Thursday, February 11, 2010

Ayat-ayat suci Al.Quran yang lazim dibaca (Bacaan dan terjemahannya) - 4


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Bersama ini dipaparkan ayat-ayat suci al.Quran yang lazim dibaca sebagai sambungannya, kebanyakan muslim dan muslimah menghafaz surah-surah tersebut.

Paparan ini untuk memberi kemudahan kepada anda yang ingin memanfaatkannya, beberapa perkara penting yang perlu dipe
rhatikan ketika mempelajari bacaan al.Quran, di antaranya ialah bacaan dengung kerana melaksanakan hukum "wajiban ghunnah" dan "ikhfak" serta lain-lain bacaan dengung yang sepatutnya bacaannya itu mengambil masa sekadar dua harakat ( pastikan kita juga mematuhi hukum tersebut ) tidak kurang atau lebih, dinilai mengikut situasi bacaan ( tartil, tadwir atau hadar) . Selain daripada itu perhatikan juga bacaan panjang yang berbagai jenis , iaitu dua, empat dan enam harakat juga mengikut situasinya.

Sekurang-kurangnya itulah perkara yang semestinya kita perha
tikan dan sambil mengikut bacaannya, termasuk tempat-tempat yang tidak dengung bacaannya serta sebutan huruf ( makhraj ) semuanya perlu dititikberatkan.

Kaedah yang terbaik ialah secara berhadapan dengan guru seperti yang disebutkan pada entri yang telah lalu.

---------------------------------------------------------

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

98. Al-Baiyina

[1]
Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata, -
[2]
Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci,
[3]
Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.
[4]
Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
[5]
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.
[6]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.
[7]
Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
[8]
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Tags: ,

----------------------------------------------------------

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

99. Az-Zalzalah


[1]
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
[2]
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
[3]
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”
[4]
Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
[5]
Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
[6]
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
[7]
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8]
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Tags: ,

-----------------------------------------------------

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

100. Al-’Adiyat

[1]
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,
[2]
Serta mencetuskan api dari telapak kakinya,
[3]
Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh,
[4]
Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu,
[5]
Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh;
[6]
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
[7]
Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian;
[8]
Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
[9]
(Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?
[10]
Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?
[11]
Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.

-------------------------------------------------------

Sekian. Wallahu aklam.


Tags: ,

No comments: