Sunday, August 23, 2009

Sejauh mana manusia tidak boleh mengkelaskan seseorang itu Islam atau kafir atau masuk syurga atau masuk neraka.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Adakah benar manusia tidak mempunyai hak langsung untuk mengkelaskan seseorang itu masuk syurga atau neraka secara umumnya atau sejauh manakah manusia tidak boleh mengkelaskan manusia itu sebagai Islam atau kafir atau seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka. Pada saya secara umumnya manusia di dunia ini boleh dikelaskan kepada Islam dan Kafir, jika manusia boleh dikelaskan kepada Islam dan kafir maka manusia itu boleh juga dikelaskan kepada masuk syurga dan masuk neraka.
Hujah secara umumnya sesiapa yang patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah iaitu kepatuhan secara teori dan amali serta menghayatinya sepanjang masa maka mereka ini adalah tergolong di kalangan orang Islam dan beriman. Manakala mereka yang tidak percaya dan tidak patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah maka mereka ini pula terdiri dari golongan orang kafir dan tidak beriman kepada Allah. Mereka yang patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah adalah Islam dan beriman, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan mereka yang ingkar Al.Quran dan As.Sunnah adalah kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Orang Islam mempercayai kenyataan ini, malah wajib mempercayai kenyataan tersebut kerana itu adalah panduan hidup mereka.
Menentukan seseorang itu Islam atau tidak, bukan berdasarkan kepada bangsa atau keluarganya tetapi melihat kepada amalannya, namun begitu amalan sahaja belum dapat menentukan seseorang itu beriman kerana iman itu berakar dan bertunjang di hati, walau bagaimanapun amalan Islam seseorang itu dapat menyatakan keimanannya atau dapat dikesan oleh orang lain tentang keimanannya. ( Penilaian Zahir sahaja )

.Tidak mungkin tercetus di hati kita bahawa orang yang sentiasa melakukan maksiat seperti minum arak, rasuah, tidak menunaikan solat dan seumpamanya itu sebagai ahli syorga. Manusia boleh membuat penilaian secara zahiriah terhadap seseorang tetapi di samping itu manusia juga perlu sedari bahawa penilaian sebenar dan hakiki adalah penilaian Allah S.W.t.Dalam memilih jodoh, saksi, pemimpin atau pemegang amanah perkara-perkara tersebut adalah dirujuk dan diberi panduan oleh Islam.


Jika manusia tidak dapat mengkelaskan seseorang individu itu Islam atau tidak, tentulah menjadi kesusahan bagi mereka untuk berurusan sesama mereka terutamanya mengenai hal-hal yang bersangkut-paut dengan aqidah.

Pada umumnya kita sememangnya dapat menentukan seseorang individu itu Islam atau tidak. Khususnya pada bulan Ramadan ini tentulah 99% yang mengunjungi gerai Pasar Ramadan adalah orang Islam tetapi hakikat sebenarnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, Mereka yang berniaga di gerai tersebut juga adalah orang Islam.Cara menentukan atau mengenal orang-orang yang solih dan warak ada ditunjukkan di dalam Al.Quran dan Al.Hadis serta diperjelaskan oleh alim ulamak dan diabadikan di dalam buku-buku Tafsir, Fiqh, aqidah dan seumpamanya.

Jika seseorang Islam meninggal dunia wajib dimandi, dikafan, disolatkan dan dikebumikan. Untuk menentukan seseorang itu Islam atau tidak, manusia boleh menentukan berdasarkan panduan yang disebutkan tadi tetapi penilaian ini adalah penilaian manusia.

Penilaian hakiki sama ada seseorang yang telah disolatkan dan dikebumikan itu Islam atau tidak, adalah hak Allah Taala.
Terdapat juga di kalangan mereka yang Islam di dunia sahaja iaitu di dunia manusia mengatakan atau menganggap orang itu Islam tetapi di akhirat Allah Taala tidak mengiktiraf orang tersebut sebagai Islam kerana aqidahnya yang tidak menepati panduan yang tersebut di atas tadi.

Penentuan dan penilaian manusia tadi bukanlah satu kesilapan atau kesalahan, malah penentuan itu adalah adil kerana manusia tidak dapat mengetahui apa yang tersirat di dalam hati manusia lain selain daripada apa yang tersirat di dalam hatinya sendiri. Penilaian manusia hanya berdasarkan amalannya sahaja. Dan itulah juga sumber yang disuruh manusia rujuk dan membuat pertimbangan.


Manusia Islam seharusnya mengetahui manusia yang macam mana yang akan ke syurga dan manusia yang macam mana pula yang akan ke neraka supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada dimasukkan ke neraka nanti.Oleh itu mereka hendaklah mengikut jejak kehidupan orang-orang yang dianggap layak ke syurga iaitu mereka yang cintakan Al.Quran dan As.Sunnah dan berkeinginan serta berusaha merealisasikannya di dalam masyarakat dan sanggup menentang sesiapa sahaja yang menentang kemahuannya yang murni itu.

Untuk mengetahui jalan ke syurga sudah tentulah wajib merujuk kepada Al.Quran dan As.Sunnah kerana di sana terdapat segala penjelasan dan penerangannya. Kalau enggan merujuk kepada dua sumber yang amat penting tersebut tentulah akan berlaku kegelinciran daripada landasan kebenaran dan keredaan Allah. Dengan itu gagallah matlamatnya.
.

###

Sekadar nukilan untuk panduan.

Firman Allah bermaksud:

Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui (kebenarannya).

Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur adukkan yang hak dengan yang bathil, dan menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?

Segolongan (lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran).

Dan Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikuti agamamu. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk (yang harus diikuti) ialah petunjuk Allah, dan (janganlah kamu percaya) bahwa akan diberikan kepada seseorang seperti apa yang diberikan kepadamu, dan (jangan pula kamu percaya) bahawa mereka akan mengalahkan hujahmu di sisi Tuhanmu". Katakanlah: "Sesungguhnya kurnia itu di tangan Allah, Allah memberikan karunia-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui";

Allah menentukan rahmat-Nya (kenabian) kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu Dinar, tidak dikembalikannya padamu, kecuali jika kamu selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: "Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang umi. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui.

Surah Ali Imran ( Ayat 70 - 75 )

###

Dari Hasan.r.a, katanya: " Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar Al.Muzani ketika beliau sakit hampir meninggal. Kata Ma'qil kapada 'Ubaidullah, " Aku hendak menyampaikan kepadamu sebuah Hadis yang kudengar sendiri dari Rasulullah.s.a.w. yang kalau aku yakin bahawa usiaku akan panjang.Hadis ini belum akan kusampaikan kepadamu.Aku mendengar Rasulullah.s.a.w,bersabda." Tidak ada seorang hamba yang dipercayakan Allah kepadanya, kemudian dia mati, sedangkan pada hari kematiannya dia (masih) menipu rakyatnya, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya".

###

Dari Abul Malih r.a. katanya:'Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar ketika dia sakit. Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, " Aku hendak menyampaikan sebuah Hadis kepadamu seandainya aku tidak hampir mati, nescaya Hadis ini belum akan kusampaikan kepadamu. Aku mendengar Rasulullah.s.a.w.bersabda," Tiada seorang pun amir ( pembesar, penguasa atau pemimpin ) yang menguasai atau memerintah kaum muslimin.tetapi dia tidak berjuang dengan bersungguh-sungguh dan tidak memberikan pengarahan untuk kemakmuran mereka,
nescaya Allah tidak membolehkannya masuk syurga bersama-sama dengan mereka".

###

SELAMAT BERPUASA.
KULLU AM WA ANTUM BIL KHAIR.

###

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

1 comment:

Leenoh said...

Salam.
Selamat Berpuasa Ramadan. Semoga sihat walafiat.amin.