Friday, October 16, 2009

Jom. Kita cerakinkan kedudukan orang sujud ketika bersolat.


Salam Semua.
Kekadang kita melakukan sesuatu perbuatan itu berulang kali tetapi tidak diikuti dengan kajian atau pemerhatian ataupun penilaian. Contohnya sejak dahulu lagi orang Melayu melarang anak kecil berada di luar rumah ketika senja dan orang dewasanya juga tidak digalakkan berpelesiran atau bergerak di luar rumah pada ketika yang sama. kita hanya patuh secara pak turut dan taqlid sahaja tanpa soal, sikap demikian tidak memberi ruang pertambahan dan peningkatan ilmu dan pengetahuan. Pada hal larangan tersebut untuk mengelakkan gangguan jin syaitan yang mana tabiat mereka merayau-rayau pada waktu senja. adalah amat cantik dan molek sekiranya sesuatu larangan itu diikuti dengan penjelasan lanjut yang dapat menambahkan ilmu dan pengetahuan orang yang lebih muda atau mereka yang tertakluk dengan larangan tersebut.

gambar hiasan.

Berbalik kepada cerakin kedudukan sujud ketika bersolat, dalam entri ini saya ingin mengajak anda bersama-sama mencerakin atau menghuraikan dalam beberapa sudut mengenai kedudukan orang yang sedang sujud di dalam solat.

Cuba kita lihat gambarnya yang tertera di atas sebagai pembuka minda . Kedudukan kepala, otak dan akal ketika sujud adalah berada di tempat yang paling rendah dan bawah, iaitu di atas lantai, manakala kedua-dua kemaluan berada di atas dan berat badan ketika itu menolak ke hadapan atau ke arah kepala yang sedang berada di bawah.

Demikianlah agaknya kedudukan manusia yang tidak menggunakan akal yang waras di dalam kehidupannya maka pada ketika itu jadilah manusia itu hina dan rendah darjatnya seperti keadaan ketika kita sujud di mana kemaluan berada di atas dan akal berada di bawah.
Binatang berkaki empat sifatnya adalah seumpamanya ketika meragut rumput atau minum air, manusia yang tidak menggunakan akalnya sebaik mungkin mereka itu tidak ubah seperti binatang malah menjadi lebih hina lagi. Manusia asalnya dijadikan dalam bentuk sebaik-sebaik kejadian, kejadian yang baik dan mulia itu akan terus istiqamah berkeadaan begitu selama mana manusia itu menggunakan akalnya yang waras yang menjurs kepada mentaati Allah Penciptanya.
Mungkin itulah ibarat yang dapat kita sesuaikan dengan situasi tersebut atau itulah iktibarnya.

Sebaliknya, jika kita melihat dari sudut kesihatan ketika itu dikatakan darah mengalir dengan baiknya ke arah otak, di mana otak yang cerdas memerlukan 15% aliran darah dan 20 % oksigen.

Apapun Allah Maha Mengetahui dan janganlah kita berganjak daripada
matlamat asal bersolat iaitu menyempurnakan perintah Allah dan mengerjakannya kerana Allah.
________________________

Firman Allah yang bermaksud.

"Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,

dan demi bukit Sinai,

dan demi kota (Mekah) ini yang aman,

sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya?"

Surah At.Tiin ( ayat 1 - 8 )

Jom. Kita sama-sama membaca muqaddimah dan intisari ayat yang tetulis di dalam kitab Tafsir Pimpinan Ar.Rahman mengenai surah At.Tiin.

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat. Dinamakan surah At.Tiin ( Buah Tiin), kerana pada awal surah ini, Allah Taala bersumpah dengan buah Tiin dan Zaitun, juga dengan Gunung Tursina dan negeri Mekah yang aman, tentang bagaimana Dia menciptakan manusia dalam bentuk dan keadaan yang sebaik-baiknya.

Intisarinya:
Menerangkan perihal manusia dan menegaskan bahawa Allah Taala telah menciptakannya dalam bentuk yang sebaik-baiknya ( serta berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Kemudian jika manusia panjang umur sehingga menjadi tua dan menyalahgunakan kelengkapan itu, Allah kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka itu beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Yakni orang-orang yang beriman yang semasa mudanya tetap mengerjakan amal-amal yang salih, apabila ia menjadi tua dan nyanyuk - tidak dapat berbuat lagi demikian, maka Allah Taala perintahkan supaya dituliskan pahala amalan yang biasa dikerjakannya dahulu, sekalipun ia tidak dapat mengerjakannya lagi dalam masa tuanya.
Setelah itu Allah Taala menujukan amaran-Nya kepada manusia yang ingkar: "( jika demikian kekuasaan-Ku ), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (bercakap tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan-Ku mengadakan hari pembalasan) itu?".
"Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) seadil-adil Hakim?".
________________



Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.

No comments: