Tuesday, August 11, 2009

Kempen Pilihan Raya- Permatang Pasir.


#####

Salam Semua.

Pilihan raya DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang ( 25 Ogos 2009 ) dan penamaan calon ( 17 Ogos 2009 ) demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beritanya telah mula tersebar sama ada di ruang maya , akhbar tempatan atau lain-lain, dengan sekelip mata sahaja ianya telah tersebar ke seluruh Malaysia, malah seantero dunia. Demikianlah kecanggihan manusia zaman ini, namun demikian manusia masih belum sempurna lagi, masih ada kekurangan yang memerlukan pesan memesan dan ingat mengingat di antara satu sama lain.

Pilihan raya seperti ini akan berlaku lagi pada masa akan datang di mana-mana tempat atau kawasan yang akan ditakdirkan Allah, sama ada pilihan raya besar atau kecil kerana ini telah menjadi lumrah dan cara hidup kita di Malaysia dan di dunia kerana kaedah ini telah diterima pakai oleh masyarakat dunia maka kita juga tidak terkecuali mengamalkannya.

Pada kesempatan ini penulis ingin mengingatkan diri sendiri dan saudara Islam yang lain , mengenai kecintaan kita kepada negara dan akhlak ketika berkempen. Menyintai negara sebahagian daripada iman, menjaga negara dan rakyatnya adalah suatu kewajipan tetapi hendaklah akur dengan hukum yang telah ditetapkan Allah, Islam tidak menghalalkan cara, Penulis hanya melepasbebaskan makluman ini di ruang maya untuk dibaca oleh sesiapa sahaja, dengan itu dikira telah melunaskan kewajiban yang sewajarnya sebagai rakyat negara yang tercinta ini.Sebab setiap diri orang Islam mempunyai hak terhadap dirinya, terhadap Allah , terhadap ahlinya (masyarakatnya) , maka kita perlulah menunaikan hak dan tanggungjawab itu kepada semuanya. Jika anda telah jemu membacanya, mungkin anda telah memahaminya dan telah mempunyai pengetahuan mengenainya maka tidak perlu lagi meneruskan bacaan bagi mauduk ini kerana tulisan ini hanya sekadar ingat mengingat sahaja. Penulis amat menghormati anda semua.

#####

Untuk Renungan.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari ibnu Umar katanya: Telah aku dengar akan Rasulullah.s.a.w.bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin (pengurus) dan setiap pemimpin akan ditanya akan urusannya, maka imam (raja/ketua) itu pemimpin bagi rakyatnya dan ianya akan ditanya akan urusannya berkenaan dengan rakyatnya dan tiap-tiap lelaki itu pemimpin bagi ahlinya dan ianya akan ditanya akan urusannya, dan tiap-tiap orang perempuan itu pemimpin bagi rumahtangga suaminya dan ianya akan ditanya akan urusannya. dan khadam itu pemimpin bagi harta benda tuannya dan ianya akan ditanya akan jagaannya, dan setiap kamu pemimpin dan kesemua kamu akan ditanya akan urusan kamu sekalian".

#####

Sebagai orang Islam kita berkewajiban menjaga dan mematuhi hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah. Sama ada dalam bidang percakapan atau tingkah laku yang lain. Berlebih-lebih lagi kempen pilihanraya sama ada di hadapan khalayak atau bersama media bukanlah seperti murid-murid membuat karangan untuk diperiksa oleh guru. Murid-murid yang terlibat dengan tugasan membuat karangan akan membaca soalan dengan teliti sehingga faham, kemudian mulalah mereka mencari isi untuk dikembangkan. Isi rekaan tersebut dikembangkan sehingga mencapai kehendak soalan dan menepati jumlah perkataan yang dikehendaki, disamping menjaga tata bahasa, gaya bahasa dan perenggan yang sesuai dengan tahap atau tingkatan mereka.

Sekiranya karangan tersebut dikhayal dan dikarangkan oleh mereka sendiri (bukan meniru), insya Allah karangan tersebut akan mempunyai nilai yang tinggi dan akan mendapat markah yang tinggi dan cemerlang. Walau pun isi karangan tersebut hanya khayalan dan pembohongan sahaja kerana sememangnya itulah sebenarnya yang hendak dilihat dan disuruh pamer.

Demikianlah juga di dalam pertandingan berpidato, cuma selain daripada isi mereka perlulah mahir berpidato dengan gaya penyampaian yang menarik dan berkesan serta mematuhi syarat-syaratnya, insya Allah akan berjaya di dalam pertandingan.


Tetapi kempen pilihanraya situasinya bukan seperti itu, kempen pilihanraya bukan karangan, bukan khayalan dan bukan juga lakonan. Kempen pilihanraya adalah realiti yang berada di dalam kehidupan sebenar dan di bawah naungan hukum Allah. Ianya tidak terkecuali daripada hukum haram, halal, wajib, sunat dan harus (mubah).

Petugas dan pelapor media juga berada di dalam dunia yang sama, semuanya menjurus ke arah dan destinasi yang sama, iaitu destinasi yang semua orang Islam sedia maklum, penulis juga berada di dalam situasi yang tidak terkecuali. Ingat mengingat adalah suruhan yang terkandung di dalam syariat.

Sering disebut " Kalau tidak dapat membuat semua, jangan ditinggalkan semuanya", mungkin kita tidak mampu mematuhi semuanya tetapi sebahagian besar daripadanya mampu dipatuhi. Sengaja merempuhnya itulah yang dikesali.

Oleh itu orang yang terlibat dengan kempen pilihanraya khususnya perlulah berhujah secara jujur dan ikhlas bukan rekaan seperti murid sekolah membuat karangan untuk mendapat markah yang tinggi atau menyertai pertandingan berpidato untuk mendapat kemenangan seperti yang telah dinyatakan . Hujah dalam kempen pilihanraya akan didengari oleh khalayak ramai dan juga sampai ke telinga rakyat yang mungkin sedang mengharapkan kejujuran pemimpin kecil dan besar yang turun ke bawah dan berdepan dengan mereka. Berlebih-lebih lagi hujah yang dikemukakan berkaitan dengan pentadbiran negara dan memegang amanah rakyat. Hendaklah sentiasa diingat mereka adalah pemimpin dan bakal menjadi pemimpin yang lebih besar. Negara adalah hak bersama dan Malaysia adalah hak kita bersama. Rakyat berhak benci kepada pemimpin yang jahat dan berhak menyanjungi pemimpin yang baik dan menjaga kepentingan negara.

" ALLAH SENTIASA MELIHAT PERBUATAN KITA SAMBIL MEMBUAT PENILAIANNYA "


Sekian .Allah Maha Mengetahui . Wassalam.

2 comments:

joegrimjow said...

komen yg ijau

susah nak jadi pemimpin
macam galas biawak
cari naya

Leenoh said...

Salam.
Memang susah tapi kena jadi gak, sekurang-kurangnya pemimpin kepada ahli keluarga.