Tuesday, October 27, 2009

Serangan secara psikologi.




Salam semua.
                                                                  gambar hiasan

Serangan musuh masa kini datang dari berbagai cara dan kaedah , maklumlah zaman sekarang manusia semakin canggih dan bijak. Asalkan boleh diperalatkan maka digunakanlah cara tersebut untuk mencapai cita-cita yang terpendam di hati.

Bagi mereka yang peka dengan perintah dan larangan Tuhan sahaja akan memikirkan dan memilih kaedah yang diizinkan.

Untuk mencapai cita-cita manusia sanggup bergolok bergadai, kiranya cita-cita itu murni tentulah berbaloi, jika sebaliknya tentulah akan bertemu dengan kerugian dan penyesalan di kemudian hari nanti.

Apapun Islam tidak menghalalkan cara, untuk mendapat sesuatu yang baik, mestilah caranya juga baik, apabila terhasil maka hasil tersebut adalah baik .

Dalam entri ini saya ingin menceritakan kisah seorang peserta kursus yang pernah saya menjadi pemudahcaranya ( fasilitator ) di mana peserta tersebut menceritakan bagaimana beliau berkempen bagi memenangkan seseorang di dalam satu pertandingan memilih pucuk pimpinan bagi organisasi yang beliau menjadi ahlinya, katanya pertandingan itu berlaku di dalam kelumpuk yang sama atau ibarat pertandingan persahabatan sahaja.

Saya menunjukkan kehairanan dan kurang kepercayaan terhadap kebolehan dan kemampuan dirinya untuk berkempen dan berdepan dengan orang ramai sedangkan di dalam majlis taaruf yang sedang saya jalankan terhadap dirinya inipun beliau tergugup-gugup untuk menceritakan sesuatu.

Katanya beliau bukan berkempen secara terbuka tetapi beliau hanya sekadar mengunjungi kedai kopi dan beredar dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain dan akan berkunjung seberapa banyak yang mampu.tugas beliau dengan beberapa kawan lagi hanya untuk menceritakan kebaikan tokoh mereka dan memburuk-burukkan tokoh lawan semahunya, mereka bertiga akan berbual dan bersembang sesama mereka mengenai topik tersebut sambil sekali sekala menghirup kopi atau teh yang tersedia di atas meja.

Setelah selesai cerita mereka akan beredar pula ke kedai atau restoran yang lain pula dan akan bersembang tajuk yang sama. Dalam perbualan itu mereka sentiasa memastikan bahawa suara dan cerita mereka itu dapat didengari oleh pelanggan yang berada di meja sekeliling mereka.

Mereka kelihatan bukan berkempen tetapi sebenarnya berkempen dan menabur fitnah, berdusta dan memburuk-burukkan tokoh lawan, mereka juga menyerang dan menembak tanpa peluru, namun demikian mereka memiliki peluru yang tidak kurang bisanya iaitu peluru angin yang meresap masuk ke dalam urat saraf dan mengalir sehingga ke jiwa pendengar. Serangan psikologi seperti ini telahpun digunakan secara besar-besaran sejak sekian lama seperti anda maklum.

Ini adalah suatu contoh kecil dan terpencil yang diceritakan oleh seorang yang daif, beliau sendiri pun tidak mengetahui bahawa dirinya telah dipergunakan oleh orang yang berkepentingan. Begitulah kata pepatah " orang bodoh makanan orang cerdik".
_________________

Sabda Rasulullah.s.a.w.bermaksud.
"Empat perkara sesiapa yang memilikinya adalah dia munafik yang nyata dan sesiapa yang memiliki satu daripadanya dia memiliki satu sifat munafik sehingga dia meninggalkannya,
Apabila bercakap dia berbohong,
Apabila diamanahkan dia khianat.
Apabila berjanji dia mungkiri,
Apabila bergaduh dia melampau".

_____________________


Setelah selesai beliau bercerita saya pun memberi ulasan dan pandangan yang saya fikirkan sesuai dengan peranannya, tentu sekali anda dapat mengagaknya.
Sekian. Wassalam.






No comments: