Thursday, April 19, 2012

Permohonan orang jahil pun dimakbulkan Allah.

Salam semua.
Allah Maha Berkuasa, mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazabkan sesiapa yang Dia kehendaki serta memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, setiap hamba-Nya tiada seorang pun yang boleh mendabik dada mengaku dirinya terbaik berbanding dengan orang lain, sebaliknya setiap orang sentiasa merasai bimbang kalau-kalau dirinya dimurkai Allah, perasaan itu telah mendorong mereka tekun mengabdikan diri kepada Allah dan bersangka baik di antara satu sama lain dengan saling berdoa memohon keampunan Allah dengan lafaz " Allahummaghfir lilmuslimin wal muslimat....." 

Merujuk kepada "Permohonan orang jahil pun dimakbulkan Allah", jahil yang dimaksudkan di sini menjurus kepada kurang menguasai ilmu, kalau pun memiliki ilmu hanya ditahap yang rendah, namun demikian, jika ada kepercayaan dan iman terhadap Allah  Pencipta alam ini, di sana masih ada kasih sayang Allah terhadapnya, doa  dan permohonannya akan dimakbulkan Allah seperti orang lain jua, asal ada ikhlas di dalam dirinya.

Cerita ini merujuk kepada suatu kisah benar yang berlaku kepada seorang pemuda yang pada ketika itu masih jahil atau banyak perkara yang belum diketahuinya,  perkara-perkara seperti solat hajat, istikharah, solat sunat tasbih dan lain,maklumlah ketika itu beliau masih muda.

Setelah selesai peperiksaan di sekolahnya, dalam masa menunggu keputusan peperiksaan  beliau merasai risau dan bimbang akan masa depannya seandainya peperiksaan beliau duduki itu berakhir dengan kegagalan, beliau duduki dua jenis peperiksaan  dalam tahun tersebut, satu dikendalikan oleh kerajaan Malaysia (peperiksaan awam)  dan satu lagi dikendalikan oleh kerajaan negeri, saban hari beliau tidak dapat tidur pada waktu malam kerana risau memikirkan masa depannya, beliau seorang anak kampung dari keluarga yang miskin pula.
Walaupun beliau seorang yang dikatakan masih jahil tetapi tidak mengabaikan solat fardu dan tidak melanggari larangan Allah, jika pun dilanggarinya hanyalah pada perkara-perkara dosa kecil.

Untuk menghilangkan kerisauan itu beliau mengadu kepada Allah dengan mengerjakan solat sunat, bukan solat sunat Hajat, Istikharah atau lain-lain solat sunat yang disebut namanya, sebaliknya beliau menunaikan solat sunat mutlak sahaja,  pada ketika itu beliau  sendiri pun tidak mengetahui bahawa solat sunat yang dilakukannya itu ianya  dinamakan solat sunat mutlak.

Solat sunat itu dilaksanakannya pada waktu tengah malam, beliau memohon dan merayu di hati ketika sujud supaya Allah memberi maklumat kepadanya sama ada beliau lulus atau tidak bagi kedua-dua peperiksaan tersebut, harapannya kalau mengetahui perkara itu  kerisauan akan dapat dikurangkan dan jiwanya akan tenang, beliau menunaikan solat sunat itu beberapa kali semuanya ditunaikan pada waktu tengah malam, setiap kali sujud akhir beliau merayu pada Allah supaya memberi pertunjuk dalam hal tersebut, rayuannya bukan sedikit malah sehingga menitiskan air mata membasahi kain sejadah.

Akhirnya pada suatu malam beliau bermimpi berenang menyeberangi sebuah sungai yang amat luas dan di tengah sungai itu pula terdapat sebuah anak pulau kecil dan sepohon pokok yang tinggi tumbuh di pulau itu, sedang  beliau berenang itu beliau terfikir sama ada beliau akan sampai ke seberang yang ditujui, ketika hampir sampai pulau kecil itu beliau berasa sangat letih dan mengambil keputusan berhenti sebentar untuk memulihkan dan mengembalikan tenaga agar dapat sampai ke seberang sana, semasa  berehat di pulau kecil itu beliau ingin mengetahui baki jarak di antara pulau kecil itu dengan tebing di seberang sana, beliau pun memanjat pokok itu sehingga ketinggian yang membolehkan beliau  melihat tebing di seberang  sana, kemudian beliau turun dari pokok itu untuk terus berenang menuju ke tebing yang ditujui, beliau pun berenang dengan tekun dan yakin, sebaik sahaja tiba di tebing beliau dengan cepat dan gopoh gapah  naik ke atas tebing dan berdiri serta beralih  ke belakang dan berteriak atau melaungkan " Aku lepas kedua-duanya" , maksudnya beliau berjaya berenang sehingga ke anak pulau tadi dan dari anak pulau itu ke tebing yang ditujui. Setelah teriakan itu beliau pun terjaga dari tidur.Selepas bangun dari tidur beliau merasai dua kali menyeberang itu, iaitu dari tebing ke pulau dan dari pulau ke tebing yang satu lagi itu sebagai simbolik kepada dua peperiksaannya.

Selepas peristiwa bermimpi itu kehidupannya telah banyak berubah, beliau tidak lagi risau dan bimbang, malah beliau merasai yakin bahawa kedua-dua peperiksaan yang didudukinya  itu akan  lulus.Kini beliau tidak risau lagi dan hidup tenang dan aman damai sehingga keputusan diisytiharkan, memang benar beliau lulus kedua-duanya.Demikianlah kisah pemuda yang saya kenali.

Catatan:
Doa di dalam solat Istikharah atau doa di dalam solat seperti yang diceritakan itu biasanya dapat dirasai dan diketahui melalui mimpi seperti berlaku pada pemuda dalam artikel ini  atau  tercetus rasa yakin di hati, pertunjuk itu akan datang  selepas memohon dan merayu  berkali-kali serta bersungguh-sungguh kepada Allah.

Sekian...wallahu aklam. 

No comments: