Tuesday, September 23, 2008

Sembang-sembang Mengenai Raya.




Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. (Salam sejahtera)

Pada hari ini dan pada saat sembang ini dimulakan kita masih menjalankan ibadat berpuasa, Saya menganggap tulisan ini sebagai sembang-sembang atau berbual-bual ketika bersantai di Balai Lintang sahaja, sesuai dikatakan demikian kerana kandungannya yang tidak teratur dan tidak lengkap tetapi masih bermanfaat jika perlu maklumat lanjut pembaca perlulah merujuk kepada kitab-kitab yang ada tersimpan di rumah masing-masing, jangan hendaknya tinggal sebagai sembang berkekalan dan berterusan, biarlah ianya berubah menjadi ilmu yang berguna kepada kita.

Allah menjadikan manusia terdiri dari berbagai bangsa dan warna kulit dengan itu wujudlah berbagai adat dan perayaan dan juga kepercayaan dan perkara ini saling pengaruh mempengaruhi di antara satu sama lain. Dalam sembang ini saya ingin khususkan kepada adat, perayaan dan kepercayaan yang berlandaskan ajaran Islam.

Kita berpuasa sepanjang bulan Ramadan ini adalah sebagai menyahut dan mematuhi perintah Allah yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis. Sah,wajib,sunat,makruh dan batal puasa, semua perkara tersebut kita rujuk kepada al.Quran dan al.Hadis supaya puasa kita diterima Allah. Bagaimanakah cara kita menyabut Hari Raya?. Adakah kita juga berbuat demikian, kalau tidak , mengapakah pula terjadi begitu?.

Bagaimanakah kepatuhan kita kepada perintah Allah dalam melaksanakan ibadat Hari Raya?
Adakah kita berhari raya seperti yang dikehendaki oleh Rasululluh.s.a.w. Adakah aktiviti/amalan (pengisian) sambutan Hari Raya itu kita merujuk kepada Sunnah Nabi? Adakah sebenarnya kita beraya atau berpesta selepas sebulan berpuasa? Adakah beraya sampai beberapa minggu?,Perlukah lagu hari raya untuk mengindahkan Hari Raya atau pertunjukan hiburan yang tiada di dalam panduan berhari raya itu diadakan atas nama sambutan Hari Raya , kalau tidak perlu, mengapa dimasukkan dalam agenda sambutan Hari Raya. Adakah kita memerlukan mercun?, yang mana saban tahun kita menyaksikan kanak-kanak sering menjadi mangsanya.

Adakah kita mempunyai dua cara menyambut Hari Raya ?. Semuanya ini memerlukan jawapan yang tepat dan jawapan tersebut hendaklah dirujuk kepada al.Quran dan as.sunnah. Kalau tidak, ibadat Hari Raya akan menjadi adat yang bercampur aduk dan akhirnya anak cucu kita akan mewarisi adat perayaan rojak ini tanpa disedari mereka yang mana satukah ajaran Islam yang hakiki. Oleh itu kehidupan mereka juga turut jadi rojak dan tercemar,Sekali lagi kehidupan bersih menjadi angan-angan sahaja akibat mengabaikan ajaran yang dianjurkan Islam.

Jika kita ragu-ragu tentang hukum atau cara berhari raya atau berselisih faham tentang apa pun Allah menganjurkan kita supaya kembali kepada Allah dan rasulnya. Allah berfirman dalam surah An.Nisak ayat (59) yang bermaksud :"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul dan orang-orang yang menguruskan pekerjaan dari kalangan kamu.Jika kamu berbantah-bantah tentang suatu (perkara), hendaklah kamu kembali kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan".

Untuk kembali kepada ajaran Islam ( ajaran Allah ) tentang cara kita menyambut hari raya ini tentulah kita perlu perhalusi satu persatu semua amalan yang berkaitan dengan Hari Raya yang dilakukan oleh sesetengah masyarakat kita kebelakangan ini, senaraikan semua amalan dan membuat penilaian ke atas amalan tersebut serta kategorikan amalan itu berdasarkan keterangan al.quran dan al.Hadis. mana-mana amalan yang dikategorikan salah dan bidaah yang buruk hendaklah ditinggalkan, dilarang dan dicegah daripada meneruskan amalan tersebut.
Kalau pencemaran ini hendak dihapuskan pelan tindakan yang konkrit mestilah disediakan terlebih dahulu dan bertindak secara hikmah oleh mereka yang dipertanggungjawabkan. Kalau dibiarkan amalan karut atau amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam ini diamalkan ketika menyambut Hari Raya dan atas nama sambutan Hari Raya. Perbuatan tersebut akan mencemarkan ibadat tersebut serta merugikan umat Islam itu sendiri.
Amalan campuraduk ini mungkin mampu menyelewengkan ajaran Islam pada masa akan datang sehingga anakcucu kita tidak mampu lagi membezakan antara ajaran Islam yang sebenar dengan yang didatangkan untuk berseronok-seronok pada Hari Raya. Hakisan ajaran Islam akan berlaku berterusan jika tiada siapapun di antara kita yang mencegahnya.

