpendam di hati.

Bagi mereka yang peka dengan perintah dan larangan Tuhan sahaja akan memikirkan dan memilih kaedah yang diizinkan.

Untuk mencapai cita-cita manusia sanggup bergolok bergadai, kiranya cita-cita itu murni tentulah berbaloi, jika sebaliknya tentulah akan bertemu dengan kerugian dan penyesalan di kemudian hari nanti.

Apapun Islam tidak menghalalkan cara, untuk mendapat sesuatu yang baik, mestilah caranya juga baik, apabila terhasil maka hasil tersebut adalah baik .

Dalam entri ini saya ingin menceritakan kisah seorang peserta kursus yang pernah saya menjadi pemudahcaranya ( fasilitator ) di mana peserta tersebut menceritakan bagaimana beliau berkempen bagi memenangkan seseorang di dalam satu pertandingan memilih pucuk pimpinan bagi organisasi yang beliau menjadi ahlinya, katanya pertandingan itu berlaku di dalam kelumpuk yang sama atau ibarat pertandingan persahabatan sahaja.

Saya menunjukkan kehairanan dan kurang kepercayaan terhadap kebolehan dan kemampuan dirinya untuk berkempen dan berdepan dengan orang ramai sedangkan di dalam majlis taaruf yang sedang saya jalankan terhadap dirinya inipun beliau tergugup-gugup untuk menceritakan sesuatu.

Katanya beliau bukan berkempen secara terbuka tetapi beliau hanya sekadar mengunjungi kedai kopi dan beredar dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain dan akan berkunjung seberapa banyak yang mampu.tugas beliau dengan beberapa kawan lagi hanya untuk menceritakan kebaikan tokoh mereka dan memburuk-burukkan tokoh lawan semahunya, mereka bertiga akan berbual dan bersembang sesama mereka mengenai topik tersebut sambil sekali sekala menghirup kopi atau teh yang tersedia di atas meja.

Setelah selesai cerita mereka akan beredar pula ke kedai atau restoran yang lain pula dan akan bersembang tajuk yang sama. Dalam perbualan itu mereka sentiasa memastikan bahawa suara dan cerita mereka itu dapat didengari oleh pelanggan yang berada di meja sekeliling mereka.

Mereka kelihatan bukan berkempen tetapi sebenarnya berkempen dan menabur fitnah, berdusta dan memburuk-burukkan tokoh lawan, mereka juga menyerang dan menembak tanpa peluru, namun demikian mereka memiliki peluru yang tidak kurang bisanya iaitu peluru angin yang meresap masuk ke dalam urat saraf dan mengalir sehingga ke jiwa pendengar. Serangan psikologi seperti ini telahpun digunakan secara besar-besaran sejak sekian lama seperti anda maklum.

Ini adalah suatu contoh kecil dan terpencil yang diceritakan oleh seorang yang daif, beliau sendiri pun tidak mengetahui bahawa dirinya telah dipergunakan oleh orang yang berkepentingan. Begitulah kata pepatah " orang bodoh makanan orang cerdik".
_________________

Sabda Rasulullah.s.a.w.bermaksud.
"Empat perkara sesiapa yang memilikinya adalah dia munafik yang nyata dan sesiapa yang memiliki satu daripadanya dia memiliki satu sifat munafik sehingga dia meninggalkannya,
Apabila bercakap dia berbohong,
Apabila diamanahkan dia khianat.
Apabila berjanji dia mungkiri,
Apabila bergaduh dia melampau".

_____________________


Setelah selesai beliau bercerita saya pun memberi ulasan dan pandangan yang saya fikirkan sesuai dengan peranannya, tentu sekali anda dapat mengagaknya.
Sekian. Wassalam.






Jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang.



Salam semua.

