Saturday, February 26, 2011

Bahagia itu tersirat di dalam hati.


Salam semua.

Allah memberikan rezeki dan kebahagiaan kepada seseorang itu melalui kaedah dan caranya yang tersendiri. Memiliki kekayaan semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa. Rezeki yang cukup itu semestinya diperlukan, tetapi masih banyak lagi elemen lain yang boleh membawa kebahagiaan. Keimanan, keislaman dan ditambah dengan tersiratnya ihsan di dalam hati merupa pakej yang paling utama untuk mencapai kebahagiaan.

Bagi mereka yang terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki juga masih menikmati kebahagian yang dikurniakan Allah, walau pun terpaksa tinggal di dalam dangau yang panas dek haba bumbung atau atap zing masih tidak menghalang mereka dari menikmati keseronokan hidup dan kebahagian yang dimaksudkan, mungkin pada suatu ketika tertentu atau sepanjang masa mereka lebih bahagia dari presiden yang menguasai sebuah negara atau jutawan yang sedang berada di dalam rumah besar dan indah di atas bukit yang indah.

Membincangkan mengenai kebahagiaan ini sangat subjektif dan maknawi sifatnya. Oleh itu memiliki rumah besar, menjadi seorang hartawan, jutawan dan berpangkat tinggi bukanlah jaminan menjadi seorang yang bahagia, kebahagiaan itu boleh hinggap di mana-mana, ianya tersirat dan terpahat di dalam hati seseorang mengikut kehendak Allah jua. Kita semestinya perlu sentiasa meminta dan merayu kepada Allah untuk mendapatkan kebahagian yang sangat abstrak sifatnya itu.Sudah tentulah mereka yang bahagia itu adalah mereka yang terpilih dan dipilih Allah.
___________________________________

Rujuk surah al.Baqarah (ayat 201)
Maksudnya:
[201]
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

___________________________________

Orang yang mendapat rezeki yang banyak atau kedudukan yang tinggi di sisi manusia tetapi tidak berpeluang mendapat kebahagiaan, mungkin mereka itu orang yang terpedaya dengan keduniaan yang sementara ini dan tidak memperdulikan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam.

Penulis bertanya kepada Man yang sedang berihat di depan dangaunya, adakah Man bahagia menjalani hidup ini ?, sudah tentu sekali jawabnya, " Aku sudah bisa membina rumah batu tiga bilik, memiliki empat lembu dan sekarang sedang mencari sebidang tanah yang berhampiran dengan bandar untuk dibuat rumah dan rumah itu nanti akan disewakan, sudah tentu akan menambahkan rezeki di samping lembu yang empat ekor itu akan bertambah menjadi lapan tidak lama lagi, sekarang isteri aku ke hulu ke hilir menggunakan motorsikal untuk menguruskan apa-apa yang berkaitan dengan rumahtanggaku di kampung, ke kedai, ke pasar dan termasuk ngantar anak ke sekolah, anak-anak juga sihat dan makan minum mereka cukup, Isteri saya juga rasa senang sebab dia mengetahui tempat kerja saya ini kerana dia pernah bersama di sini ketika belum mempunyai anak dahulu, dia dihantar pulang ketika hamil anak pertama, walaupun saya berada berjauhan dengan keluarga tetapi hati saya senang, hati kami senang dan bersyukur kepada Allah, saya tidak selamanya berada di perantauan, insya Allah penghujung tahun ini saya akan pulang ke kampung memulakan penghidupan baru dan saya yakin saya telah berjaya meletakkan asas kejayaan dan kebahagian buat keluarga tersayang"

Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, February 22, 2011

Jika tidak mahu berpecah belah......

Salam semua.

Khutbah mengingatkan kita setiap minggu.
Jika tidak mahu berlakunya berpecah belah ingatan yang diucap dan dilaungkan setiap minggu di atas mimber masjid pada ha
ri Jumaat amat sesuai dan patut diaplikasi dan direalisasikan tetapi ucapan itu adalah teori dan cakap yang keluar melalui lengkaran lidah yang belum tentu mampu melaksanakannya, semua pihak mengucapkan demikian dan berkehendakkan demikian. Dalam pada itu terdapat mereka yang sentiasa mengajak orang lain mengikut caranya yang tersendiri, soalnya adakah kebijaksanaan manusia mengatasi panduan yang tercatat di dalam al.Quran dan al.Hadis dan sama ada cara kita itu pula mencakup dunia dan akhirat . jika ajakan untuk perpaduan orang Islam dengan mengabaikan tuntutan al.Quran dan al.Hadis sudah tentu sebahagian orang Islam akan menolaknya.

Perpaduan serampang dua mata.
Matlamat perpaduan perlulah diperjelaskan, di mana perpaduan umat Islam semestinya usaha itu adalah sebahagian dari wawasan menuju ke arah akhirat yang sejahtera dan bahagia, tanpa matlamat ini umat Islam yang memahami hakikat hidup di dunia akan menolak dan menentangnya, perpaduan bukanlah ucapan atau kalimah yang keramat kerana terdapat juga kekuatan yang ada pada perpaduan itu boleh disalahgunakan, kumpulan orang jahat akan menggunakannya untuk mencapai matlamat dan kepentingan diri mereka yang sia-sia.

Tiket perpaduan ini disukai oleh semua pihak sama ada yang baik atau yang jahat kerana tiket tersebut boleh digunakan untuk mencapai matlamat masing-masing, Hosni Mubarak (Mesir) dan Zine El Abidine Ben Ali
(Zainal Abidin bin Ali) - (Tunisia) - tentunya mereka juga tidak mengabaikan slogan serampang dua mata ini. Akhirnya apakah yang terjadi kepada negara mereka dan diri mereka sendiri.

Perpaduan yang diperolehi oleh mereka yang jahat akan digunakan untuk kepentingan kumpulan dan keluarganya sahaja kerana kebijaksaan mereka mempengaruhi minda masyarakat, akhirnya mereka berjaya mengumpulkan sokongan ramai dan dalam jangka masa yang lama barulah tembelang terbuka, semakin hari semakin luas, akhirnya tembelang itu pecah dan mengeluarkan kebusukan yang amat sangat.

Jaminan matlamat.
Minda orang Islam terfikir masakan dapat mencapai matlamat kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan di akhirat, jika perpaduan tidak berasaskan ajaran Islam sepenuhnya, hanya cara hidup Islam sahaja yang menjamin matlamat tersebut. Janji yang terdapat di dalam al.Quran dan al.Hadis bukannya teori dan maknawi semata-mata, juga bukan jampi mentra tetapi ianya hakikat dan realiti yang pasti akan menjadi kenyataan. Hanya mereka yang percaya dan mengambil serta mengamalkan ajaran Islam secara kurang yakin sahaja yang tidak mahu mengambil cara hidup Islam itu secara menyeluruh di dalam kehidupan harian, sama ada dihayati secara peribadi, masyarakat dan kenegaraan.

Kita sedang berbantah-bantah dan berselisih faham tentang cara memerintah negara, di sana ada seruan supaya
kembali kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya. Rangkaikata atau ungkapan kembali kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya wajib diwacana,diseminar dan dimatangkan di dalam minda setiap orang Islam bukan memberi idea atau pandangan ikut sedap hati dan sesuai dengan naluri sendiri.

Mereka yang dikurniakan Allah akal yang baik dan bijak, sudah tentulah mampu memberi pandangan yang panjang lebar dan ramai pula yang terpengaruh dengannya, bagaimana kalau pandangan itu tersasar ke arah yang tidak betul dan tidak selari dengan ajaran Islam, sekiranya berlaku demikian tentulah rugi bagi mereka yang terpengaruh dengan hujah yang tidak tepat itu.
_________________________________________________

Firman Allah bermaksud:
[103]
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

( Surah Ali.Imran )
_________________________________________

[59] Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
( Surah An.Nisak )
_____________________________________________________

Sekian...wallahu aklam.

Monday, February 21, 2011

Manusia dijadikan Allah tidak sama.

Salam semua.

Muhasabah ringkas.

Manusia dijadikan Allah tidak sama di antara satu sama lain.

Allah jadikan manusia berbagai bangsa.
Allah menjadikan manusia tidak seperti kilang mengeluarkan botol, di mana kilang botol akan mengeluarkan botol-botol mengikut acuannya, sekiranya acuan yang sama digunakan botol-botol itu akan bersaiz sama dan rupanya juga sama, kita tidak mampu membezakan di antara botol-botol tersebut. botol adalah makhluk Allah yang statik sifatnya.Berbeza dengan manusia yang mempunyai akal fikiran dan memerlukan aktiviti kehidupan mereka di dunia ini sementara ke akhirat.

Disebut di dalam al.Quran di dalam Surat Al.Hujurat ayat (13) tentang perkara tersebut ( rujuk terjemahannya di bawah). Manusia dijadikan berbagai bangsa, masing-masing mempunyai bahasa, adat dan budayanya yang tersendiri, satu bangsa dengan satu bangsa yang lain berbeza rupa paras, warna kulit dan bahasanya, walaupun di dalam bangsa yang sama, juga berbeza
rupa parasnya di antara satu sama lain.Di antara lelaki dan wanita pula jauh bezanya, lelaki sesama lelaki masih terdapat perbezaannya, begitu juga sesama wanita tidak sama di antara satu sama lain.

Tegasnya tiada manusia yang sama di dunia ini, walaupun dua beradik kembar, dua beradik kembar sebenarnya tidak sama kecuali mereka kelihatan hampir sama sahaja, dikatakan sama kerana kelemahan minda manusia untuk mengingat dan membezakannya, perbezaan yang sedikit yang terdapat pada dua beradik kembar itu menyebabkan manusia tidak mampu mengingatkan perbezaannya , terutamanya apabila dua beradik tersebut berada berjauhan di antara satu sama lain, lantas mereka menyatakan mereka itu sama. Demikianlah Allah itu Maha Berkuasa , Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Manusia lemah.
Manusia sebenarnya lemah, manusia mendapat kekuatan melalui lengkap melengkapi di antara satu sama lain, tanpa orang lain manusia akan lemah dan mundur, tanpa lelaki wanita akan susah, tanpa wanita lelaki pula akan lemah dan menghadapi kehidupan yang sukar dan tidak sempurna.

Allah mencipta manusia maka Allah jua yang mengetahui segala-galanya mengenai kehidupan manusia, maka Dia-lah juga menyediakan peraturan hidup di dunia ini supaya diikuti dan dipatuhi, sesiapa yang ingkar dan enggan, nescaya mereka itu akan menerima kerugian di penghujung kehidupan mereka nanti.

Hikmah.
Kebaikan atas sifat "tidak sama fizikal dan penguasaan minda" mempunyai banyak hikmah dan faedahnya kepada manusia. Situasi itu menyebabkan manusia dapat kenal mengenali di antara satu sama lain dan tidak akan terkeliru dalam melayari kehidupan harian mereka, kalaulah manusia itu sama tentulah sukar bagi mereka menjalani kehidupan seharian di dalam masyarakat mereka. Kewujudan perbezaan itu juga mereka dapat menambahkan pengetahuan dan bertukar-tukar maklumat. Di samping itu terdapat ujian kepada manusia, agar mereka tidak sombong diri, jika terdapat kelebihan pada diri mereka atau bangsa mereka kerana yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa.

________________________________________________________

Maksud firman Allah:
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

( Surah Al.Hujurat )

___________________________________________________

Sekian...wallahu aklam.


Saturday, February 19, 2011

Al.Quran tersalah cetak.

Salam semua.

Pada hari ini sekali lagi saya menulis mengenai al.Quran tetapi dalam aspek yang lain pula, selalunya saya akan menulis mengenai sesuatu isu atau topik dan disertakan dengan terjemahan ayat al.Quran yang bersesuaian dengan tajuk yang ditulis dan terdapat juga "entry" yang menyarankan supaya membaca al.Quran beserta dengan membaca terjemahannya bersama kerana dengan cara itu kita akan memahami suruhan dan larangan Allah, selepas itu bolehlah kita mengamal atau menghayatinya. Kebetulan malam tadi sementara menunggu waktu Isyak saya pun membaca al.Quran dengan berselang- seli menyemak terjemahan di sebelah ayatnya, kemudian terlihat dan terkesan terjemahannya tidak dicetak dengan sempurna, beberapa bulan yang lepas saya terperancat kerana terjumpa dengan kalimah yang dicetak salah iaitu kalimah yang kemudian didahulukan. Saya bukanlah seorang yang mahir di dalam bahasa Arab ( bahasa al.Quran ), namun demikian pengetahuan yang sedia ada dapat juga memahaminya tetapi tidaklah sempurna, juga bukan seorang yang menghafaz al.Quran (hafiz), kebetulan surah yang saya terjumpa kesilapan itu adalah surah yang saya menghafaznya.

Maklumat ini mengingatkan anda supaya menyemaknya untuk memastikan al.Quran terjemahan yang dimiliki adalah yang sempurna, terutamanya mereka yang memiliki al.Quran terjemahan seperti di bawah ini.

Cetakan Pertama 2006.
Dibeli pada 15 Februari 2007


Maklumat kesilapan:


1 - Surah al.Mulk.
- Ayat 23.
- Kesilapan mencetak kalimah iaitu mendahulukan yang kemudian.


Ayat (23) Mendahulukan kalimah yang kemudian.
__________________________________

2 - Surah Al.Faathir.
- ayat 4.
- kesilapan terjemahan dicetak tidak sempurna.


Ayat (4) terjemahannya dicetak tidak sempurna.
terjemahan yang patut disambungkan lagi -
"
kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan".
____________________________________

3 - Surah An.Nur.
Ayat (35) terjemahan tidak sempurna.
di akhir ayat ( Allah menunjukkan siapa yang dikehendaki-Nya itu
............
( tertinggal)..........Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu )

Sepatutnya;
"Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; (dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia ); dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".


Sekian...wallahu aklam.

Thursday, February 17, 2011

Manusia menilai sesuatu melalui ilmunya.

Salam semua.

Allah menilai manusia.
Setiap manusia yang hidup di dunia ini akan dinilai, penilaian itu meliputi manusia sejak zaman Nabi Adam sehinggalah hari akhirat ,
Allah menilai akan cara hidup mereka semasa mereka di dunia ini di akhirat nanti. Bukanlah mana-mana manusia yang menilainya kerana setiap diri manusia akan dinilai, masakan dia sebok menilai orang lain, bahkan Rasul sekali pun tidak lagi berperanan pada ketika itu kecuali memberi syafaat.

Penilaian manusia.
Manusia ada haknya juga untuk menilai sesama mereka seperti ketua jabatan memilih anak buahnya untuk dinaikkan pangkat, Perdana Menteri memilih ahli parlimen menjadi menteri dan seumpamanya, pemilihan ini adalah berdasar atau berbekalkan ilmu yang sedia ada di dalam minda masing-masing.Jika ilmu yang dimiliki mereka tanpa disepadukan dengan ilmu syarie bermakna segala keputusan yang dibuat semata-mata berlandaskan ilmu aqli.

Allah membahagikan manusia di dunia ini kepada dua bahagian iaitu Islam dan bukan Islam.(kafir) - beriman dan tidak beriman - jika manusia tiada hak langsung untuk menilai, Siapakah yang akan menilai dan membezakan mereka ini ? .

Manakala dalam Islam sendiri terdapat pula mereka yang beriman, munafik, syirik dan fasik, situasi ini juga memerlukan penilaian untuk mengenalpasti kedudukan masing-masing bagi memudahkan muamalat dan aktiviti sosial mereka seharian.Walaupun tidak menjejaskan semua aspek kehidupan tetapi dalam hal tertentu atau aktiviti tertentu memerlukan kejelasan status aqidah anggota masyarakatnya.

Kitab Panduan.
Allah menurunkan kitab kepada manusia supaya dijadikan panduan hidup mereka, di dalamnya mengandungi segala ilmu dan ajaran yang datang daripada Allah, iaitulah al.Quran yang diturunkan kepada Junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w. untuk dirinya dan wajib disebarkan kepada seluruh manusia. Berbekalkan ilmu inilah manusia yang beriman mampu menilai kategori manusia yang disebutkan itu.
Sekiranya penilaian itu telah dibuat atau dbuat teguran oleh sesuatu pihak , Maka tidak timbullah bahawa bukan manusia yang menilai kita atau menentukan kita Islam atau sebaliknya, asalkan penilaiannya merujuk dengan teliti kepada kitab panduan yang dimaksudkan tadi dan tidak sama sekali membuat penilaian secara pandai-pandai sendiri dalam hal ajaran Islam. Orang yang berkelayakan sudah tentulah mereka yang telah mempelajari secara tertib ilmu yang bersumberkan al.Quran dan al.Hadis serta diiktiraf pula oleh pihak yang mempunyai ilmu dalam bidang yang sama.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, February 16, 2011

Hidupku dan matiku.

Salam semua.

Buka minda.
Aktiviti berfikir jauh lebih besar pahalanya daripada menunaikan solat sunat, oleh itu jom kita buka minda kita dan berfikir tentang apa yang kita lakukan setiap hari supaya kita tidak tergolong di dalam golongan mereka yang menjadi pak turut atau taqlid di dalam ibadat dan lain-lain pekerjaan kita. Fikir sekadar yang mampu.

Membiarkan diri tidak berfikir sangat merugikan kerana tanpa berfikir mungkin kita akan melakukan kesilapan atau kesalahan, manakala semua kesilapan dan kesalahan itu pula akan dikira dan dinilai Allah Taala.Tanpa berfikir juga akan mengakibatkan kemunduran di dalam berbagai bidang dan aktiviti kehidupan, sejak sebelum merdeka orang Melayu telah bergaul dan bermuamalah dengan orang Cina dan India, mereka berfikir tentang pertuturan dalam bahasa Melayu, kini mereka boleh bercakap bahasa Melayu dengan lancar, sedangkan kita tidak berfikir seperti mereka maka kita tidak mampu bertutur di dalam bahasa mereka walaupun kita telah bergaul mesra dengan mereka kurang lebih 60 tahun yang lalu.

Baiklah kita lupakan dahulu mengenai hal pertuturan bahasa Cina dan India itu. Jom kita fikir mengenai perkara yang tercatat di bawah ini.

Maksud doa iftitah.
Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya.
Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.
Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam golongan orang musyrik.
Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian Alam.
Tiada Sekutu Baginya kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk golongan orang Islam.

Membaca dan menilai.
Semestinya doa iftitah ini dibaca di dalam bahasa Arab, mungkin bagi mereka yang tidak mempelajari bahasa Arab sukar hendak memahaminya dengan baik tetapi mereka tidak perlu bimbang kerana mereka masih dapat memahaminya secara am atau mengetahuinya sekadar mampu membuat kesimpulan dari bacaan tersebut.

Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa segala pujian hanya layak untuk Allah sahaja, Allah itu Maha Suci dan Allah jua yang menjadikan langit dan bumi serta sekalian alam ini.Kita menyerah diri kepada-Nya sebagai hamba yang merendahkan diri yang sentiasa mentauhidkan-Nya ( sama sekali tidak mensyirikkan dan menyengutukan-Nya ).

Dan kita juga mengaku bahawa solat, ibadat, hidup dan mati hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam ( Inilah asas dan cara hidup Islam ). Mengaku tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan rela diperintah di bawah kekuasaan dan peraturan Allah dan seterusnya kita mengaku bahawa kita adalah orang Islam.

Demikian maksud secara ringkas merujuk kepada doa iftitah yang dibaca setiap kali menunaikan solat. Persoalannya adakah kita merealisasikannya di dalam kehidupa kita di luar solat, jika tidak, tidakkah kita termasuk di dalam golongan orang yang berdusta kepada Allah, sedangkan sebanyak lima kali dalam tempoh sehari semalam kita membuat pengakuan tersebut. Adakah kita sangat bijaksana sehingga memilih cara hidup yang berlawanan dengan peraturan Allah Taala.


Merealisasikan kehidupan secara Islam bukan hanya dituntut di peringkat individu atau kampung-kampungan sahaja, malah dituntut di peringkat daerah, negeri dan negara serta menjurus ke peringkat global kerana Islam itu diturunkan oleh Allah bukan ciptaan manusia, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa serta mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain.
__________________________________________

Saranan untuk berfikir - Berfikir tuntutan Allah.

[189]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
[194]
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
[195]
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

( Surah Ali.Imran )

Sekian ... wallahu aklam.

Tuesday, February 15, 2011

Muhasabah ringkas pada hari Maulidur Rasul.

Salam semua.

Pada hematku.
Hari ini 12 Rabiul Awal 1432 bersamaan 15 Februari 2011 sebahagian besar daripada orang Islam, khasnya orang Islam di Malaysia minda dan ingatan mereka tertumpu kepada Nabi Muhammad.s.a.w. iaitu seorang Rasul akhir zaman berbangsa Arab yang berketurunan Quraisy. Membawa al.Quran sebagai panduan hidup manusia di dunia. Namun demikian, jika diteliti dan diselami didapati minda dan ingatan mereka tidak sama dan tidak seragam.

Seluruh umat Islam di Malaysia pada amnya mereka menyambut maulidur Rasul pada hari ini dengan menyertai berbagai program yang disediakan, di antaranya mengadakan Perarakan Berpasukan, Majlis Ilmu di masjid atau surau, terdapat juga di kalangan mereka menyertainya sebagai adat sahaja, dari tahun ke tahun sambutannya diadakan tetapi kita masih ditakuk lama dalam menghayati ajaran Islam, terdapat di sesetengah pihak hanya gigih menyediakan sekolah di peringkat rendah sahaja untuk menyampaikan ajaran Islam, manakala di peringkat atasannya kurang berkembang menyebabkan ramai orang awam tidak memahami Islam itu sebagai ad.Din atau secara menyeluruh kerana kekurangan pendakwah yang berwibawa berada di tengah-tengah masyarakat. Dengan itu dakwah lebih tertumpu kepada perkara fardu ain sahaja. Situasinya masih ramai lagi yang belum mengangkat Islam itu ke taraf yang teratas di dalam kehidupan mereka, sebagai contoh mereka tidak menjadikan Islam itu peraturan hidup sepenuhnya, sama ada di dalam keluarga dan juga negara, termasuk tidak berusaha menjayakannya. Apakah golongan ini tidak yakin sepenuhnya dengan Islam...wallahu aklam.

Dalam pada itu mereka yang yakin sepenuhnya dengan keupayaan ajaran Islam, menghayati dan melaksanakannya di dalam kehidupan harian sekadar yang mampu berteraskan persekitaran yang membantu dengan berpakaian menutup aurat, menolak riba dan menolak kemungkaran yang lain dan mereka juga berusaha sedaya upaya agar kepercayaan dan keyakinan itu dilaksanakan di peringkat negara. Ilmu Islam disebarkan kepada masyarakat supaya masyarakat menerima sepunuhnya ajaran Islam dan disematkan di dalam minda mereka.Usaha mereka menjadi sukar dan payah apabila terdapat penghalang di tengah perjalanannya. Penghalang tersebut terdiri dari mereka yang Islam dan juga bukan Islam, mereka yang Islam kekadang tidak menyedari bahawa mereka sedang menjadi batu penghalangnya. Tahap kefahaman Islam yang berbeza inilah yang menyebabkan orang Islam tidak bersatu sepenuhnya.

Ulamak adalah mereka yang mempelajari Islam mengikut tertibnya yang betul dan memiliki ilmu tersebut secara yang sah dan tulen tetapi mereka yang kurang faham Islam ini tidak menjadikan ulamak sebagai contoh dan teladan di dalam kehidupan mereka, sebaliknya mereka menjadikan ilmuan lain sebagai idola mereka, walaupun idola tersebut tidak fasih di dalam ajaran Islam.

Segala ilmu adalah dari Allah.S.W.T oleh itu mereka yang sebenarnya berilmu ialah mereka yang merujuk ilmunya kepada al.Quran dan Hadis, mereka inilah sebenarnya pemimpin dan sepatutnya menjadi ikutan serta uswatun hasanah.
_____________________________________________________

Muhasabah diteruskan dengan meneliti dan merujuk
Surah An.Naml ( ayat 74 - 86 )


[74]
Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan).
[75]
Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata.
[76]
Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrail (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal ugama) yang mereka berselisihan padanya.
[77]
Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[78]
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya, dan Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[79]
Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.
[80]
Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).
[81]
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.
[82]
Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.
[83]
Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.
[84]
Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: “Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?”
[85]
Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu.
[86]
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.


Sekian...wallahu aklam.

Tala'al badru 'alaina.

Salam semua.

Diposkan sempena menyambut Maulidur Rasul 1432.







Monday, February 14, 2011

Perubahan dan anjakan minda.

Salam semua.

Pada hematku.

Seb
elum aku menyeru orang lain membuat anjakan, aku telah membuat anjakan sedikit demi sedikit dalam penulisan dan menentukan artikelnya, anjakanku cuma anjakan topik kecil sahaja kerana mauduk besar di dalam mindaku ialah Islam itu suatu cara hidup, mauduk itu wajib dikekalkan sehingga akhir hayat.

