Monday, October 12, 2009

Sesuatu yang tidak baik itu tetap tidak baik .


Salam Semua.

Sesuatu yang tidak baik itu tetap tidak baik nilainya, walaupun ramai manusia menyukainya. Demikianlah hakikat nilai hakiki iaitu nilai yang telah ditetapkan oleh Allah.s.w.t. Sesuatu yang berdosa itu tetap berdosa walau dalam apa keadaan sekalipun, dalam keadaan ramai manusia melakukannya atau ramai manusia sudah tidak lagi memandang jijik padanya,

Jika arak diminum, rasuah diamal , zina dilakukan dan semua perkara maksiat itu dilakukan oleh ramai orang. Pun begitu perbuatan tersebut tetap tidak baik dan masih maksiat. Nilai di sisi Allah tetap sama dan balasannya juga tetap sama . Senario itu telah menggambarkan kepada kita bahawa kiamat semakin dekat dan gejala buruk itu pula semakin meningkat.

Situasi itu memerlukan ramai para pencegah dan para pendakwah, sebaliknya golongan itu semakin kurang dan sedikit, malah ditambah pula suara mereka semakin diterbalikkan, kebenaran dilihat sebagai kebatilan, putih dilihat sebagai hitam legam, hitam dilihat sebagai putih melepak, mulia dihinakan dan hina dimuliakan, sebahagian nilai hakiki dialih dan diterbalikkan.

Jesteru manusia memerlukan taufik dan hidayah dari Allah, tetapi ketika itu hidayah dan taufik sukar diperolehi kerana dihalang oleh kebendaan dan keduniaan, kebendaan menggamit-gamit dan melambai-lambai ke arahnya, keduniaan pula memanggil-manggil untuk bersamanya.

Tsunami tidak menginsafkan, banjir dianggap perkara biasa , tanah runtuh dan ribut taufan sekadar hukum alam, roh tauhid enggan menggerakkan minda supaya berfikir dengan betul dan benar.

Kemalangan jalan raya dan kematian beramai-ramai, terjumpanya bayi di dalam tandas atau di tangga masjid sudah tidak memeranjatkan lagi kerana telah menjadi lumrah dan perkara biasa.

Meningkatnya bilangan anak diluar nikah, dulunya berita dari luar negara, kini telah berlaku di negeri sendiri dan juga tempat sendiri, memang ada suara menghina perbuatan mereka yang terlibat sebelumnya itu, tetapi para pencegah dan kaedah mencegah tidak banyak berubah dan diaktifkan.

Masing-masing meluahkan rasa risau dengan gejala buruk tetapi tidak mampu bergerak secara positif dan proaktif seperti melihat sesuatu di dalam keadaan panik, minda menjadi buntu dan tidak tentu arah.

Sudah tentu tidak semuanya begitu, masih ada yang telah bertindak dan bergerak ke hadapan dan proaktif, sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada mereka.
Andalah sebenarnya wira.

Sekadar untuk renungan dan percambahan minda sahaja.

Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.

7 comments:

Anonymous said...

Salam Sdr Leenoh.

Wahai sahabatku Leenoh, kita sekarang hidup di negara yg mengamalkan Islam Liberal. Arak, Judi, Zina & Riba berleluasa. Tukang sebat pun tak tahu nak sebat pesalah arak. Pesalah judi & zina cuma bayar denda wang ringgit. Hasil riba pula jadi santapan harian dan pemerintah juga amalkan faedah riba. Alim ulamak, imam & mufti perlu fikirkan sesuatu sebelum ALLAH SWT turunkan bala di kala subuh, sebabnya pemerintah kita mengaku Islam sebagai agama Resmi. Sesak nafas memikirkannya, tak fikir pun serba salah. Bising-bising kena pula ISA. Entahlah...susah juga keadaan begini.

Leenoh said...

Salam sdr.Zaidi.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya kita tidak suka senario itu, kita melihatnya dalam keadaan kita memiliki iman yang lemah.

Kita melihatnya dengan akal dan mengetahui senarionya. keupayaan kita hanya mampu mengalihkan muka ke arah lain.

Temuk said...
This comment has been removed by the author.
Temuk said...

Salam sdr Leenoh
Ya, sedihnya dlm kebanyakan hal kini kita hanya mampu menyatakan sesuatu itu menyalahi hukum Allah & memalingkan muka darinya. Dan kita jadi tergolong ke dalam kumpulan orang yg lemah iman. Moga2taklah pula kita memasuki kumpulan yg menyokong sesuatu yg salah.

Leenoh said...

Salam Sdr.Temuk.

Itulah sahaja harapan kita supaya kita tidak menjadi pendukung kebatilan dan penyubur keburukan serta pembiak maksiat.

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

"Apabila engkau melihat sesuatu kemungkaran, halanglah dengan tangamu (kuasa) sekiranya tidak mampu, halanglah dengan mulutmu (lisan), sekiranya kamu tidak mampu, halanglah dengan hatimu (berdoa) dan itulah selemah2 iman"

AL-hadis.

Leenoh said...

Salam Hani.

Pak Ngah berada di mana ye, agaknya yang terakhir kot.

Kena banyak berdoa lagi supaya naik sedikit lagi darjatnya. he3.