Wednesday, February 10, 2010

Menimba telaga ikan ketika musim kemarau.

Salam semua.
Ketika saya sedang berkhidmat di Bandar Sungai Petani, Kedah, saya dipelawa oleh seorang kawan rapat untuk pergi menimba telaga ikan di kampungnya, lokasi kampungnya dengan pantai tidak sampai 1km, kampung ini juga tidak begitu jauh dengan Pantai Merdeka.

Orang kampung di daerah ini biasanya akan mengorek beberapa buah telaga di sekitar kawasan sawah kepunyaan mereka untuk memerangkap ikan semasa musim kemarau dan ini juga salah satu langkah menambahkan sumber pendapatan, keluasan telaga tidak sama di antara satu sama lain, ada yang 120 kaki dan terdapat juga telaga yang lebih luas lagi dan ukuran dalamnya, ada yang melebihi 7 kaki. ( gambaran ini mungkin tidak tepat )

Kawasan sawah yang lokasinya berhampiran dengan laut seperti dua atau tiga Kilometer darinya memang mempunyai banyak ikan kerana nalurinya ikan-ikan akan turun dari hulu ke hilir mengikut air yang mengalir menuju ke sungai atau laut, apabila hampir berlaku kemarau berbagai jenis ikan akan bergerak mengikut arus aliran air tersebut, seperti mereka ini mengetahui bahawa kemarau akan datang, tidak semua ikan itu berjaya sampai ke sungai, sebahagian besarnya terperangkap di kawasan tanah rendah berhampiran dengan laut atau sungai.

Apabila musim kemarau ikan akan terperangkap di dalam telaga ini, tuan empunya telaga biasanya akan menunggu sehingga air semakin kering dan surut ke bawah sehinggalah dijangka mampu menimba airnya, barulah mereka mengambil keputusan untuk menimbanya.

Telaga yang berjumlah beberapa buah itu akan ditimba keluar airnya dan ikan-ikan sebagai penghuni telaga itu akan ditangkap dan dijual kepada peniaga ikan yang memerlukannya. Untuk menimba sebuah telaga memerlukan beberapa orang kerana pada ketika itu ( tahun akhir 70an ) menimba air telaga masih lagi menggunakan tenaga manusia dan belum ramai lagi menggunakan injin pam seperti amalan orang sekarang ini.

Alatan utama yang digunakan untuk menimba air keluar daripada telaga ialah menggunakan tin minyak tanah yang bersaiz besar, tin ini diikat dengan tali tangsi ( tali tambat kerbau ) supaya dapat ditarik dan ditimba oleh dua orang di mana setiap orang akan memegang dua tali untuk sama-sama mencedok air dan dibuang ke luar telaga berkenaan, proses menimba ini kekadang mengambil masa sampai sehari barulah telaga itu kering, tempoh masa yang diambil terpulanglah kepada saiz telaga berkenaan.

Setelah telaga kering proses menangkap ikan pula dijalankan, oleh sebab telaga ini dibiarkan begitu lama baru kering airnya, maka ikan yang menjadi penghuni tetap di situ pun kebanyakannya mempunyai saiz besar belaka. maklumlah usianya telah lanjut.

Apabila air sudah surut sampai ke dasarnya ikan mulai bergerak tidak tentu arah lagi, sebelum betul-betul kering kelihatan belakang ikan seperti belakang biawak terutamanya ikan haruan yang bersaiz besar. kita nampak begitu rupa kerana biasanya ikan bersaiz kecil hanya 15% dari saiz tersebut, kini kelihatan begitu besar sekali.

Dipendekkan cerita setelah selesai menimba dan menangkap ikan-ikan itu dimasukkan ke dalam raga atau bekasnya yang sudah siap siaga, kawan saya itu memberikan saya beberapa ekor ikan dan saya menolaknya sebahagian kerana terlalu banyak, maklumlah saiznya seperti disebutkan tadi.

Keluarga isteri saya tidak biasa dengan ikan darat , oleh itu dia sendiri pun tidak pandai memproses ikan jenis ini sebelum dimasak, Saya sendirilah memprosesnya, pada hal saya sendiri pun hanya pandai makan sahaja tidak pernah menguruskan masakan ikan darat ini.

Dalam keadaan terpaksa maka saya pun proses sendiri, ikan haruan bersaiz besar, sebesar yang dikatakan tadi, ditambahkan pula ikan itu hidup begitu lama di dalam telaga di mana airnya yag sangat keruh dan tidak mengalir pula, hanyirnya tidak perlulah diceritakan di sini, walau bagaimana pun saya proseslah juga mengikut pengetahuan saya yang amat cetek pada ketika itu, ikan itu dimasak atau dibuat masakan yang kami namakan masakan jeruk.

Diringkaskan lagi ceritanya, setelah masak saya pun bukalah tudung periuk besar itu, masya Allah hanyirnya yang amat sangat, saya cuba juga makan tetapi hanya sedikit daripadanya sahaja yang dapat masuk dan diterima dek tekak.

Bukan kerana ikan tetapi kerana kejahilan saya memprosesnya, selepas itu agak lama juga saya tidak sentuh ikan darat, sekarang saya mulai makan semula kerana telah mengetahui kaedah memprosesnya.

Cerita dari al.Quran.
Dalam pada saya menceritakan kisah menimba ikan ini saya teringat pula pasal larangan menangkap ikan pada hari Sabtu kepada umat dahulu iaitu umat Bani Israel yang diceritakan di dalam al.Quran. Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu, pada hal hari Sabtu ikan sangat banyak dan senang didapati, di mana ada air di situ ada ikan itulah ibaratnya pada ketika itu, situasi itu sebenarnya semata-mata suatu ujian daripada Allah tetapi mereka gagal ujian tersebut, sebaliknya membantah dan tidak mentaatinya.

Malah mereka membuat rancangan seolah-olah menipu Allah dengan membelat atau menyekat ikan itu daripada dapat balik ke sungai atau laut , maka ikan pun terperangkaplah di dalam jaringan atau alat tangkapan mereka yang dipasangkan di sungai itu, mereka membiarkan ikan berada di situ pada hari Sabtu dan pada hari Ahad barulah mereka menangkapnya, mereka menyangka dengan cara itu mereka akan terlepas dari larangan menangkap ikan pada Hari Sabtu. Akhirnya Allah murka dan menyumpah mereka itu menjadi kera yang hina. ( manusia akhirnya menjadi seperti kera bukan kera akhirnya menjadi manusia ).
_________________________

Renungilah maksud ayat al.Quran di bawah ini.

[62]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
[64]
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
[66]
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
( Surah al.Baqarah )
_________________________

[163]
Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik.”

( Surah Al-A’raf )

______________________________

Terima kasih sahabatku,
Abdul Mutalib bin Husein.

Sekian. Wallahu aklam.














5 comments:

Dee said...

sib baik dee lahir tahun 70-an..kalo nk menimba di telaga tu masih pandailah..anak2 skrg..ntah2 x tau menimba kan pak ngah..hehehe..

Leenoh said...

Salam Dee.

Masih ada lagi yang pandai menimba ikan tapi kebanyaknnya pergi menimba di pasar minggu atau pasar malam,
Kalau nakkan buah-buahan mereka pergi ke Bukit Payung, sekarang terdapat di bandar dan juga di kampung. hehehe.

Nl said...

salam pak ngah ...

ikan haruan tu pun nampak sedap huhuu

tapi saya tak suka makan hehee


ikan sepat oklah... sebab ia comel.... goreng garing2 whoalaaaaa.....

Leenoh said...

Salam Naqeeb.

Sepat banyak jenis tetapi yang paling seksi ialah sepat ronggeng...he3

sepuluh said...

SALAM NUSANTARA Tuan,

"MUSIM MENiMBA" memang nostalgia... huhuuu

Salam dari anak cucu KG NASAB, KUALA KURAU , PERAK DARUL RiDZUAN.

Terima kasih.





:)
FB > Mahadher Cucu Tok AWang .

OPS KERiS .