Monday, February 21, 2011

Manusia dijadikan Allah tidak sama.

Salam semua.

Muhasabah ringkas.

Manusia dijadikan Allah tidak sama di antara satu sama lain.

Allah jadikan manusia berbagai bangsa.
Allah menjadikan manusia tidak seperti kilang mengeluarkan botol, di mana kilang botol akan mengeluarkan botol-botol mengikut acuannya, sekiranya acuan yang sama digunakan botol-botol itu akan bersaiz sama dan rupanya juga sama, kita tidak mampu membezakan di antara botol-botol tersebut. botol adalah makhluk Allah yang statik sifatnya.Berbeza dengan manusia yang mempunyai akal fikiran dan memerlukan aktiviti kehidupan mereka di dunia ini sementara ke akhirat.

Disebut di dalam al.Quran di dalam Surat Al.Hujurat ayat (13) tentang perkara tersebut ( rujuk terjemahannya di bawah). Manusia dijadikan berbagai bangsa, masing-masing mempunyai bahasa, adat dan budayanya yang tersendiri, satu bangsa dengan satu bangsa yang lain berbeza rupa paras, warna kulit dan bahasanya, walaupun di dalam bangsa yang sama, juga berbeza
rupa parasnya di antara satu sama lain.Di antara lelaki dan wanita pula jauh bezanya, lelaki sesama lelaki masih terdapat perbezaannya, begitu juga sesama wanita tidak sama di antara satu sama lain.

Tegasnya tiada manusia yang sama di dunia ini, walaupun dua beradik kembar, dua beradik kembar sebenarnya tidak sama kecuali mereka kelihatan hampir sama sahaja, dikatakan sama kerana kelemahan minda manusia untuk mengingat dan membezakannya, perbezaan yang sedikit yang terdapat pada dua beradik kembar itu menyebabkan manusia tidak mampu mengingatkan perbezaannya , terutamanya apabila dua beradik tersebut berada berjauhan di antara satu sama lain, lantas mereka menyatakan mereka itu sama. Demikianlah Allah itu Maha Berkuasa , Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Manusia lemah.
Manusia sebenarnya lemah, manusia mendapat kekuatan melalui lengkap melengkapi di antara satu sama lain, tanpa orang lain manusia akan lemah dan mundur, tanpa lelaki wanita akan susah, tanpa wanita lelaki pula akan lemah dan menghadapi kehidupan yang sukar dan tidak sempurna.

Allah mencipta manusia maka Allah jua yang mengetahui segala-galanya mengenai kehidupan manusia, maka Dia-lah juga menyediakan peraturan hidup di dunia ini supaya diikuti dan dipatuhi, sesiapa yang ingkar dan enggan, nescaya mereka itu akan menerima kerugian di penghujung kehidupan mereka nanti.

Hikmah.
Kebaikan atas sifat "tidak sama fizikal dan penguasaan minda" mempunyai banyak hikmah dan faedahnya kepada manusia. Situasi itu menyebabkan manusia dapat kenal mengenali di antara satu sama lain dan tidak akan terkeliru dalam melayari kehidupan harian mereka, kalaulah manusia itu sama tentulah sukar bagi mereka menjalani kehidupan seharian di dalam masyarakat mereka. Kewujudan perbezaan itu juga mereka dapat menambahkan pengetahuan dan bertukar-tukar maklumat. Di samping itu terdapat ujian kepada manusia, agar mereka tidak sombong diri, jika terdapat kelebihan pada diri mereka atau bangsa mereka kerana yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa.

________________________________________________________

Maksud firman Allah:
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

( Surah Al.Hujurat )

___________________________________________________

Sekian...wallahu aklam.


2 comments:

Hunny said...

ya Pak Ngah. Setuju dengan entri ni. Sebab tu saya bi SUPER XL, senang nak kenal..:P

Leenoh said...

Ke situ pula perginya, itu menunjukkan artikel ini ada percambahan fikiran. hehe