26 Okt.2009.( malam )
Seramai 22 pelajar dikhuatiri hilang dalam satu kejadian Jambatan Gantung runtuh di Kuala Dipang, Tapah, Ipoh; Perak .
Demikian dilaporkan oleh beberapa media hari ini, mereka adalah peserta kursus / perkhemahan kokurikulum yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran.ketika entri ini ditulis berbagai pihak sedang berusaha mencari dan menolong para pelajar yang terlibat.

###########

Marilah kita sama-sama mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga para pelajar yang menjadi mangsa runtuhan tersebut. Juga kepada para guru yang sekian lama mendidik mereka dan berdoa untuk kejayaan mereka.

Diharap dan didoakan semoga mereka semua selamat.Ketika ini realiti kepada para pelajar tersebut masih menjadi teka teki dan merisaukan semua pihak.

Ujian ini adalah sangat perit dan sedih untuk diterima oleh anda semua dan sesiapa sahaja tetapi itulah hakikat hidup manusia di dunia pinjaman ini , kemalangan dan hayat maut datang tanpa diundang.

Kita hanya merancang dan berusaha tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Semoga kejadian tersebut dapat menginsafkan kita mengenai nilai kehidupan yang dipinjamkan Allah kepada kita.

Dan sama-samalah kita berdoa agar dijauhkan Allah daripada ditimpa bala yang tidak mampu kita tanggung dan tidak kuasa menghadapinya serta kukuhkan iman kita sepanjang masa, amin.

___________________________
Terkini.
19 pelajar yang terlibat dilaporkan selamat.

____________________________


Jika ingin mengetahui pandangan saya mengenai kursus sila klik tajuk di bawah ini;

Sekian.Wassalam.


Sunday, October 25, 2009

Rumah sekarang ada kelainan.

Salam semua

Rumah sekarang ada kelainan

Dalam entri ringkas ini saya ingin berkongsi pendapat dengan anda, kalau anda seorang arkitek atau juru pelan lagi seronok untuk didengar pandangan anda. Saya menulis ini semata-mata mengikut pengalaman dan rasional akal sahaja. tegasnya tidak memiliki apa-apa kepakaran mengenai topik yang dibincangkan ini.Mungkin hujah yang diberikan ini tidak tepat atau sudah kuno.

Semua rumah baru yang dibangunkan di taman-taman perumahan sekarang ini saya dapati tiada lagi disediakan lubang angin untuk kemudahan putaran angin keluar dan masuk ketika semua pintu dan tingkap ditutup, itulah bahasa yang mudah untuk saya jelaskan kepada anda mungkin ada istilah lain yang lebih canggih, apapun maksud saya ialah apabila tingkap bilik dan pintunya ditutup penghuninya seperti berada di dalam kotak mancis, kalaupun ada kipas anginnya tidak lagi berputar dengan selesa.

Bayangkan kalau anda tinggalkan rumah dalam tempoh seminggu dalam keadaan semua tingkap dan pintu tertutup rapat, sedangkan pada ketika itu pula musim panas . Bila anda balik dari pemergian selama seminggu itu, sebaik sahaja anda membuka pintunya dan masuk ke dalam rumah, apakah agaknya aroma yang akan anda terhidu ?. Saya dapat bayangkan bau hangit rumah tersebut. kiranya cuaca panas berada pada paras yang tinggi ketika inilah barang kaca dan tail lantai akan meletup dan pecah, berlebih-lebih lagi jika pemasangan tail (tiles) pula dalam kualiti yang rendah.

Jelaslah pelan rumah sekarang berbanding dengan rumah zaman dahulu mempunyai perbezaan dan kelainannya yang tersendiri, Kalau bina begitu pada zaman dahulu berkemungkinan anda akan gagal mendapatkan kelulusan pihak yang berkuasa, terutamanya bahagian kesihatan kerana pelan tersebut tidak menepati hajat mereka atau tiada prihatin dengan kesihatan penghuninya.

Pelan sekarang nampaknya mempunyai daya dorong melariskan jualan pendingin udara, memanglah sesuai untuk memasang pendingin udara, tetapi tidak semua bilik hendak dipasang dengan alat tersebut. Pada pandangan saya pelan rumah tahun 80an bersabit dengan perkara ini lebih relevan dengan keadaan dan cuaca yang panas..


Cuba lihat

Tiada lubang angin.


Cuba anda lihat gambar, kalau tingkap dan pintu ditutup tentu sekali seperti berada di dalam kotak mancis, rumah ini dikatakan harganya hampir Rm300.000.00.

Hanya meluahkan rasa prihatin mindaku terhadap alam sekitar.

Sekian. Wassalam.



Saturday, October 24, 2009

Rezeki datang dari berbagai sudut tanpa disangka.



Salam semua.

Rezeki tempias Bajet 2010.
Tulisan ini ingin mencuit sedikit mengenai tajuk di atas. Tidak layak bagi saya untuk mengulas Bajet 2010 kerana saya bukanlah ahli ekonomi seperti mereka yang di luar sana, cuma sebagai rakyat yang memiliki sedikit ilmu pengetahuan ingin juga turut serta di dalam perbincangan tersebut, Hanya dua perkara sahaja yang ingin disentuh.

Pertama.
Mereka yang terlibat dan mendapat pemberian tersebut sepatutnyalah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada mereka yang mencetuskan idea pemberian yang tecatat di bawah ini.

"Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini".

Firman Allah yang bermaksud,
"Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar".

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu".
Surah At.Talaaq ( ayat 2 - 3 ).

Kedua.
Setiap kali sesi pembentangan Bajet di parlimen sememangnya lengkap dan sempurna serta bertanggungjawab. Jarang dilihat mementingkan sesuatu pihak, kalau adapun bukanlah disengajakan.
Apa yang menghantui dan memeningkan kepala rakyat ialah berlaku kebocoran dan pembaziran ketika pelaksaannya. Diharap bajet kali ini dikawal dan dipagari dengan baik supaya pagar tidak lagi makan padi.
Rakyat sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar negara menjadi makmur dan cemerlang kerana sudah tentu setiap rakyat cintakan negara yang makmur, aman dan berkat.

Sekian.wassalam,
_________________________________

Haji - Nota Ulangkajiku - 1.

Salam semua.

Di atas permukaan skrin di bawah ini dimuatkan dengan nota ringkas mengenai beberapa perkara penting yang terdapat di dalam amalan Haji dan disertakan juga dengan dalil-dalil wajib mengerjakan Haji.
Sebelum itu lihatlah video yang  saya sempat rakamkan di Jabal Rahmah, lokasinya berhampiran khemah di Padang Arafah.

( 1 )
Dalil Wajib Haji dan Umrah.

"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan `umrah karena Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau karena sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapat, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah, yaitu: berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah (merasa) aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan `umrah sebelum haji (di dalam bulan haji), wajiblah ia menyembelih) korban yang mudah didapat. Tetapi jika ia tidak menemukan binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang kembali. Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Demikian itu (kewajiban membayar fidyah) bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada (di sekitar) Masjidilharam (orang-orang yang bukan penduduk kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah sangat keras siksaan-Nya".
Surah al.Baqarah ( ayat 196 )

#####
Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh,

supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir.

Kemudian hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling rumah yang tua itu (Baitullah).

Surah al.Haj ( ayat 27 - 29 )



(2)
Tawaf.


Tawaf Ifadah - Tawaf Qudum - Tawaf Wadak - Tawaf Nazar -
Tawaf Sunat.
.



Tawaf
ialah mengelilingi kaabah sebanyak tujuh keliling dengan yakin, memulakannya di sudut Hajaratul Aswad dalam keadaan mengirikan Baitullah ( Baitullah berada di sebelah kiri ) dan juga dalam keadaan berwuduk, suci daripada najis, menutup aurat,dalam masjid dan luar kawasan atau bahagian kaabah.

Tawaf Ifadah..
Ialah tawaf rukun ( rukun Haji atau rukun Umrah ) - semasa mengerjakan Haji, tawaf ini dilakukan setelah berwuquf di Padang Arafah, mabit di muzdalifah, mabit di Mina dan melontar pada hari pertama. atau selepas selesai keseluruhan lontaran.( Niat untuk Tawaf Haji dan Umrah hanya sunat sahaja kerana niat Haji dan Umrah semasa di miqat telah memadai )

Tawaf Qudum.
Tawaf sebaik sahaja masuk ke Kota Makkah iaitu Tawaf selamat datang, Tawaf Qudum memerlukan niat. ( Bagi mereka yang mengerjaklan Haji Ifrad dan Haji Qiran disunatkan Tawaf Qudum ).

Tawaf Wadak.
Tawaf Wadak ialah tawaf selamat tinggal bagi mereka yang ingin keluar Tanah Haram sama ada untuk balik kampung atau musafir yang melebihi dua marhalah atau melebihi empat malam, tawaf ini juga memerlukan niat semasa memulakan tawaf.

Tawaf Nazar.
Ialah melakukan tawaf kerana bernazar - wajib ditunaikan - wajib berniat.

Tawaf Sunat.
Ialah tawaf yang kita ingin mengerjakannya untuk mendapat pahala atau untuk mengabdikan diri kepada Allah, suka hati melakukannya bila-bila masa ketika berada di Mekah.- memerlukan niat.

Contoh niat Tawaf Haji.
Ya Allah aku hendak tawaf Baitullah al.Haram tujuh keliling bagi tawaf Haji kerana Allah Taala. Maka mudahkanlah kepadaku dan terimalah dariku.
( Niat ini sunat sahaja )

Contoh niat Tawaf Umrah.
Ya Allah aku hendak tawaf Baitullah al.Haram tujuh keliling bagi tawaf Umrah kerana Allah Taala. Maka mudahkanlah kepadaku dan terimalah dariku.
( Niat ini sunat sahaja )

##############

( 3 )
Sae di antara Safa dan Marwah.
Sae.
Iaitu berjalan berulang alik di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, ( mulai dari Safa ke Marwah ), dikira mulai Safa ke Marwah sekali dan dari Marwah ke Safa sekali.

Contoh niat Sae Haji.
Ya Allah. Ya Tuhanku aku hendak Sae di antar Safa dan Marwah tujuh kali Sae Haji kerana Allah Taala.

Contoh niat Sae Umrah.
Ya Allah. Ya Tuhanku aku hendak Sae di antar Safa dan Marwah tujuh kali Sae Umrah kerana Allah Taala.

( 4 )
Berlaku uzur selepas niat Haji Tamattu'.

Seseorang yang telah berniat mengerjakan Umrah dalam mengerjakan Haji Tammattu' sebelum tawaf Umrah tiba-tiba ia uzur syarie seperti sakit atau kedatangan haid sedangkan waktu untuk berwuquf di Arafah telahpun hampir, oleh itu ia hendaklah berniat ihram Haji dan pergi wuquf di Padang Arafah dan seterusnya menyelesaikan amalan Haji yang berikutnya. Maka jadilah Hajinya itu Haji Qiran.
( 5 )

Masalah Haid -
Wanita yang kedatangan haid setelah hari yang ke 12 haidnya pun berhenti, iaitu pada hari ke 13 dan 14 tiada kehadiran haid dengan itu iapun mengerjakan tawaf dan Sae. Kemudian pada hari ke 15 haidnya datang semula, dalam tempoh 15 hari itu ia masih dikira dalam keadaan haid. Oleh itu tawaf dan Sae yang dikerjakan itu tidak sah, jika tawaf tidak sah maka Sae pun turut tidak sah.

Sekian.wassalam________________________________











Thursday, October 22, 2009

Haji Ifrad - Nota ulangkajiku.

Selamat berangkat ke Tanah Suci.
             
