Tuesday, July 12, 2011

Terhutang budi, tergadai negara.


Salam semua.

Artikel kali ini ingin mengulas mengenai budi. Budi yang dimaksudkan di sini ialah kebaikan yang diaplikasikan seseorang terhadap seseorang yang lain. Budi atau jasa akan berlaku sekiranya terdapat dua pihak iaitu pemberi dan penerima, penerimalah yang berada di pihak yang terhutang budi.

Orang berbudi, kita berbahasa.
Orang memberi kita merasa.

Sepatutnya yang terhutang budi tidak terikat dengan pihak yang menabur budi kerana yang menabur budi seharusnya berlaku di kalangan mereka yang jujur dan ikhlas, bertujuan memberi khidmat dan membantu semata-mata, sekiranya tidak ikhlas seharusnya tidak dinamakan budi atau jasa, sebaliknya sesuai dikenali sebagai udang di sebalik batu iaitu orang berkenaan menabur budi dengan tujuan mendapatkan keuntungan untuk dirinya pada suatu ketika nanti. Orang demikian pada kebiasaannya akan merangsang supaya penerima budi ini terasa terhutang budi kepadanya.Tetapi rasionalnya tidak perlu terikat dengan budi dan jasa tersebut melainkan kepada mereka yang ikhlas dan jujur, situasi terikat dengan orang yang jujur tidak akan merugikan atau teraniaya.

Kekadang situasi terhutang budi ini mempengaruhi sesuatu keputusan dan akhirnya keputusan yang dibuat itu tidak tepat dan tidak berkualiti. Alasan di atas adalah sesuai dan baik untuk disematkan di dalam jiwa manusia sehingga ianya membentuk suatu sikap yang baik dan rasional. Dalam membuat sesuatu keputusan seharusnya kembali kepada rasionalnya terlebih dahulu dan dibuat keputusan dengan minda terbuka, kreatif dan kritis terhadap situasi sama ada di dalam apa aspek sekali pun dan termasuklah memberi sokongan kepada mana-mana pihak dalam berpolitik.

Kalau minda terikat dengan rasa terhutang budi maka sukar bagi seseorang untuk mengundurkan atau membebaskan diri daripada menyokong gagasan lamanya, sebaliknya mereka terpaksa terus menyokong walaupun perjuangan telah pun tersasul dan tersasar dari matlamat asalnya atau menyedari matlamatnya tidak selari dengan kepercayaan dan aqidah dirinya, akhirnya mereka akan turut karam bersama tanpa rela. Malah keputusan yang dibuat dalam keadaan terpengaruh dengan terhutang budi, mungkin akan tergadai negara. Kepincangan yang sedang berlaku terpaksa ditelan pahit dan masamnya.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: