Saturday, September 5, 2009

Dua dalam satu - Sekadar muhasabah diri.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Pada pagi ini saya ingin menulis subjek yang diharapkan boleh mendorong seseorang memperbaiki diri khususnya bagi orang yang berpuasa, tetapi peringatan dan pesanan ini sebenarnya untuk diri saya sendiri, namun demikian peringatan ini mungkin juga dapat dimanfaatkan oleh kekawan atau sesiapa sahaja yang ingin membuat muhasabah diri bertujuan untuk meningkatkan kualiti ibadat masing-masing. apapun matlamat utama ditulis rencana ini semata-mata ingin berpesan-pesan dan memujuk diri supaya meningkatkan kualiti ibadat puasa atau ibadat yang lain supaya ibadat puasa yang sedang dilaksanakan ini menuju ke arah puasa khusus alal khusus ( khusus al.khusus ) iaitu puasa darjat yang tertinggi atau apa-apa sahaja yang seumpamanya.

Dua Dalam Satu.
Istilah dua dalam satu ini adalah rekaan saya sendiri, di mana seseorang manusia melakukan dua perkara, iaitu satu perkara baik dan satu lagi perkara jahat, kedua-dua perkara itu dilakukannya di dalam waktu yang sama atau pada waktu yang berlainan tetapi dilakukan oleh orang yang sama. Hakikatnya perkara sebegini semua orang terlibat, semua orang melakukan kebaikan dan keburukan, ini telah menjadi lumrah kerana manusia itu tidak maksum. Perkara ini mungkin sukar dielakkan melainkan rasul-rasul dapat mengelakkannya kerana mereka adalah maksum atau dimaksumkan oleh Allah terhadap diri mereka.

Walaupun sukar hendak dielakkan tetapi terdapat aspek yang mampu dielakkan seperti orang berpuasa pada darjat khusus di mana mereka tidak minum dan makan serta menahan nafsu daripada melakukan perkara yang dilarang. Perkara ini sebahagian besar daripada orang Islam berjaya melakukannya walaupun masih terdapat mereka yang tidak mampu melakukannya, agaknya kerana jahil atau sememangnya tiada kekuatan untuk melaksanakannya, wallahu aklam.

Cuba perhati dan fikirkan.
Cuba kita lihat dan perhatikan sesetengah masyarakat Islam yang sedang berpuasa, mereka berpuasa tetapi pada waktu yang sama mereka mendedahkan aurat, meninggalkan solat, mengumpat, bergaduh di antara satu sama lain atau melakukan perkara yang dilarang. Inilah yang saya istilahkan sebagai dua dalam satu iaitu melakukan dua perkara serentak oleh seorang individu, dua perkara itu ialah kebajikan dan maksiat.
Sebagai contohnya seseorang itu sedang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat fardu lima waktu yang juga hukumnya wajib.
Sedang berpuasa tetapi membuka aurat dan berada di khalayak ramai dan perbuatannya itu berdaya membuka nafsu sek orang lain atau membawa ke alam khayalan.
Sedang berpuasa tetapi mengumpat saudara sendiiri.
Sedang berpuasa menjalankan perniagaan haram dan banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan.
Siapakah yang terkecuali daripada semua perbuatan tersebut, mungkin terdapat seseorang individu itu tidak mengumpat sesiapa tetapi apabila pergi ke Pasar Ramadan atau di khalayak ramai terpaksa melihat aurat mereka yang mendedahkannya tanpa segan dan silu sebagai seorang Islam,
mendengar atau duduk di dalam majlis orang mengumpat dan tidak mencegahnya atau tidak menasihatinya supaya berhenti mengumpat,

Pendeknya selagi umat Islam tidak merujuk kepada perintah Allah dan Rasul-Nya dan tidak berusaha mengamalkan sepenuhnya sistem kehidupan Islam, perbuatan songsang tersebut sukar hendak dikurangkan secara keseluruhannya tetapi secara individu masih ada ruang untuk berikhtiar untuk mengurangkannya dan sekali gus meningkatkan kualiti puasa dan kualiti ibadat lain amnya.

Penulis bukanlah di antara yang terbaik atas alasan itulah ingin berikhtiar dan muhasabah diri supaya darjat puasa diri sendiri menjadi lebih baik dan berkualiti.Hidup ini sebenarnya tumpang menumpang atau berkongsi di antara sama lain, sekiranya pemimpin itu baik, baiklah rakyatnya, begitulah juga sekiranya setiap individu itu baik terhasillah masyarakatnya juga baik , sekiranya masyarakat itu baik maka baiklah juga individu di dalam masyarakat itu. Hidup ini bagai aur dengan tebing.

Sekadar berfikir dan berikhtiar untuk kebaikan.

_________________


_________________

Sekian.Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

4 comments:

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Mudah2an kita semua berlumba2 jadi baik.

Leenoh said...

Salam Hani.

Insya Allah.semoga Allah membuka peluang kebaikan seluas-luasnya utk kita dan metutup jalan yang sebaliknya.
Fastabiqul khairat.

Knewoodplc said...

i love Islam too

Leenoh said...

TQ