Thursday, February 11, 2010

Melayu itu serupa tetapi tidak sama..

.السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Orang Melayu pada dasarnya serupa tetapi sebenarnya mereka tidak sama
, sememangnya Allah menjadikan manusia tidak sama. kejadian seumpama itu menunjukkan keistimewaan dan kebijaksanaan Allah sebagai Pencipta, Dari situlah tersebutnya peribahasa "kepala sama hitam tetapi hati lain-lain". Ketidaksamaan pada perkara remeh adalah suatu kebaikan kepada masyarakat tetapi ketidaksamaan mengenai perkara asas bagi sesuatu bangsa adalah merugikan.

Salah satu perkara yang menjadi batu asas dan tapak berpijak dan berdirinya orang Melayu di atas muka bumi Allah ini ialah aqidah Islam. Aqidah Islam yang sempurna merupakan tapak yang kukuh dan aqidah itulah yang dituntut oleh al.Quran dan al.Hadis supaya dimiliki dan dihayati sepanjang usia orang Islam.

Dalam hal ini terdapat di kalangan orang Melayu yang merasakan aqidah Islam hanya sesuai dipergunakan pada tempat dan ketika tertentu sahaja. Mereka tidak mendaulatkan aqidah Islam itu secara menyeluruh sebagai cara hidup atau tegasnya ajaran Islam itu tidak dijadikan sebagai cara hidup berumahtangga, bermasyarakat dan bernegara.

Sebaliknya mereka cuma mengambil bahagian yang agak serasi dengan aktiviti hidup mereka sahaja, oleh itu berlakulah campuraduk di dalam aktiviti mereka seperti di dalam aktiviti perkahwinan, majlis keramaian, kesenian dan lain-lain, di mana terdapat aktiviti yang tidak selari dengan aqidah.

Dalam pada itu terdapat pula Orang Melayu Islam yang ingin dan mencuba sedaya upaya mereka untuk memperaktikkan ajaran Islam sebagai cara hidup, mereka inilah yang berusaha bersungguh-sungguh supaya Islam itu diamal dan dihayati oleh orang Melayu sebagai suatu cara hidup, malah diamalkan oleh semua bangsa di Malaysia ini kerana Islam itu untuk semua seperti sedang berlaku di dunia ini sejak sekian lama.

Bersabit dengan perkara tersebut maka mereka berusaha sepanjang masa untuk memberi kefahaman Islam kepada pihak yang belum faham atau belum mahu melaksanakan seperti yang difahami mereka. Maka berlakulah dakwah secara dakhiliah dan juga kharijiah. Golongan ini dipercayai lebih memahami Islam berbanding dengan golongan yang lain

Keadaan ini menunjukkan, sekurang-kurangnya kita mempunyai Dua Melayu yang sedang membuka ruang untuk berselisih faham pada perkara yang tidak sepatutnya diperselisihkan, di mana ada perkara yang wajib diterima , masih ada pihak yang menolaknya.

Situasi inilah sebenarnya yang telah menggagalkan orang Melayu untuk hidup bersatu padu dan mewujudkan perpaduan kerana kefahaman atau pegangan yang berbeza itu berjaya mewujudkan penghalang kepada tujuan murni tersebut.

Jika orang Melayu berpaut bersungguh-sungguh pada tiang Islam dan menggunakan payung Islam sepenuhnya, insya Allah banyak perkara kebaikan akan berjaya dilaksanakan atau paling minima mereka dapat mengurangkan jurang perbezaan tersebut.Untuk tujuan itu Islam perlulah disebarkan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah bukan secara bermusim.

Pandangan ini bukanlah suatu kajian atau pendapat yang kukuh ianya hanya sekadar pemerhatian terhadap apa yang telah dan sedang berlaku di dalam masyarakat Melayu, seperti disebutkan tadi kepala sama hitam tetapi hati lain-lain, lain orang lain ragamnya, lain orang mungkin lainlah pula pandangannya. Ini adalah pandangan dan pendapat penulis. kalau tidak serasi tolaklah sahaja dengan hati yang terbuka. Kalaupun dimarahi , perkara ini telah pun terpaku di dalam mindanya, kemarahan itu tidak lagi berguna.

Sekian. Wallahu aklam.

No comments: