Friday, February 26, 2010

Ujian Allah menyedarkan manusia.


Salam semua.

Lebih dua purnam
a hujan tidak turun seperti kebiasaannya di Kluang ini, air sungai Sembrong dikatakan telah mulai surut dan menimbulkan kebimbangan orang ramai khususnya mereka yang diberikan amanah membekalkan air kepada penduduk di daerah ini. Catuan air telah dilakukan berselang hari, sebenarnya kekurangan air di rumah setakat ini belum lagi terasa kerana belum pernah keputusan bekalan air, cuma cuaca panas memang terasa, sentiasa sahaja badan berdogiang tidak dibaluti dengan pakaian, bila tetamu datang ke rumah barulah mencapai baju untuk dikenakan di badan sebelum keluar menyambut tetamu. sekarang inipun sedang berdogiang kerana wap panas berterbangan di udara selepas hujan turun di antara jam 4.55 sehingga 5.10 petang sebentar tadi.

Sesungguhnya manusia itu perlu diuji oleh Allah bagi menyedarkan hakikat diri mereka, kalau tidak diuji manusia akan menjadi seperti Firaun, Firaun tidak menyedari bahawa dirinya manusia lantas mengaku dirinya adalah Tuhan, bukankah sikap itu tidak berpijak di bumi yang nayata.

Apabila manusia diuji dengan kesusahan barulah manusia menyedari bahawa mereka sebenarnya makhluk yang lemah yang memerlukan bantuan dan pertolongan dari Allah. Mereka juga hamba Allah yang semestinya tunduk dan merendahkan diri kepada Allah.

Selepas solat Jumaat tadi sebahagian ahli jamaah Masjid Taman Kasih bersolat memohon hujan, dari tengah-tengah masjid kedengaran sayup-sayup suara imam berdoa memohon supaya Allah menurunkan hujan selepas memberi salam solat hajat. Kami semua mengaminkannya dengan seikhlas hati.

Tadi hujan pun turun seperti disebutkan di atas, bersangka baik bahawa doa telah dimakbulkan, telah berlaku meminta dan memberi oleh itu yang menerima sepatutnya berterima kasih, cara berterima kasih kepada Allah ialah dengan bersujud syukur iaitu berwuduk, menutup aurat, suci, mengadap ke kiblat, bertakbir dan sujud ( sekali sahaja ) dan bangun duduk seperti duduk tahiyat dan beri salam.

Sekian. Wallahu aklam.


No comments: