Sunday, January 23, 2011

Kemarau panjang tahun 60an di Kedah

Salam semua.

Aku ingin mengimbau kembali sejarah hidup yang pernah aku lalui ketika remaja dahulu, mungkin melalui artikel yang agak samar ini dapat juga memberi manfaat kepada mereka yang masih muda untuk mengetahui mengenai sejarah lampau yang pernah berlaku di tempat sendiri.

Negeri Kedah atau dikenali juga dengan panggilan negeri jelapang padi adalah salah sebuah negeri yang menghasilkan padi terbanyak di Malaysia, pada awal tahun 60an dan sebelumnya tanaman padi di Kedah masih dikerjakan secara tradisi dan ditanam hanya sekali dalam tempoh setahun atau hanya satu musim sahaja setahun kerana petani hanya mengharapkan air hujan sahaja untuk memenuhi keperluan air di sawah mereka, pada ketika ini kehidupan petani rata-rata hidup dalam keadaan kemiskinan. Tahun 60an merupakan tahun peralihan di antara mengerjakan sawah secara tradisi dan cara moden, untuk melaksanakan Rancangan Perairan Muda (MADA) kerajaan Malaysia terpaksa membina beberapa ampangan air di Kedah manakala kerajaan Kedah pula terpaksa mengorbankan kawasan tanahnya dalam keluasan yang banyak untuk diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina ampangan tersebut.
DAHULU
Akhirnya sekitar akhir tahun 60an/awal 70an tanaman padi dua kali setahun atau tanaman dua musim dimula dan direalisasikan, setelah rancangan ini dilaksanakan kelihatan jelas perubahan kehidupan petani Kedah di kawasan MADA menjadi lebih baik dan dapat mengurangkan kemiskinan. Pada ketika inilah Pak Tani mulai meninggalkan tanaman padi secara tradisi dan membiasakan diri pula dengan peralatan moden, paralatan terawal ialah traktor dan mesin tuai. Kemudian barulah timbul berbagai peralatan yang baru yang mampu dibeli oleh petani.
KINI
Beberapa tahun sebelum tanaman padi dua musim berlaku kemarau panjang yang menambahkan keperitan kehidupan petani yang sememangnya sedang hidup dalam keperitan, bagai jatuh ditimpa tangga pula . Pada ketika itu saya hanya memerlukan secupak beras atau lebih sedikit dan wang sebanyak $5.00 ( RM5.00 - Lima ringgit sahaja) untuk perbelanjaan selama seminggu di mana pada masa itu saya terpaksa tinggal di rumah sewa yang jaraknya tidak berapa jauh dari sekolah , keinginan tinggal di asrama memang tertanam di hati tetapi apa akan daya yuran bulanannya tidak mampu disara oleh keluarga. Oleh itu terpaksalah berdikari kerana cara itu lebih menjimatkan perbelanjaan.

Ongkos sebanyak $5.00 itu memang mencukupi kerana pada zaman itu sepuluh ekor ikan kembung cuma harganya lebih kurang 10 sen dan seekor ikan terbuk yang seberat hampir sekilo harganya di antara 20 atau 30 sen sahaja, tambang bas untuk murid sekolah hanya 02 sen untuk 1km. ( kalau tidak silap ingatan saya ).

Pada tahun tersebut kemarau bermula kebetulan pada masa itu sesetengah petak bendang padinya belum menjadi susu, panas terik menyebabkan biji-biji padi menjadi kosong kerana ketiadaan air untuk menjana susu di dalam buah padi tersebut, jika panas atau kemarau berlaku ketika biji padi sudah dipenuhi dengan susu, susu itu akhirnya menjadi keras dan masak, masak sebagai padi yang sihat, apabila dibuang kulitnya, padi tersebut dikenali pula sebagai beras. Oleh sebab kemarau berlaku lebih awal maka pokok padi tidak sempat menghasilkan buahnya, hasilnya berupa hampa atau kulit padi yang kosong sahaja. Kemarau tersebut menyebabkan padi tidak dituai dan dibiarkan menjadi makanan kerbau dan lembu kerana pokok padi hanya mampu menghasilkan daun dan hampanya sahaja.

Kehidupan kami pada ketika itu amatlah susah dan merisaukan, saya juga turut risau sama ada dapat meneruskan persekolahan atau sebaliknya. Untuk mengatasi masalah petani pada ketika itu pihak kerajaan telah merancang suatu projek bantuan dengan mewujudkan pekerjaan khas untuk petani yang terlibat terutamanya di kawasan Kota Setar. Iaitu projek membina jalan yang merentasi Kampung Gelam dengan kampung Hutan Gelam, jalan tersebut dapat menghubungi di antara Jalan Langgar-Pendang dengan Jalan Datuk Kumbar. ( kalau tidak salah ingatan saya ).

Kami bersyukur dan bernasib baik kerana salah seorang ahli keluarga mendapat pekerjaan di situ. Perbelanjaan keluarga bernafas semula walaupun nafasnya terkemut-kemut, kesinambungan persekolahan saya juga tidak terjejas, ahli keluarga yang menyertai projek pembinaan jalan itu ialah abang sulung saya, beliau bekerja sebagai buruh sama seperti orang lain juga kerana itulah sahaja kerja yang disediakan iaitu semata-mata ingin memberi bantuan kepada mereka yang terlibat dengan kemarau panjang tersebut, projek itu mungkin diwujudkan untuk mengelakkan daripada memberi bantuan wang secara percuma tanpa apa-apa tugas. Pada zaman tersebut tiada peruntukan bantuan yang diluluskan seumpama itu dan tidak juga wujud istilah ketirisan dan kebucuran seperti yang sedang berlaku kini.

Terima kasih kerana beliau berkorban tenaganya semata-mata untuk melepaskan daripada cengkaman kesusahan dan kemiskinan serta keperitan hidup keluarga pada ketika itu.

Catatan:
Sekiranya terdapat fakta yang salah atau terdapat fakta yang perlu ditambah diharap anda memberi ulasannya di ruangan ulasan/komen.

Sekian..wallahu aklam.

2 comments:

Anonymous said...

awal tahun 70an adalah masa yang cukup mengimbau kenangan zaman budak sayu bila baca entry ni terasa macam nampak suasana semasa tu zaman tu kesusahan sudah jadi rutin dan tak pernah merintih diatas kesusahan yang dihadapi.Tapi laaa niii paneh sikit dah mengeluh

Leenoh said...

Terima kasih kerana anda sudi membacanya.