Pada kebiasaannya aku banyak menulis mengenai syirik yang mengancam keimanan orang Melayu melalui kepercayaan karut atau amalan dan aktiviti campur aduk antara Islam dan bukan Islam di dalam kehidupan harian sehingga kelihatan minda kita tidak bersepadu, malah berkotak-kotak, di waktu pagi ingin berdoa dan berzanji, bila beralih waktu petang pula ingin berjoget dan beradat karut. Setelah lepas berpuasa berzakat fitrah dan bersolat sunat, bila berniaga pula melabur di dalam sektor yang boleh mendapatkan pulangan bunga atau riba yang tinggi tanpa disertai dengan rasa terpaksa dan dukacita. Situasi ini memerlukan anjakan, anjakan minda dan anjakan politik. Tanpa anjakan politik tiada kuasa untuk memacu perubahan dan anjakan yang dirancang, terpulanglah anjakan itu sama ada berlaku dari dalam atau dari luar.

Anjakan minda dalam hal berpolitik.
Lebih 50 tahun yang lalu minda Melayu terperangkap di dalam politik Melayu yang sentiasa menyangka bahawa keadaan politik negara seumpama ini akan berterusan sehingga ke Hari Kiamat dan itulah juga minda Melayu diasuh untuk menjaga dan mengekalkan politik sebahagian orang Melayu semasa (bukan semua) . Orang Melayu seolah-olah tiada pilihan, pada hal orang Melayu ada UMNO dan ada PAS seperti orang Cina ada MCA dan ada DAP. Bangsa yang terbesar di Malaysia mempunyai dua set parti politik untuk mereka dan begitulah juga bangsa lain yang masing-masing mempunyai lebih dari satu set parti politik. Kini set tersebut semakin jelas dan nyata.


Ahli politik sepatutnya jujur di dalam perjuangan mereka tetapi itu adalah teori di dalam minda kita, realitinya tidak semua berlaku demikian, semestinya terdapat juga di kalangan mereka yang berhempas pulas mencari pengaruh untuk naik ke atas mendapatkan jawatan yang mempunyai kuasa,kerana di sana mereka berpeluang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri, Rakyat seharusnya mempunyai ilmu sehingga mereka mampu menilai dan tidak diperbodohkan oleh pemimpin mereka.

Kebaikan penguasaan politik terhadap sesuatu negara bukan hanya untuk beberapa tahun, sebaliknya kebaikan itu untuk negara dan generasi akan datang. Mereka yang sering mendapat habuan biasanya akan melihat parti mereka baik dan perlu dipertahankan,sewajarnya rakyat perlu melihat dengan teliti baik buruknya, sekiranya ianya buruk akan bertambah buruk pada masa akan datang kerana memperbaikinya atau membersihkannya ibarat tuala dan air yang kotor tidak mungkin dapat membersihkan meja yang kotor.

Jika ianya baik perlu dipilih dan dipertahankan, Menyokong parti politik bukan seperti menyokong pasukan bola sepak, kita boleh terus menyokong pasukan kita, walaupun pemain kita telah mencantas kaki pemain lawan. Dalam parti politik ianya berbeza, pemimpin perlu beramanah, jika mereka gagal beramanah maka gagallah mendapat sokongan, itulah penilaian sebenar oleh rakyat dalam hal politik.
Sokongan bukan bergantung kepada habuan yang diterima bulanan atau sekali sekala, sekiranya salah membuat perkiraan bermakna kita menyokong kejahatan dan kemungkaran, sebagai orang Islam penilaian dan piwaian kita ialah merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis.

Rakyat biasa ( orang awam ) perlu menilai dengan teliti tanpa emosi kepada parti sendiri (jika berparti) yang mungkin sudah terlanjur atau masih mengekalkan prestasi baiknya , jika ianya masih baik setelah membuat perbandingan maka mereka perlu mengekalkan sokongannya.

Sekian...wallahu aklam.

Menatang kasih mulia.


Salam semua.

Kasih itu maknawi, sayang itu abstrak.
Rindu itu rasa, rindu itu perasaan.
Kasih itu kemanusiaan, sayang itu insaniah.

Kasih Allah kasih yang mulia.
Ar.Rahman, ar.rahim anugerah Allah.
Kasih-Nya wajib ditatang.
Mengemis kasih-Nya adalah mulia.

Kasih suami isteri mulia darjatnya.
Sayang keluarga mulia sifatnya.
Kasih dan mesra suruhan ilahi.

Sombong itu kejahatan
Sombong itu kemunduran.

Sombong itu kejahilan.
Sombong itu kerugian.

Sunday, February 13, 2011

Bacaan dan terjemahan surah Ar.Rum.

Salam semua.

Terjemahan dalam bahasa Melayu.
Untuk bacaan klik di sini.


Saidina Uthman RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“ Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan
mengajarkannya.”
– Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah.



Surah Ar.Rum.
[1]

Alif, Laam, Miim.
[2]
Orang-orang Rom telah dikalahkan -
[3]
Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -
[4]
Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
[5]
Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[7]
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
[8]
Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
[9]
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[10]
Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
[11]
Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).
[12]
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan dia membisu serta berputus asa.
[13]
Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan Allah) itu.
[14]
Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).
[15]
Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.
[16]
Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya.
[17]
(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
[18]
Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
[19]
Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
[20]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.
[21]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
[22]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.
[23]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).
[24]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.
[25]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).
[26]
Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.
[27]
Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu – yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
[29]
Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.
[30]
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[31]
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -
[32]
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
[33]
Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
[34]
Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): “Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)”.
[35]
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?
[36]
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[37]
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
[38]
Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[39]
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
[40]
Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).
[41]
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[42]
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”.
[43]
(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah ugama yang betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan).
[44]
Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;
[45]
Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.
[46]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.
[47]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.
[48]
Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;
[49]
Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.
[50]
Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[51]
Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).
[52]
(Maka janganlah engkau berdukacita – wahai Muhammad – terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya).
[53]
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.
[54]
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[55]
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).
[56]
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: “Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal – menurut yang terkandung dalam Kitab Allah – sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)”.
[57]
Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.
[58]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan berkata: “Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu”.
[59]
Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).
[60]
Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, February 12, 2011

Pergolakan 18 hari di Mesir

Hosni Mubarak akhirnya akur dengan kehendak rakyat.


Salam semua.

Setelah 18 hari berjuta rakyat Mesir melakukan protes meminta Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan setelah 30 tahun berkuasa akhirnya Presiden Hosni Mubarak yang berusia 82 tahun itu terpaksa akur dengan kehendak rakyat dan meletakkan jawatannya pada Jumaat 11 Februari 2011 dan menyerahkan pentadbirannya kepada pihak tentera.( maklumat dari Aljazeera.net ).


Al Jazeera English: Live Stream

Rakyat Mesir kini merayakan kemenangan mereka dengan berbagai cara, di antaranya membunyikan hon kereta dan sorakan yang bergema di jalanan dan ada yang menyatakan kini mereka gembira dan berbangga menjadi rakyat Mesir.Mereka kini sedang menunggu presiden atau pemerintahan baru yang akan dilantik secara demokrasi yang adil seperti yang diharapkan.

Friday, February 11, 2011

Remaja Islam wajar memahami latar belakang Hari Kekasih ( Valentine)

Salam semua.

Tiada beban, batu digalas.
Remaja Islam yang merayakan Hari Kekasih seumpama tiada beban batu digalas, tiada pun kewajipan untuk mereka berbuat demikian, lantas mereka turut serta mengambil bahagian atau meniru-niru amalan yang dicegah itu dan akhirnya mereka akan menerima beban kesusahan, tidak kurang daripada mereka yang terlibat dengan perayaan tersebut terlanjur perbuatan dalam keasyikan melayan kekasih kononnya. Mereka sebenarnya bukan merayakan apa-apa kecuali melayan nafsu, aktiviti tersebut tidak pernah disarankan supaya mereka terlibat sama. Sebaliknya mereka sentiasa diingatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti seumpama itu kerana perayaan itu bukan amalan Islam, malah dilarang oleh Islam.

Sejarah Hari Kekasih.
Kisah atau sejarah Hari Kekasih ( Valentine) mempunyai beberapa versi, setelah diteliti semua versinya amatlah tidak sesuai remaja Islam turut serta merayakannya. Salah satu versinya Hari Valentine dirayakan bagi meraya dan meraikan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol.

St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada tahun 1492.

Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim. Demikianlah hasil carian saya di google.

Tidak wajar sama sekali remaja Islam merayakan hari tersebut, sepatutnya mereka hendaklah melakukan sesuatu dalam keadaan penuh kesedaran bukannya dalam keadaan jahil dan ikut-ikutan semata-mata.

Wajar.

Adalah wajar bagi orang Islam melancarkan apa sahaja program yang bertujuan mencegah para remajanya terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang merosakkan aqidah mereka, khasnya menyambut atau meraikan hari tersebut supaya aktiviti remaja Islam akur dengan ajaran Islam itu sendiri.

Manakala orang Kristian yang dikaitkan atau dikatakan merayakan Hari Kekasih tersebut, terpulanglah kepada mereka, mungkin aktiviti itu termasuk di dalam kepercayaan mereka atau sebaliknya wallahu aklam, kita sebagai orang Islam tidak berhak mencegahnya seperti mana mereka juga tidak berhak mencegah program kita yang melarang remaja kita turut serta di dalam aktiviti tersebut.

Dalam hal ini orang Islam seharusnya mengambil sikap akur dengan ingatan Allah di dalam Surah al.Kafirun yang bermaksud,

[1]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
[2]
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
[3]
“Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
[4]
“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
[5]
“Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
[6]
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.


Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, February 9, 2011

Semakin malas nak tulis.

Salam semua.

Sejak kebelakangan ini aku semakin malas nak tulis, kalau aku tulis pun aku akan ulang tulis perkara yang sama yang belum selesai dan belum ada penghujungnya, seumpama "seruan khutbah Jumaat supaya umat Islam kembali kepada Allah dan Rasul-Nya", jika berlaku sesuatu perbalahan atau perselisihan sesama umat Islam tetapi nampaknya seruan itu semacam adat dan kebiasaan sahaja, tidak memberi apa-apa kesan secara amali di luar masjid. Apakah maksud kembali kepada ajaran Allah secara menyeluruh tidak ramai yang ingin memperhalusikannya. sama ada faham atau tidak faham tidak menunjukkan tanda dan kesannya yang jelas.


Setiap minggu mendengar khutbah supaya kembali kepada Allah dan Rasul tetapi adat karut terus juga diamalkan, seolah-olah seruan itu tiada kaitan dengan amalan adat yang salah tersebut. Pada hal perbuatan inilah yang akan merosakkan ibadat orang Islam. kemiyan warisan sebelum Islam masih diwarisi dan dibakar ketika tertentu. Itulah tadi aku katakan aku akan ulang balik apa yang telah aku tulis dulu sejak mula blog ini dibuka, aku rasa sudah cukup apa yang aku tulis dulu-dulu itu kerana dah banyak tajuk yang semacam itu.

Aku malas mahu tulis bukanlah ada sebab apa-apa, bukan kerana sebab-sebab seperti di atas, sebab-sebab seperti itu memang lumrah sejak dahulu kala lagi.cuma aku rasa sudah tiada idea lagi untuk terus menulis, maka terpaksalah aku tunggu kehadiran ilham dan idea baru.

Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, February 8, 2011

Mencari barang yang hilang.


Salam semua.

Berdebat, berbahas dan berbincang untuk mencari kebenaran umpama mencari barang yang berharga yang telah hilang. Setelah bertemu atau berjumpa semua yang terlibat dengan pencarian tersebut akan merasai gembira dan sukacita.

Sekian...Wallahu aklam.

Sunday, February 6, 2011

Aqidah adalah teras dan tunjang keislaman seseorang individu.

Salam semua.

Aqidah adalah teras dan tunjang keislaman seseorang individu.
Sekiranya tanpa aqidah yang betul,segala ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, khenduri, sedekah semuanya akan menjadi sia-sia , setiap orang Islam wajib memelihara aqidah sepanjang hayat supaya tidak berlaku syirik dan munafik.

Syirik membawa maksud menyengutukan Allah atau menyamakan-Nya dengan makhluk, lantas mempercayai ada kuasa lain yang menguasai hidup mereka, perbuatan tersebut boleh berlaku dengan sebab mereka melaksanakan keperluan kepercayaan tertentu, seperti mengadakan upacara tolak bala atau takut ditimpa bala jika tidak melakukan sesuatu berdasarkan kepercayaan karut dan khurafat itu. Situasi ini menggambarkan mereka tidak mentauhidkan Allah atau dalam ungkapan yang lain mereka mempercayai adanya satu lagi kuasa ghaib selain dari kuasa Allah. Seolah-olah kuasa itu mengatasi kuasa Allah atau bersaing dengan-Nya. Hati mereka tidak percaya sepenuhnya kepada Allah.

Tegasnya mereka percaya Allah dan juga percaya kuasa lain yang menyamai kuasa Allah. Kepercayaan seumpama inilah yang dimaksudkan "syirik" dengan Allah, iaitu suatu dosa yang tidak akan diampunkan Allah.

Banyak lagi kepercayaan yang boleh menyebabkan syirik, umat Islam seharusnya sentiasa menyemak dan mengkaji sesuatu kepercayaan turun temurun yang diragui dan dipertikaikan yang masih mereka amalkan dengan merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis untuk memastikan hukum mengamalkannya.

Manakala munafik pula ialah mereka yang berpura-pura percayakan Islam tetapi sebenarnya mereka hanya percaya sebahagian sahaja. Ini dibuktikan melalui tingkah laku mereka yang sengaja melanggar perintah Allah, seperti khianat akan amanah yang dipertanggungjawabkan,berdusta, mungkir janji, bergaduh secara melampau dan seumpamanya.

Jika perbuatan itu berlaku di kalangan umat Islam bermakna mereka yang berkenaan tidak mempunyai teras dan tunjang Iman dan Islam di dalam diri mereka. Maka Islam sedemikian diragui sifatnya dan situasi ini berbahaya bagi dirinya dan orang Islam yang lain, Ubat bagi merawat segala penyakit tersebut adalah dengan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai Islam, khasnya ilmu Aqidah (Tauhid), menghayati budaya ilmu dapat mengurangkan kepercayaan karut tersebut dan mengukuhkan teras dan tunjang keimanan dan keislaman.

Umat Islam yang sebenar mempercayai Tuhan ( Allah ) Yang Maha Esa , inilah teras yang dimaksudkan dan di samping itu dilarang keras menyengutukan-Nya. Kepercayaan yang menyebabkan syirik itulah yang menyebabkan gugurnya teras dan tunjang keimanan dan keislaman seseorang. Tanpa teras dan tunjang tersebut maka tiadalah Iman dan Islam baginya.
______________________________________

Petikan ayat-ayat yang menyatakan tentang aqidah Islam.
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; [2] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; [3] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; [4] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
(Surah Al.Ikhlas)
________________________________________


[51] Dan Allah berfirman: “Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar. [52] Dan bagiNyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya sahaja tertentu ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah. [53] Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.
(Surah An.Nahl)
____________________________________________
Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memeluk Islam dan mematuhi segala hukum-hukumnya iaitu dengan mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya tanpa mengecualikan mana-mana bahagian atau hukum yang terdapat di dalam al.Quran.
___________________________
[207]
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. [208] Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[209] Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Al.Baqarah)
_________________________________________


Sekian...wallahu aklam.