Salam semua.
Cara mengerjakan Haji.Terdapat tiga cara atau tiga pilihan dalam mengerjakan ibadat Haji iaitu.
1. Haji Ifrad (afdal)
2. Haji Tamattu'

3. Haji Qiran.
Mengikut Mazhab Syafie mengerjakan Haji cara Haji Ifrad adalah yang paling afdal.

Panduan ringkas mengenai cara-cara mengerjaka
n Haji Tamattu' dan Haji Qiran telah diterangkan di dalam entri atau tajuk yang telah lalu.
##########################Haji Ifrad.
Iaitu mengerjakan Haji terlebih dahulu kemudian barulah mengerjakan Umrah.

Mengerjakan Haji.

Apabila bakal Haji sampai ke miqat dalam perjalanan dari Malaysia, maka mereka berniatlah di situ ketika itu mereka telahpun berp
akaian ihram, masuk sahaja ke Mekah mereka pun membuat tawaf qudum ( tawaf selamat datang ). sementara menunggu 8hb.Zulhijjah mereka buatlah ibadat sunat terlebih dahulu seperti membaca al.Quran, beriktikaf dan bersolat sunat di masjidil Haram dalam berpakaian ihram. Tiba sahaja 8hb.Zulhijjah maka mereka pun bertolak ke Arafah untuk berwukuf di sana.

Wuquf di Arafah - mesti berada di Arafah (walaupun sebentar iaitu di antara gelincir matahari 9hb.Zulhijjah sehingga terbit fajar hari 10hb. Zulhijjah ).
Biasanya selepas solat Isyak di Arafah mereka akan bertolak pula ke Muzdalifah dan bermalam di sana, mereka mesti berada di sini selepas separuh malam, di sini mereka mengutip anak-anak batu untuk melontor di tiga jumrah.
Selepas solat Subuh di Muzdalifah mereka bertolak pula ke Mina, sampai di Mina mereka pun berehat di dalam khemah yang disediakan dan pada 10hb.Zulhijjah mereka pergi melontar di Jumrah Kubra (Aqabah ) dengan tujuh biji batu dan tujuh lontaran,( pada hari ini melontar di satu jumrah sahaja ) setelah selesai lontaran maka mereka bolehlah bertahlul awal ( bergunting atau bercukur ) dan selepas itu dibolehkan berpakaian biasa.Sebahagian besar larangan ketika ihram telah gugur kecuali masih dilarang bersetubuh,mencium, bercumbuan dengan isteri, berkahwin, menjadi wali kahwin dan menjadi wakil kahwin.
Pada 11, 12 dan 13hb.Zulhijjah menyambung lontaran ketiga-tiga jumrah ( sughra, wusta dan kubra ). Bagi mereka yang ingin membuat nafar awal mereka bolehlah balik ke Mekah selepas selesai membuat lontaran pada 12 hb.Zulhijjah dengan berniat tidak akan kembali ke Mina untuk membuat lontoran seterusnya, sampai di Mekah mereka bertawaf dan kemudiannya mengerjakan Sae. Dengan itu sempurnalah ibadat Haji mereka.
Bagi mereka yang memilih meneruskan lontaran pada hari 13hb.Zulhijjah, selepas selesai membuat lontaran di tiga jumrah tersebut, barulah kembali ke Mekah dan melakukan tawaf dan Sae, dengan itu mereka juga sempurnalah ibadat Haji yang dikerjakan itu.

Lihat peristiwa bergambar berikut iaitu aktiviti pertama mengerjakan Haji dan aktiviti kedua mengerjakan Umrah, demikianlah cara mengerjakan Haji Ifrad.

Contoh Aktiviti Pertama.
Mengerjakan Haji.
(1)


Niat mengerjakan Haji di miqat, berpakaian ihram
Contoh niatnya:
( Sahaja aku mengerjakan Haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala )

Pada 8hb.Zulhijjah bertolak ke Padang Arafah .

(2)

Masa untuk berwukuf di Arafah ialah pada 9hb.Zulhijjah selepas waktu Zohor sehingga masuk Subuh hari yang ke 10 Zulhijjah. Memadai berada sebentar di dalam tempoh tersebut.
(3)

Bermalam ( mabit ) di Muzdalifah, waktunya selepas separuh malam pada 10hb.Zulhijjah sehingga waktu subuh,( memadai berada sebentar dalam tempoh tersebut ),
biasanya jamaah Haji mengutip anak batu di sini


(4)


Bermalam ( mabit ) di Mina- iaitu selepas separuh malam pada 10hb.Zulhaijjah dan seterusnya pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, bakal Haji dikehendaki berada di situ sehingga lebih separuh malam pada tiap-tiap malam tersebut kecuali mereka yang membuat nafar awal boleh meninggalkan Mina dan balik ke Mekah sebelum terbenam matahari pada 12 hb. Zulhijjah.
(Tinggal di dalam khemah dan berulang alik ke jumrah untuk melantar ).

(5)
Terowong ke tempat melontar.

Di Jumrah ( tempat melontar ) .
Selepas selesai melontar balik ke Mekah.



Bertahlul.
( dilakukan selepas melontar pada hari pertama - 10hb.Zulhijjah )
.
(6)
Sampai di Mekah mengerjakan tawaf Haji,Tawaf tujuh keliling bermula di sudut Hajaratul Aswad - bertanda dua garisan hijau.
kemudian mengerjakan Sae ( Sae Haji ).



(7)Selepas tawaf mereka bersae ( Sae Haji ) di sini.setelah sempurna bersae maka selesai dan sempurnalah bahagian amalan ibadat Haji, selepas ini mereka akan mengerjakan Umrah pula untuk menyerpurnakan Haji Ifrad.

Mengerjakan Umrah.
Setelah selesai mengerjakan Haji mereka yang mengerjakan Haji secara Haji Ifrad ini akan mengerjakan Umrah pula ( dalam tahun ini juga ). Pakai ihram semula dan pergi ke miqat Umrah di luar kawasan Tanah Haram, di sana mereka berniat mengerjakan Umrah dan kembali ke Mekah untuk melakukan tawaf , kemudian melakukan sae ( Sae Umrah ) dan seterusnya bertahlul, maka dengan itu selesailah umrah dan lengkaplah Haji Ifrad tersebut.

Contoh Aktiviti Kedua.
Mengerjakan Umrah.
(1)

Niat mengerjakan Umrah di miqatnya dalam pakaian ihram.
Contoh niatnya:
( Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala )
setelah selesai berniat, mereka kembali ke Mekah.

(2)

Masuk ke Mekah dan tawaf. bermula pada tanda garis hijau, iaitu sudut Hajaratul Aswad. Tawaf tujuh keliling. Selepas tawaf diikuti pula dengan Sae.

(3)
Sae di sini, lihat laluannya di atas.Sae hendaklah dikerjakan selepas tawaf. ( Sae tidak sah tanpa bertawaf terlebih dahulu )
(4)
Bertahlul

Selesai Sae terus sahaja bertahlul iaitu bergunting
( memadai sekurang-kurangnya ) tiga helai rambut ataupun afdal bercukur . Bagi kaum wanita memadai menggunting tiga helai rambut sahaja dan mereka yang tiada rambut di kepala dikehendaki membuat laluan pisau di atas kepalanya seperti perbuatan bercukur. Maka dengan itu selesailah ibadat Umrah.
Haji dan umrah telah selesai maka lengkaplah Haji Ifrad yang dikerjakan.
____

Penjelasan ini sangat ringkas dengan mengutarakan pengetahuan yang sangat minimum.Elok dimantapkan lagi melalui sumber yang lain pula.


Hanya nota ulangkajiku, tiada ruang bertanya, he3.

Sekian. wallahu aklam. wassalam