Showing posts with label Berubahnya nilai hidup.. Show all posts
Showing posts with label Berubahnya nilai hidup.. Show all posts

Monday, October 12, 2009

Sesuatu yang tidak baik itu tetap tidak baik .


Salam Semua.

Sesuatu yang tidak baik itu tetap tidak baik nilainya, walaupun ramai manusia menyukainya. Demikianlah hakikat nilai hakiki iaitu nilai yang telah ditetapkan oleh Allah.s.w.t. Sesuatu yang berdosa itu tetap berdosa walau dalam apa keadaan sekalipun, dalam keadaan ramai manusia melakukannya atau ramai manusia sudah tidak lagi memandang jijik padanya,

Jika arak diminum, rasuah diamal , zina dilakukan dan semua perkara maksiat itu dilakukan oleh ramai orang. Pun begitu perbuatan tersebut tetap tidak baik dan masih maksiat. Nilai di sisi Allah tetap sama dan balasannya juga tetap sama . Senario itu telah menggambarkan kepada kita bahawa kiamat semakin dekat dan gejala buruk itu pula semakin meningkat.

Situasi itu memerlukan ramai para pencegah dan para pendakwah, sebaliknya golongan itu semakin kurang dan sedikit, malah ditambah pula suara mereka semakin diterbalikkan, kebenaran dilihat sebagai kebatilan, putih dilihat sebagai hitam legam, hitam dilihat sebagai putih melepak, mulia dihinakan dan hina dimuliakan, sebahagian nilai hakiki dialih dan diterbalikkan.

Jesteru manusia memerlukan taufik dan hidayah dari Allah, tetapi ketika itu hidayah dan taufik sukar diperolehi kerana dihalang oleh kebendaan dan keduniaan, kebendaan menggamit-gamit dan melambai-lambai ke arahnya, keduniaan pula memanggil-manggil untuk bersamanya.

Tsunami tidak menginsafkan, banjir dianggap perkara biasa , tanah runtuh dan ribut taufan sekadar hukum alam, roh tauhid enggan menggerakkan minda supaya berfikir dengan betul dan benar.

Kemalangan jalan raya dan kematian beramai-ramai, terjumpanya bayi di dalam tandas atau di tangga masjid sudah tidak memeranjatkan lagi kerana telah menjadi lumrah dan perkara biasa.

Meningkatnya bilangan anak diluar nikah, dulunya berita dari luar negara, kini telah berlaku di negeri sendiri dan juga tempat sendiri, memang ada suara menghina perbuatan mereka yang terlibat sebelumnya itu, tetapi para pencegah dan kaedah mencegah tidak banyak berubah dan diaktifkan.

Masing-masing meluahkan rasa risau dengan gejala buruk tetapi tidak mampu bergerak secara positif dan proaktif seperti melihat sesuatu di dalam keadaan panik, minda menjadi buntu dan tidak tentu arah.

Sudah tentu tidak semuanya begitu, masih ada yang telah bertindak dan bergerak ke hadapan dan proaktif, sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada mereka.
Andalah sebenarnya wira.

Sekadar untuk renungan dan percambahan minda sahaja.

Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.