Wednesday, September 17, 2008

Menguruskan kewangan rumahtangga secara ihsan.




Assalaamualaikum Warahmatullaahi Wa Barakaatuh.
Rumahtangga merupakan suatu unit yang amat penting di dalam sesuatu masyarakat sejak zaman dahulu lagi, Jika tidak dikendalikan dengan betul dan jujur akan menghasilkan penghuninya yang tidak akan mengecapi dan merasai kebahagian yang hakiki, berkemungkinan juga benih kucar kacir dan pergaduhan akan tumbuh subur di dalam benak hati penghuni rumah tersebut. Rumahtangga yang kucar kacir akan mewujudkan masyarakat sesuatu negara itu turut menjadi kucar kacir. Rumahtangga yang aman bahagia adalah asas kepada keamanan negara.

Apakah yang dimaksudkan dengan rumahtangga itu, secara ringkas rumahtangga bermaksud sebuah famili yang mungkin terdiri dari suami dan isteri atau suami, isteri dan anak-anak atau di sana terdapat juga ibu dan bapa yang telah lanjut usia. Ketua rumahtangga yang sempurna ialah suami atau bapa kepada anak-anak tadi. Dalam perbincangan ini saya ingin mengutamakan fokus kepada pengurusan kewangan rumahtangga yang suami isteri bekerja makan gaji sahaja terlebih dahulu manakala dalam hal mendidik anak-anak dan lain-lain bidang tidak disentuh dalam tajuk ini.

Dikatakan atau dilabelkan bahawa orang zaman sekarang suami isteri bekerja dan orang zaman dahulu isteri tidak bekerja sebenarnya anggapan itu tidak tepat kerana memang sejak zaman dahulu lagi masyarakat kita berganding bahu suami isteri mencari rezek i untuk kehidupan harian mereka, cuma jenis pekerjaan sahaja yang berbeza tetapi hasil pendapatan tetap datang daripada usaha sama, tegasnya suami ada pendapatan dan isteri juga ada pendapatan, sebagai contoh yang paling mudah seorang petani menyara hidup rumahtangga mereka dengan hasil tani yang mereka sama-sama usahakan. Bertani memerlukan tanah untuk diusahakan, tanah yang dimiliki mereka usahakan secara kongsi iaitu tanah milik suami beberapa ekar dan tanah milik isteri juga terdapat beberapa ekar, ini bermakna suami isteri mempunyai pendapatan. Pendapatan tersebut mereka belanjakan secara bersama dan muafakat, muafakat inilah membawa kehidupan mereka penuh dengan berkat.
Dalam ajaran Islam kewajipan menguruskan rumahtangga adalah Kewajipan suami.
Sebab itu dalam pembahagian harta pesaka atau faraid lelaki diberi habuan yang lebih berbanding dengan saudara perempuan kerana perempuan akan ditanggung oleh suami mereka apabila berumahtangga nanti, jika belum berkahwin dan ketiadaan ibubapa maka saudara lelaki bertanggungjawab menguruskan keperluan mereka, kadang-kadang terdapat suami atau lelaki tidak bertanggungjawab, kelemahan ini bukan kelemahan ajaran Islam tetapi kelemahan dan kesalahan ini perlu dipertanggungjawabkan kepada suami yang zalim tersebut, suami begini boleh dianggap jahil yang amat sangat kerana yang dizaliminya itu adalah anak isteri sendiri, perbuatan tersebut adalah diangga p menyalahgunakan kuasa, kuasa y ang dipinjamkan sementara oleh Allah seharusnya diuruskan dengan adil dan bertanggungjawab tetapi diingkarinya, suami wajib menanggung perbelanjaan dan membuat urusan lain yang berkaitan dengan rumahtangga tetapi tanggungjawab ini tidak beku atau statik, sebaliknya boleh berubah apabila isteri dengan sukarela membantu sama ada menguruskan makan minum dan membantu dalam hal kewangan iaitu sama-sama membina rumahtangga yang bahagia. Dalam hal ini suami sebagai ketua rumahtangga wajib mengepalai dan menguruskan tanggungjawabnya secara adil dan ihsan. Allah Taala sentiasa memerhatikan kehidupan harian manusia termasuk manusia sebagai suami. Jika suami-suami merasai Allah sedang memerhati dan menilainya maka urusan pentadbiran rumahtangga akan menjadi licin dan lancar seperti yang diperintahkan Allah. Itulah yang dikatakan pengurusan secara ihsan.


( Jauhilah sifat mementingkan diri dan kedekut bak kata pepetah umpama tangkai jering, sifat ini tidak disukai manusia dan Allah)

Bagaimanakah seharusnya menguruskan kewangan bagi mereka yang bekerja makan gaji suami isteri. Perkara ini sangat penting difikirkan bersama supaya kehidupan kita menjadi bersih dan diredai Allah. Tidak dapat dinafikan di dalam masyarakat kita terdapat suami yang salah guna kuasa di dalam urusan mentadbirkan kewangan rumahtangganya sendiri, mengapakah perkara ini boleh berlaku, adakah mereka yang terlibat tidak mempunyai pelajaran atau pengetahuan, tidak mungkin sedemikian kerana yang terlibat ada yang berpelajaran tinggi dan ada yang sederhana pengetahuan mereka, mungkinkah ilmu pengetahuan mereka sekadar di bibir sahaja dan tidak mampu menghayatinya di dalam kehidupan harian bersama keluarga atau ilmu yang berupa cakap tidak serupa bikin sahaja, ini amat dikesali, Sehingga ada juga berlaku atau kedapatan suami memerintahkan isteri menyerahkan wang gaji kepadanya tanpa kerelaan isteri untuk dia menguruskan wang tersebut sehingga tidak memberi peluang kepada isteri untuk menguruskannya sendiri kononnya isteri wajib taat suami tanpa merujuk kepada asal perintah tersebut.
Sebagai seorang manusia yang telah akil baligh atau mukallaf isteri berhak membuat keputusan dan menguruskan wang atau hartanya secara syura bersama suami bukan diserahkan sepenuhnya kepada suami dan kemudian isteri menjadi seolah-olah seorang yang muflis. Apabila isteri memerlukan wang, isteri terpaksa meminta-meminta daripada suami, permintaan isteri kadang-kadang gagal, sehingga perbelanjaan untuk dibelanjakan di tempat kerja pun terpaksa hulur tangan meminta-minta dari suami. Kalau keadaannya begitu bagaimana isteri hendak membantu ibubapa mereka sekiranya mereka memerlukan bantuan dan pertolongan atau apakah jaminan masa depan isteri jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap mereka, bercerai semasa hidup atau bercerai kerana kematian semuanya ini boleh berlaku. Doa kita semoga perkara yang tidak baik itu tidak berlaku pada diri kita . Kita merancang tetapi Allah juga merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Kita merancang tetapi Allah yang menentukannya.

>>> Dalam hukum Islam adalah haram mengambil wang (harta) orang lain tanpa kerelaan dan keizinan walau pun wang itu kepunyaan isteri atau suami sendiri. <<<

Sebaliknya terdapat juga isteri yang bekerja enggan membantu suami dengan alasan itu adalah tanggungjawab suami pada hal mereka keluar bekerja atas keizinan suami. Tujuan asal dibolehkan isteri bekerja ialah untuk membantu suami atau untuk membina rumahtangga yang bahagia. Maka mereka perlulah sama-sama berkorban menghadapi kesusahan mendidik anak dan sebagainya atas sebab suami isteri bekerja itu. Bertolak ansur dan bertimbangrasa merupakan kunci utama untuk membuka pintu kejayaan dan kebahagiaan.

Bagi mereka yang sama-sama bekerja, isteri boleh menyumbangkan kadar tertentu wang hasil titik peluhnya untuk membantu meringankan perbelanjaan suami pada tiap-tiap bulan dan baki pendapatan isteri hendaklah diuruskan sendiri oleh isteri secara bebas dan mengikut ajaran Islam.

Terdapat juga orang Melayu Islam kurang faham tentang konsep adil dan taat, Adil sebenarnya membawa maksud meletakkan (menguruskan) sesuatu kena pada tempatnya. misalnya songkok dipakai di kepala, baju kebaya untuk perempuan dan seumpamanya manakala taat bermaksud patuh kepada perintah atau perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Isteri wajib taat kepada suami, anak wajib taat kepada ibubapa manakala rakyat wajib taat kepada pemerintah. Dalam hal ini Nabi bersabda yang bermaksud " Wajib mendengar perintah dan taat perintah ke atas seseorang muslim sama ada pada perkara disukai atau dibenci ( maka) apabila disuruh pada perkara maksiat maka tidak wajib dengar dan tidak wajib ditaati"

Ramai orang keliru dalam hal taat suami atau taat ibubapa atau taat kepada sesiapa sahaja. Perkara yang perlu diperjelaskan di sini ialah sebagai orang Islam kita perlu ingat bahawa perintah manusia tidak boleh mengatasi perintah Allah. Maka sebab itulah kita sering mendengar peringatan yang diungkapkan di atas mimbar Jumaat bahawa " apabila berselisih dalam sesuatu hal hendaklah kembali (merujuk) kepada ajaran Allah dan rasul".
Arahan atau suruhan yang bertentangan dengan ajaran Islam dikategorikan sebagai dosa atau maksiat kerana semua manusia wajib patuh perintah Allah, sama ada yang memerintah atau yang diperintah, sama ada suami atau isteri semuanya akan dihisab pada Hari Akhirat nanti. Patuh pada perkara yang bertentangan dengan prinsip Islam tidak lagi dikira adil atau taat.

( Apakah pandangan/komen anda ? )


>>> Wassalam <<<






1 comment:

Leenoh said...

Suami dan isteri perlu berfikiran terbuka dan menghormati ilmu yang dimiliki dan merealitikan ilmu dengan kognitif, afektif, psikomotor, amalan dan penghayatan.

Kedua-duanya jangan fanatik kepada resam suami atau resam isteri yang diamalkan tanpa kritis dan membuat semakan semula,

Konsep adil perlu dipisahkan dengan konsep saksama kerana ianya berbeza.Adil adalah melakukan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Wassalam.