Wednesday, August 6, 2008

Pengurusan Masjid.



Assalamualaikum wa Rahmatullahi Wa Barakatuh/Selamat sejahtera.


Masjid merupakan institusi penting dalam masyarakatIslam di mana sahaja mereka berada. Persoalannya sekarang adakah masjid diuruskan seperti yang sewajarnya oleh mereka yang diamanahkan. Apakah tanggapan masyarakat terhadap peranan dan fungsi masjid itu telah mencapai tahap kualiti atau piawaian yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri atau masih ditahap fahaman Melayu yang disaluti adat yang berbagai cabang ianya berlaku sama ada di kampung atau di bandar. Di mana kadang-kadang dikuasai fikrah Melayu mengatasi fikrah Islam atau kadang-kadang sebaliknya. Manusia memang lumrahnya begitu ,adakah dasar pentadbirannya pun begitu. atau adakah pentadbirnya sahaja begitu kerana tidak menguasai ilmu pengetahuan yang sepatutnya mereka kuasai. Jika menyedari hakikat ini mengapakah tidak diserahkan sahaja kepada orang lain. Bukankah masjid itu institusi amat penting seperti yang disebutkan tadi.

Masjid sebenarnya Institusi Pendidikan Terawal di kalangan masyarakat Islam. Pendiddikan di masjid sewajarnya meliputi dan mencakupi keseluruhan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w tanpa tapis untuk mengurangkannya dan tanpa tambah untuk menyelewengkannya. Penyampaiannya meliputi semua perkara mengenai Aqidah,Ibadat,Muamalat,Munakahat,Jenayat,Sirah Nabawiyah . (semua perkara yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis) dan seumpamanya.

Ahli Jawatankuasa Masjid (Pentadbir Masjid) dan mereka yang berkenaan seharusnya terdiri dari mereka yang benar-benar mengetahui dengan mendalam tentang objektif dan fokus masjid serta berminat dan berazam untuk memajukannya disamping bertekad memakmurkannya.
Mereka juga seharusnya berpengalaman dalam pentadbiran persatuan, di mana setiap persatuan semestinya terdapat peraturan kecil atau perlembagaan yang wajib dipatuhi manakala masjid terdapat peraturannya yang tersendiri. Peraturan tersebut merupakan amanah yang diserahkan oleh Ahli Qariah kepada pentadbir masjid. Jika amanah itu diabaikan bermakna pentadbir melaksanakan tugas seperti hak kepunyaan mereka sendiri tanpa terikat dengan apa-apa peraturan . Sebagai contoh membelanjakan wang tanpa mesyuarat atau meluluskan perbelanjaan dalam mesyuarat yang kuromnya tidak mencukupi seperti yang telah ditetapkan di dalam peraturan persatuan. Jika ini berlaku tentulah menyedihkan kita kerana wang dan harta yang dikendalikan bukan sedikit nilainya. Kita harap perkara ini tidak berlaku kalau berlaku pun disebabkan kekurangan ilmu dan pengalaman.

Masjid adalah tempat yang paling mulia di sesuatu qariah ( kampung ). Bagaimanakah kita menilai ianya mulia kalau di sana terdapat kekurangan dan kelemahan . Sebenarnya ianya memang mulia tetapi kekurangan dan kelemahan berlaku kerana keadaan ( modal insan ) tidak sempurna oleh itu perkara tersebut akhirnya berlaku tanpa disengajakan atau sebaliknya kerana kepentingan diri. Peraturan yang baik sebenarnya telah disediakan .Walau pun kereta baru tetapi pemandunya tidak cekap akhirnya tidak selamat juga. Masjid tempat yang mulia biarlah ditadbirkan oleh orang yang mulia . Sekiranya ini boleh dilakukan barulah masyarakat kita menjadi masyarakat hadari yang mampu menghayati Islam sepenuhnya di dalam kehidupan diri,keluarga,masyarakat dan negara.

Apakah tugas kita supaya institusi masjid kembali bertenaga dan berfungsi sewajarnya, apakah kelemahan-kelemahan yang perlu disingkirkan, apakah kekuatan-kekuatan yang sedia ada, apakah perkara yang boleh dilakukan untuk tambah baikkan. Perancangan dan program yang telah disediakan oleh pihak berkuasa telah memadai walau pun masih ada ruang untuk dimajukan lagi. Penglibatan semua lapisan masyarakat nescaya kita berupaya memakmurkan institusi masjid seperti selayaknya seperti masjid-masjid yang cemerlang yang sememang wujud di dalam negara kita, apa yang diperkatakan di sini ialah sebahagian besarnya berada di tahap sederhana dan lemah. Penulis bukanlah seorang yang pakar dalam hal ini, apa yang disebutkan di sini cuma hasil pemerhatian dan pengalaman sebagai ahli jamaah yang masih dalam bentuk teori di dalam minda, penulis merasakan resipinya memang memadai walau pun tidak lengkap tetapi masakannya masih tersasar, mungkin tulisan ini dapat mencetuskan percambahan minda anda yang lebih kehadapan dan terkini.

Pujian dan insentif perlu diberikan kepada pentadbir dan ahli qariah yang tidak jemu-jemu memakmurkam masjid kerana merekalah tuntutan fardu kifayah tertunai akhirnya dan ahli qariah yang tidak terlibat menumpang teduh di bawah naungan mereka. Merekalah juga yang menghidupkan solat jamaah lima waktu di masjid yang sangat-sangat dituntut bagi tiap-tiap qariah. Sebahagian besar dari mereka bertugas atau menjalankan aktiviti tanpa apa-apa bayaran.

Untuk kemajuan masjid kita seharusnya meneliti dan mengkaji kelemahan dan kesilapan yang berlaku di masjid dan disusuli dengan tindakan untuk memperbaikinya . Tentulah kelebihan yang sedia ada dikekalkan serta diteruskan dan dijadikan tradisi yang baik untuk masyarakat setempat.

Wallahu aklam;


Wassalam.

Kehidupan Bersih (6)




Kehidupan yang bersih dan suci yang dimaksudkan di sini ialah kehidupan yang dilalui oleh manusia , di mana cara hidupnya bersih dan suci dari segi rohani, jasmani dan persekitarannya. Untuk mencapai tujuan tersebut selain dari yang telah disebutkan pada siri yang lepas. Manusia hendaklah menyedari bahawa sebagai orang Islam, mereka wajib mematuhi atau menyedari bahawa kita tidak akan terlepas dari pemerhatian dan hukum Allah iaitu sama ada wajib,sunat,haram, mubah dan makruh. Ini bermakna manusia tidak dapat elak dari hukum Allah, setiap perbuatan yang dilakukan akan disabitkan sama ada sunat,haram,mubah,makruh atau wajib. Sebagai contoh makan>mubah, mengumpat>haram, makan makanan hasil rasuah>haram, memberi pertolongan dalam hal kebaikan>sunat.

Kesimpulannya setiap perbuatan manusia tiada yang terhenti di dunia sahaja atau akhirat sahaja, setiap perbuatan melibatkan dunia dan akhirat sebagai contoh memberi pertolongan kepada orang, menyara keluarga, menunaikan solat atau bersedekah, perbuatan tersebut dilakukan di dunia dan mendapat syorga di akhirat (dunia/akhirat). Mencuri, memberi atau menerima rasuah,memfitnah atau mengumpat, semua perbuatan ini juga berlaku di dunia tetapi menerima azab neraka di akhirat (dunia/akhirat). Tegasnya setiap perbuatan yang dilakukan di dunia ini ada ganjaran atau balasannya di akhirat nanti. Sama ada kita seorang pendidik, ahli politik, petani, peniaga,penjawat awam,nelayan atau sebagainya, oleh itu bekerjalah seolah-olah kita sedang melihat Allah atau sesungguhnya Allah sedang melihat kita. (ihsan).

Rasionalnya kita perlulah berada di dalam lengkongan persekitaran yang kehidupannya bergerak selari dan selaras dengan perintah Allah. Kiranya ini dijadikan panduan di dalam kehidupan manusia, insya Allah kita akan mencapai matlamat yang dikehendaki.

Kebelakangan ini kadang-kadang kita terfikir atau merasai seolah-olah masyarakat iblis,jin dan syaitan sedang berpesta merayakan kemenangan mereka ke atas menusia . Ini merujuk kepada peristiwa-peristiwa buruk dan jahat yang berlaku di persekitaran kita berdasarkan berita benar dan palsu yang diterima dari berbagai sumber.

Cerita mengenai anak muda berlumba motorsikal secara haram, rompakan, rogol, penagihan dadah yang semakin bertambah dan keruntuhan rumahtangga, kecurian dan seumpamanya sering dipaparkan di dada akhbar. Jika telahan ini benar bermakna laluan kehidupan yang kita lalui terdapat kekotoran dan kejahatan yang berkemungkinan bila-bila masa sahaja boleh menyusahkan kita, keadaan ini nampaknya menyarankan kita supaya mengubah pradigma yang tidak betul yang dihayati selama ini sama ada oleh anak muda atau diri kita sendiri kepada suatu cara hidup yang dianjurkan oleh Islam secara berhikmah dan bermaruah.

Kalau ada usaha insya Allah kita akan berjaya mengubah kehidupan kita yang kurang baik ini kepada kehidupan yang lebih baik lagi. Kita tidak boleh lagi hidup mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kehidupan orang lain sebab kehidupan orang lain antaranya mengancam kehidupan kita dan ada yang membantu kehidupan kita. sebenarnya kehidupan ini sering bergantung antara satu sama lain dan mempengaruhi antara satu sama lain. Dengan itu masyarakat berkewajipan mewujudkan kehidupan yang bersih dan suci supaya semua orang dapat hidup dalam keadaan harmoni.

" Membersihkan permukaan meja yang kotor memerlukan tuala yang bersih dan suci"

wassalam.

>>> Insya Allah kita bertemu lagi <<<