Nampaknya kecelaruan dalam sambutan Hari Raya ini telah sampai ke tahap seperti sambau dalam petak padi, pokok sambau dan pokok padi kelihatan serupa sahaja, tidak dapat dikenali di antara satu sama lain, melainkan setelah kita menghampirinya barulah disedari bahawa sebahagian besar tanaman di dalam petak padi itu adalah sambau yang menjejaskan hasil petani. sebelum diteliti semua pihak mengenalinya sebagai padi termasuk petani sendiri. Sambau ini wajib dihapuskan. Begitulah juga kepercayaan karut dan amalan salah dalam menyambut Hari Raya ini wajib dihapuskan. Dengan cara ini barulah adat berhari raya itu menjadi ibadat yang diterima Allah. Maka berhasillah yang dikatakan Minal Aidin Wal Faizin (kejayaan), kalau tidak, akan mendapat sebaliknya iaitu Minal Aidin Wal Khasirin (kerugian)

Kalau merujuk kepada ajaran Islam (syariat Islam) sebelum raya kita dikehendaki melihat anak bulan syawal atau mencukupkan puasa 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan seperti yang dilakukan oleh pihak berkuasa pada setiap tahun. Dalam hal ini kita hanya menunggu pengisytiharan tarikh Hari Raya sahaja seperti juga tarikh kita berpuasa berdasarkan pengisytiharan pihak yang berkuasa.

Perkara yang disuruh kita lakukan pada Hari Raya ( Raya Puasa ) ialah:
1. Malam Raya bertakbir tempohnya sehingga sebelum solat Hari Raya.
2. Pagi Hari Raya bersihkan diri dan mandi sunat.
3. Solat sunat Hari Raya.
4. Mengeluarkan Zakat Fitrah bagi mereka yang diwajibkan.
5. Banyakan bersedekah.
6. Ziarah dari rumah ke rumah.
7. Sediakan jamuan untuk tetamu sekadar yang mampu.
8. Bermaaf maafan.
9. Menziarahi kubur.

Apakah yang disuruh kita lakukan pada hari berikutnya?. Pada hari berikutnya iaitu pada 2hb.Syawal kita disuruh berpuasa sunat sehingga 7hb.Syawal ( boleh pilih mana-mana enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1hb.Syawal diharamkan puasa ). Walau pun boleh pilih pada hari yang lain tetapi pada 2hb sehingga 7hb.Syawal itu adalah masa yang paling afdal(paling baik), sekiranya kita teruskan puasa selama 6 hari itu dikatakan seolah-olah kita berpuasa sepanjang tahun, sebaliknya kita pinggirkan perintah ini dan kita utamakan yang kurang manfaat, adakah pilihan ini bijak dan tepat.

Takbir Aidil Fitri bermula pada malam Hari Raya dan berakhir sebelum solat sunat Hari Raya . Kita tidak boleh pandai-pandai bertakbir sampai berminggu-minggu atau lebih daripada itu, nampaknya perkara ini dipatuhi manakala takbir bagi Hari Raya Haji ( Aidil Adha ) masa disunatkan bertakbir ialah mulai malam raya atau 10hb.Zulhijjah sehingga sebelum solat Asar 13hb.Zulhijjah. Perkiraan haribulan hijrah ( hari dan bulan ) ialah bermula dari malam iaitu selepas terbenam matahari, contohnya hari Jumaat bermula dengan malam Jumaat kemudian barulah datangnya Hari Jumaat dan seterusnya malam Sabtu kemudian hari Sabtu. Malam bermula apabila terbenam seluruh bulatan matahari sehingga terbit fajar Siddik. Pagi bermula sebaik sahaja waktu subuh sehingga sebelum jam 12.00 tengah hari dan seterusnya bermula pula waktu petang.
Di mana sebaik sahaja terbit matahari di sana ada dua solat sunat iaitu solat sunat Isyrak kemudian solat sunat Duha, jika hendak melaksanakannya dinasihatkan supaya merujuk kepada panduan yang sempurna.



( ADAKAH KITA MENYAMBUT HARI RAYA ATAU KITA BERPESTA SELEPAS SEBULAN BERPUASA ? )

Fikirlah sendiri, tepuk dada dan tanyalah iman.

Panduan ringkas solat sunat Aidil Fitri.
1. Niat. Sahaja aku bersolat sunat aidil fitri dua rakaat (ikut imam) kerana Allah Taala.
kemudian takbiratulihram ( lintasan di hati lafaz niat tadi semasa takbiratul ihram) kemudian selepas doa iftitah diikuti dengan takbir 7 kali dan diselang seli dengan tasbih sebanyak 6 kali, kemudian barulah baca fatihah dan ayat( surah al.Akla). Selepas itu rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan bangun berdiri betul, selepas berdiri betul dan takbir intiqal , takbir lagi 5 kali dan juga diselang seli dengan tasbih 4 kali, kemudian baca fatihah dan surah al.Ghasyiah, selepas itu rukuk dan seterusnya sehinggalah baca tahiyat akhir dan beri salam. ( Lafaz tasbih secara ringkas:" Subhanallah walhamdulillah walailaha illallahu wallahu akbar" )

2. Selepas solat barulah khatib membaca khutbah. Kalau solat ditunaikan bersendirian tidak perlu membaca khutbah. >>> Wallahu aklam <<< ( Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin ).

. Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

No comments: