Tuesday, August 25, 2009

Betapa Agung dan Hebatnya Ramadan.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Kewujudan Ramadan dan kefarduan puasa Ramadan adalah salah satu dalil dan petanda kasih sayang Allah kepada manusia sebagai hamba-Nya yang terpilih, di dalamnya terkandung rahmah, maghfirah dan jaminan terlepas daripada siksaan atau azab api neraka.

Betapa banyaknya kurniaan Allah yang dimuatkan di dalam Ramadan. Ramadan sarat dengan hadiah Allah kepada manusia. Manusia yang berilmu melihatnya dengan gembira dan penuh keceriaan, ilmu penyuluh itu dapat melihat segala-galanya yang terkandung di dalam Ramadan, ilmu itu cahaya, cahaya itulah yang dimiliki oleh mereka yang beriman kepada Allah. Mereka melihat dengan yakin dan gembira akan kurniaan tersebut seperti kumbang melihat bunga tanpa membuang masa mereka memanfaatkannya.

Sepertiga Ramadan diisikan dengan rahmah, sepertiga jugalah diisi dengan maghfirah dan sepertiga lagi diisi dengan peluang terlepas daripada azab api neraka. Apabila orang-orang yang beriman telah memperolehi rahmat tentulah mereka juga layak mendapat maghfirah, Itulah sebenar-benarnya rahmat, rahmat itulah membawa kepada maghfirah, apabila mereka telah mendapat maghfirah lantas terlepaslah mereka daripada siksaan neraka. Begitulah Agung dan hebatnya Ramadan, begitulah juga besarnya kurniaan Allah kepada manusia hamba-Nya yang dikasihi.

Ramadan adalah satu-satunya Medan Latihan Nafsu Manusia yang terbesar, di dalamnya terkandung kurikulum teori dan amali yang perlu dihayati dan diamalkan sepanjang hari dan malam , tegasnya sepanjang bulan Ramadan. Kewajipan dan aktiviti siang perlu dihayati dan diamalkan dan pada waktu malam disusuli dengan kurikulum yang lain pula yang juga perlu dipenuhi tuntutannya.

Mulut, mata, telinga, nafsu syahwat, nafsu suk, hidung , tangan, kaki dan anggota yang lain dilarang membuka dan melibatkan dirinya untuk melakukan larangan Allah atau melakukan perkara-perkara yang diharamkan.( di luar Ramadan sentiasa terlalai larangan tersebut ) Semua kegiatan dan aktiviti anggota-anggota tersebut adalah berpaksikan hati. Hati adalah pusat kegiatan anggota tersebut.

Oleh itu hatilah yang perlu diubati dan dibantu serta diperbaiki untuk menjayakan kepatuhan kepada larangan Allah. Hati perlu dididik dan diasuh supaya sentiasa beriman kepada Allah , Apabila hati telah terdidik maka arahan hati akan menjadi adil kepada seluruh tubuh badannya. Maka jadilah manusia itu bertakwa. Inilah peranan dan jasa Ramadan, Ramadan ibarat jurutera memperbaiki hati. Manusia khasnya orang Islam patut bersyukur di atas kurniaan yang amat hebat ini.

Mengapa tidaknya. Ramadan jugalah yang membawa Lailatul Qadar yang terkandung di dalamnya pahala atau kebaikan lebih daripada seribu bulan, sekiranya seumur hidup seseorang mukmin itu memperolehi atau mendapat puluhan kali Lailatul Qadar berarti ibadat mereka telah menyamai atau melebihi umat-umat yang terdahulu, di mana umat yang terdahulu memiliki umur yang panjang tentulah ibadatnya pun banyak.

Demikianlah kelebihan umat Nabi Muhammad.s.a.w. walaupun umur mereka pendek tetapi amal ibadat mereka diberi gandaan yang banyak bukan sahaja pada malam Lailatul Qadar, malah pada masa-masa atau ketika yang lain pun mereka dikurniakan Allah puluhan , malahan ratusan dan kekadang sehingga tujuh ratus , pendeknya setiap amalan solih diberi pahala dalam bentuk gandaan . Situasi ini selayaknyalah mereka akan masuk syurga terlebih dahulu berbanding dengan umat-umat Nabi yang lain.

Amat rugilah mereka yang tidak mengambil peluang keemasan ini atau tidak menyedarinya.

Sambungan entri ditangguhkan sementara.......

Wassalam.

2 comments:

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Sori lama tak singgah sebab bz dengan kerja2 pejabat yang kena bawak balik umah. APapun, mudah-mudahan kita semua memanfaatkan setiap detik dan saat dalam bulan Ramadhan ini.

Leenoh said...

Salam Hani.
Pak Ngah faham kerana pengganti Sdr.Juraih belum diisi, agaknya.
Pak Ngah pun begitu membaca entri kekawan tetapi tidak memberi apa-apa respon bertulis.
Entri Hani, Sdr.Juraish, Us.Amin.Wahnuar dll lagi sering dibaca tetapi jarang memberi respon. kekadang berulang kali membacanya.
Semoga Allah bagi kita kesihatan yang membolehkan kita terus beribadat di dalam bulan Ramadan al.Mubarak ini dengan sempurna dan membawa kebiasaan itu kepada bulan-bulan yang lain.Insya Allah.