Wednesday, September 2, 2009

Luahan hati di pagi Ramadan al.Mubarak.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Alhamdulillah, pada pagi 12 Ramadan al.Mubarak ini mindaku sihat dan berputar ligat berbanding malam tadi, di mana malam tadi kepalaku sakit menjadikan bacaanku tersasul ketika mengimamkan solat terawih, tersasul begitu sudah menjadi kebiasaanku, itulah kelemahanku, sakit kepala itulah yang sentiasa mengganggu hafalanku, nasib baik tersasul itu ditegur oleh makmum prihatin dan kemudiannya kembali berjalan dengan lancar, Nasib baik juga lagi kerana ayat yang kubaca dan tersasul itu ayat yang semua orang menghafaznya. Rasa siha
tku pada pagi ini sehingga teringin pula aku menulis dan meluahkan perasaan hatiku, sekali lagi aku bernasib baik kerana ada blog ini untuk kumuatkan tulisanku ini, kalaulah aku hantar tulisan nukilanku ini ke akhbar sudah tentu tidak diterimanya kerana rendahnya kualiti tulisanku ini.Khasnya dari segi struktur bahasanya dan juga sasteranya, walaupun kandungannya mulia pada hematku, kalau diterimanya pun akhirnya ditongsampahkan sahaja . bertuah juga ya mereka yang ada blog ini, boleh juga sakali sekala melayan syok sendiri, sendiri tulis sendiri baca dan sendiri letak markahnya, hahaha.

Baiklah kalau anda mempunyai masa lapang teruskan bacaan sehingga selesai dan buatlah komen atau ulasan sama ada mengenai kandungan yang baik atau yang buruk, mungkin ulasan anda itu memberi manfaat kepada pembaca, sudah tentu di sana terdapat pahalanya, pahalanya tentulah pahala Ramadan, kualitinya tentulah kualiti Ramadan jua.

Nikmatilah keindahannya.

Kalau tiada komenpun kuterima seadanya dan terima kasih kerana sudi membacanya. Kekadang kulihat pertunjuk pengunjung sedang membaca sehingga 6 atau 7 pembaca serentak, walaupun tiada komen tetapi merekalah sebenarnya telah memberi semangat padaku untuk terus menulis, andalah sebenarnya kekuatanku tanpa anda nukilanku di dalam blog ini menjadi hambar, kering kontang dan tidak bermaya. Kehadiran anda di balog ini menjadikan diriku berkewajipan mencari ilham dan bahan-bahan berupa kebajikan untuk dipaparkan di laman ini.

Sekadar luahan hati
Kubersyukur pada-Mu ya Allah kerana mengizinkan daku bernafas dan bergerak seperti manusia lain di atas muka bumi-Mu ini, tanpa izin-Mu masakan aku dapat berpuasa Ramadan pada tahun ini, Kewajipan berpuasa telah mengingatkan aku akan nikmat-Mu. Nikmat-Mu tersangat banyak Ya Allah sukar untuk kumengiranya, malah tidak mampu aku mengiranya hanya Engkau Yang Maha Mengetahui. Aku bersyukur yang tidak terhingga atas kurniaan rezeki padaku dan keluargaku.
___________

Firman Allah bermaksud:
"Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.

Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui".
Surah al.Baqarah (21-22)

___________

Aku sebenarnya tidak maksum, aku punyai dosa yang Engkau sendiri melihatnya. Aku disanjung kerana Engkau menutup keaibanku, aku menjadi baik kerana Engkau ampunkan dosaku, aku kelihatan berilmu kerana anugerahmu, aku beriman, Islam dan mendapat ihsan kerana nikmat Islam-Mu. Aku bersyukur yang amat sangat kerana Engkau memilihku menjadi Islam.

Bila kuingat akan anak-anakku, kuteringat anakku yang telah pergi terlebih dahulu, kuserahkan pada-Mu pada ketika anakku masih bayi, kubersyukur kerana anak kesayanganku itu akan menungguku dan keluargaku disyorga nanti, kubersedih kerana anak kesayanganku itu tidak dapat bersamaku di dunia fana ini. Ampunkanlah segala dosa kami supaya kami dapat bersamanya disyorga nanti, itulah sahaja kesempatan anak kesayangan kami itu dapat bersama keluarga. Semoga nukilan ini menjadi doa sehingga dimakbulkan. Itulah gambaran kesungguhan keinginanku untuk mendapatkannya.

Bila kukenangkan kesihatanku, kusangka aku telah pergi menemui-Mu ketika usiaku empat puluhan dahulu. Rupanya mati itu bukan kerana sakit, mati itu kerana ajal yang telah Engkau tetapkan sebab itu kini aku masih hidup dan lebih sihat. Ramai kekawanku yang sihat telah pergi menemui-MU tanpa kusangka dan kuduga, sasaran kematian bukanlah tua atau muda, remaja atau kanak-kanak , mati itu ketikanya bila ajal sudah sampai, tiada perkataan dan madah yang dapat kuucapkan hanya pada-Mu kubersyukur dan bersyukur atas segala-galanya.

Berulang kali kumemohon keampunan agar dosaku diampunkan, juga ibu bapaku, keluargaku, kekawanku dan sekalian kaum muslimin dan muslimat. Kudoa balas untuk mereka kerana mereka sentiasa berdoa untukku, itulah ikatan persaudaraan Islam yang sejati.
Ya Allah, nyahkan persengketaan, nyahkan masyarakat munafik, nyahkan kekuatan pasukan munafik yang sentiasa mengganggu-gugatkan kesejahteraan Islam.
Ya Allah, curahkan taufik dan hidayah-Mu kepada semua penduduk negaraku supaya mereka mengenali kemerdekaan sebenar , kemerdekaan hakiki dan kemerdekaan yang Engkau kehendaki. Jadikanlah kami orang yang merdeka minda dan bersih aqidah. Letakkanlah kami di dalam Kehidupan Bersih dan redalah hidup kami, Ya Allah. Ya Rabbal alamin.

Ingat dan lupa. Pada diriku Engkau cipta sifat ingat dan lupa. kuingat bahawa Engkaulah Tuhan seru sekalian alam ini, Engkaulah Maha Berkuasa dan Engkaulah yang Maha Sempurna, Engkaulah yang layak kusembah dan memperhambakan diri tetapi kekadang aku lalai dan lupa. Aku sangat lemah, kekadang daya ingatanku menjadi kabur dan terus terlupa akan suruhan dan perintah-Mu.

Namun demikian aku tetap berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mensyirikkan-MU kerana aku mengetahui bahawa berbuatan itu tidak akan Engkau ampunkan.

Semoga engkau reda akan kehidupanku, keluargaku, keturunanku, kekawanku dan sekalian kaum muslimin dan muslimat selama ini. kiranya ada dosa Engkau ampunlah kami, mulai hari ini dan seterusnya pada hari-hari mendatang Engkau peliharalah kami supaya kehidupan kami lebih baik dari dahulu, Engkau tutuplah segala peluang-peluang kejahatan untuk kami dan bukakanlah peluang-peluang kebajikan untuk kami dan biarkanlah kami berlumba-lumba membuat dan mendapatkan kebajikan yang Engkau sediakan.
amin.

Sekadar luahan hati di pagi Ramadan al.Mubarak.



Sekian. Wassalam.

6 comments:

Temuk said...

Assalamualaikum Sdr Leenoh
Semoga segala doa sdr terkabul. Insya Allah! Allah tidak memungkiri janjiNya. Bertuahnya hidup, dapat jadi imam terawih. Walau sunat, kita tahu fadhilat hebatnya. Dah bersara ni, kita memang biasa tersasul. Tersasul macam2 dan terlupa banyak perkara. Nama kawan pun kadang2 dua tiga hari baru ingat balik. Dulu saya stres. Sekarang saya anggap tak mengapa ... part of growing old!

Leenoh said...

Waalaikumussalam Sdr.Temuk.
Semoga anda diberikan Allah sihat walafiat dan dapat berpuasa dengan sempurna serta medapat Lailatul qadar.
Sama-samalah kita berharap doa kita dimakbulkan, kalau orang Islam memehami konsep doa hidup mereka sejahtera dan bersatu padu.
Setiap lepas solat kaum muslimin akan berdoa utk dirinya, ibu bapanya dan sekalian kaum muslimin, atas dasar ini mereka tidak sepatutnya berpecah dan bergaduh.Sebaliknya mereka berkasih sayang dan mematuhi perintah Allah.
Bila kita muhasabah masa, kita akan dapati masa berjalan sgt laju dan pantas, hari ini telahpun 13 hb.Ramadan sudah hampir setengah bulan kita berpuasa.
Bersyukur kpd Allah kerana masih diberi peluang utk berpuasa dan kesihatan.
Semoga saudara bahagia bersama keluarga.amin.

Anonymous said...

Salam Leenoh.

Doa-doa yang penuh kesejahteraan.
Yang paling saya suka "tang" nyah!nyah!nyah! tu laa...hehe.

DrSam said...

Salam pak ngah,
cantik sekali bait-bait doa tersebut. Semoga dimakbulkanNYA. Ameen.

Sama-sama kita melalui bulan yang mulia ini dengan penuh keimanan dan pada masa yang sama menghisab diri, menghitung segala keburukan, kekurangan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan semoga mendapat pelepasan dariNYA (Imanan wahtisaban)

p/s: saya mungkin salah seorang yang selalu singgah disini, tapi tidak menulis komen kerana kekadang tu terasa sangat kerdil dengan ilmu.

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Selamat Berpuasa.
Cari perkataan lain tak jumpa, jadi terjumpa perkataan itu, pendek pula tu perkataannya, maka gunalah perkataan tu... hahaha.
Memangpun semua benda tu nak kena nyahkan, kalau dapat dinyahkan semua gejala buruk tu bahagialah kita.

Leenoh said...

Salam Dr.Sam.

Selamat Berpuasa.

Sekarang kan kita sedang berada di dalam zon maghfirah ( keampunan ) dah masuk tiga hari, diharap kita benar-benar mendapat keampunan Allah.
Ramadan itu dikatakan di awalnya rahmah, di tengahnya maghfirah dan di akhirnya terlepas dari siksaan api neraka ( dijauhi dari apai neraka ).Maka sesuailah kita sentiasa berdoa utk itu.

Pak Ngah sentiasa berdoa agar kita semua mendapat semua yang tersebut. itu.