Tuesday, September 29, 2009

Kalau berziarah dalam bulan Syawal - Tuan rumah bertanya puasa tak ?


Salam Semua.

Sembang-sembang selepas Aidil Fitri .
Entri kali ini ingin mengajak anda merenung dan memikirkan semula perlakuan dan aktiviti sambutan raya yang sering kita lakukan sama ada kita lakukan secara Pak Turut atau atas pertimbangan ilmu pengetahuan Tauhid dan Fiqah yang dikuasai dan dimiliki. Adakah kita merayakannya kerana memenuhi tuntutan masyarakat atau tuntutan al.Hadis dan al.Quran. Dalam hal ini yang mana satu yang sering kalah, tuntutan masyarakat (adat) atau tuntutan Islam. Dan yang mana satukah kita ketepikan.

Dalam ajaran Islam menyatakan 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal adalah afdal berpuasa sunat, paling baik berpuasa sunat dan tidak menyatakan amalan lain yang paling baik. Pepatah Melayu ada menyebutkan " Kalau tiada rotan akar pun berguna" bermakna akar adalah pilihan yang kedua dan rotan pilihan utama atau pertama, bagaimana pula kalau rotan itu ada tentulah akar tidak berguna lagi dan akar itu mungkin disimpan untuk digunakan ketika kehabisan rotan, bagaimana pula kalau kita memilih akar untuk digunakan sedang rotan terlonggok di hadapan kita, adakah pilihan ini bijak dan cerdik ?

Rasulullah.s.a.w. menyatakan kepada umatnya bahawa berpuasa 6 hari berturut dalam bulan Syawal mulai 2hb sehingga 7 hb. setelah berpuasa Ramadan dengan sempurna puasa Syawal itu nilainya seperti berpuasa sepanjang tahun. kiranya kita membuat perkiraan menggunakan matematik tentulah nilai puasa Syawal 6 hari itu adalah sebelas bulan, sebelas bulan itu jika dicampur dengan puasa sebulan bulan Ramadan maka jadilah setahun ( 12 bulan ). Tawaran puasa Syawal ini tidaklah sehebat tawaran Lailatul Qadar yang mana kebaikannya bernilai 83.33 tahun itu tetapi ianya masih tergolong di dalam tawaran Allah kepada hamba-Nya yang sangat penyayang itu suatu tawaran yang bernilai tinggi dan hebat.

Apa kata pada tahun depan kita raya pada 1hb.Syawal dan 6 hari berikutnya kita pakat-pakat berpuasa dan kita teruskan Pasar Ramadan dengan Pasar Syawal pula dengan sedikit pindaan. Kemudian kita sambung sambut perayaan selepas selesai puasa sunat tersebut.Perubahan ini boleh dibuat dan dilakukan kalau seluruh umat Islam memilih rotan dan tidak memilih akar ketika ada rotan.

Masyarakat Islam Kedah dan Kelantan di kampung-kampung tidak menyambut perayaan Aidil Fitri sehingga sebulan seperti di setengah negeri di Malaysia, sebaliknya di tempat ini sekiranya tetamu ke rumah pada bulan Syawal biasanya mereka bertanya sama ada berpuasa atau tidak, sebelum mereka menyediakan minuman dan makanan untuk tetamu. Ini menunjukkan amalan berpuasa Sunat Syawal masih menjadi amalan yang meluas dan mereka yang berpuasa lebih dihormati berbanding dengan mereka yang masih meneruskan aktiviti raya.

Saya tidak mengetahui secara pasti masyarakat di negeri lain mengenai puasa ini tetapi saya perhatikan secara rambang bahawa terdapat negeri-negeri yang masyarakatnya melebihkan perayaan berbanding dengan berpuasa sunat. Pada hal itu bukanlah pilihan yang bijak kerana memang telah ternyata berpuasa syawal seperti disebut di atas tadi adalah lebih afdal dan Nabi Muhammad. s.a.w. tidak menyebut bahawa meneruskan beraya itu lebih baik atau afdal.

@@@@@

Rasulullah s.a.w bersabda.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”


@@@@@

Di dalam sembang-sembang ini saya tidak berhasrat untuk membincangkan cara atau versi sambutan Hari Raya yang diamalkan oleh Televisyen di Malaysia sebab di sana terdapat banyak sangat perkara yang perlu dicarakinkan satu persatu.

Apapun Ilmu Itu Pelita yang dapat menyuluh kegelapan dan mampu mencerahkannya, dengan itu orang yang memiliki ilmu dapatlah melihat perkara-perkara yang membahayakan diri, lantas akan mengelak dan menyelamatkan diri daripada terjebak di dalam suasana berbahaya itu. Ilmu jugalah pencetus dan penambat iman , tanpa ilmu manusia tidak akan beriman kepada Allah dan pradigma manusia juga akan statik.



Sekian . Allah Yang Maha Mengetahui. Wassalam.

No comments: