Wednesday, February 2, 2011

Fahaman politik berbeza, Anutan agama sama .

Salam semua.

FAHAMAN POLITIK BERBEZA, ANUTAN AGAMA SAMA, KENAPA MASIH BERPECAH.

Ramai di kalangan tokoh politik sering mengajak dan menasihatkan rakyat supaya bersatu padu dan jangan berpecah kerana perbuatan itu boleh melemahkan kita. Kalau dilihat secara teliti dan mendalam siapakah yang sebenarnya menjuarai perpecahan, Ramai di kalangan pemimpin kita bercakap mengenai perpaduan tetapi kita masih berpecah. Lebih garang dan kerap lagi mereka bercakap mengenai hapus rasuah dan siapa pula pelahap rasuah. Semuanya mencegah rasuah tetapi rasuah tidak pernah pun kurang. Tidakkah kita pernah menyemak harta sendiri kalau-kalau yang mengamalkan rasuah itu sebenarnya kita sendiri.
Atas dasar atau panduan apakah yang seharusnya menjadi panduan untuk digunapakai bagi mengajak penyokong dan pengikut merealisasikan perpaduan dan amanah yang dicanangkan dan apakah pula kualiti perpaduan yang kita kehendaki ?. Sama ada kualiti sementara atau kualiti yang kekal sehingga ke akhirat.

Orang Melayu menganuti agama yang sama tetapi fahaman politiknya berbeza sudah tentu sukar untuk mencapai perpaduan, kalau masing-masing ingin mengekalkan tradisi parti dan cara berpolitik, tiada gunanya kita bercakap dan berbincang pasal perpaduan dan mencegah rasuah kerana ianya akan menjadi sia-sia.

Pada hemat saya kalau benar-benar inginkan perpaduan, orang Melayu seharusnya menukar sikap dan menukar cara berpolitik dengan membuat sedikit perubahan dan anjakan. Semua parti yang diterajui oleh orang Melayu hendaklah berasaskan Islam kerana itulah persamaan kita, anjakan itu perlu ada ikat janji di dalam perlembagaan parti untuk meyakinkan bahawa parti mereka adalah parti yang memperjuangkan kedaulatan Islam dan menyimpan cita-cita yang tinggi ingin membawa orang Melayu ke arah celik Islam dan menghayati Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Semarakkan ilmu Islam ke seluruh bandar dan ceruk kampung untuk memerangi kejahilan yang menyebabkan mereka sesat dan mengamalkan ajaran karut dan syirik kepada Allah.

Pendekatan dan cara demikian dapat mengurangkan perpecahan kerana perkara pokok yang menjadi punca perpecahan ialah dasar perjuangannya yang berbeza. Bersainglah atas tiket penilaian prestasi seperti persaingan Pasar Raya yang mempunyai barangan yang sama di semua Pasar Raya tersebut, terpulanglah kepada pelanggan untuk menilai dan memilih Pasar Raya yang mereka sukai.

Kita perlu mencari persamaan untuk mewujudkan perpaduan, selagi kita menunjukkan penampilan dan wawasan yang berbeza selagi itulah akan berlaku perpecahan, isu yang senang difahami seperti larangan berjabat tangan di antara lelaki dengan perempuan bukan muhrim pun boleh menimbulkan pertembungan yang berpanjangan semata-mata ingin menegakkan benang yang basah, pada hal kefahaman terhadap isu sedemikian sepatutnya telah lama tersirat di dalam hati. Kalau di satu pihak berdegil ingin meneruskan amalan yang kurang tepat dan di satu pihak pula berusaha bersungguh-sungguh mentahsinkan amalan orang Melayu dalam menghayati Islam. Dua situasi yang berbeza itu akan mengekalkan perpecahan, dalam hal seperti ini kita tidak seharusnya bersikap tunjuk cerdik tanpa pengetahuan atau sombong bodoh.

Sebenarnya persamaan tidak perlu lagi dicari kerana orang Melayu menganuti fahaman agama yang sama, iaitu Islam. Nah !!! Kini kita telah bertemu persamaan, masihkah kita enggan merelakan diri menyelaraskan dasar parti masing-masing, Gendang perpaduan ditabuh tetapi para pesilat menarikan irama yang berbeza, perbezaan itulah punca perpecahan, mengikut pendapat ahli psikologi kita jangan melarang sesuatu yang kita sendiri mahu perkara itu berlaku. Sebaliknya kalau kita tidak mahu sesuatu perbuatan atau kejadian itu berlaku, maka hendaklah kita bertindak bersesuaian dengan kehendak tersebut.

Sebagai contohnya;
Seorang ibu yang tidak mahu anak kecilnya bermain di tengah hujan, sekiranya Si Ibu hanya asyik memanggil dan melarang berulang kali dan anaknya terus juga bermain dan bermain, manakala Si Ibu tidak bertindak secara psikomotor atau fizikal, ini membawa maksud Si Ibu bersetuju dengan perbuatan anaknya itu, jika Si Ibu bersungguh-sungguh tidak mahu anaknya bermain hujan sudah tentulah setelah anaknya tidak menghirau dan mengindahkan larangannya, lantas Si Ibu akan bertindak pergi mengambil anaknya dan membawa masuk ke dalam rumah. Sebaliknya Si Ibu tidak bertindak demikian kerana Si Ibu mempunyai tugas dan kepentingan lain yang lebih mustahak untuk dirinya.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: